March 19, 2012

Menghantar Harapan Pada Awang Sariyan

Dewan Bahasa Dan Pustaka, 21 Rabiul Akhir = 14 Mac 2012 (Rabu):

Perjuangan Bahasa adalah pakej Perjuangan Kemerdekaan Tanahair. Selepas kemerdekaan Isu Bahasa terus menghangatkan perjuangan politik tanahair seperti Isu Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi. Ianya menggugat pemerintah apabila menangguhkan dari merasmikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan Rasmi selepas tempoh sedekad yang dijanjikan (1967). Isu bahasa terus hangat dengan tuntutan bahawa pelajar yang lulus dari Sekolah menengah kebangsaan tidak mempunyai saluran ke universiti, lantas perjuangan menuntut agar didirikan UKM (1970) bergema di persada tanahair dengan diikuti dengan kelahiran beberapa universiti yang lain yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Era 1970an, 1980an dan 1990an adalah era kerancakan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi baik di pengajian tinggi, di dalam pentadbiran, urusan komunikasi, perundangan, ekonomi dan berbagai bidang. Antara institusi yang penting yang menjadi induk bagi gerakan dan kegiatan bahasa dan sastera ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan sejak 1956 lagi itu. DBP adalah berperanan menerbitkan buku berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan bagi digunakan pada peringkat pengajian tinggi, sekolah-sekolah dan penggunaan di kalangan awam. Bagi memantapkan bahasa dan sastera kerjasama peringkat regional bersama Negara-negara Asean diadakan di dalam bidang bahasa dan sastera yang membentuk MABBIM. Pada peringkat tempatan hasil kerjasama antara DBP, persatuan-persatuan penulis, pihak swasta dan korporat berlaku kerjasama di dalam melonjakkan bahasa Melayu dan sastera dengan mengadakan minggu dan bulan bahasa, pertandingan menulis di dalam bidang bahasa dan sastera, seminar dan hadiah-hadiah sastera dan bahasa. Kerancakan disempurnakan dengan hadiah sastera, pejuang bahasa dan sasterawan negera. Antara tokoh-tokoh-tokoh yang penting yang menggerakkan kegiatan bahasa dan sastera ialah ketua-ketua pengarah DBP yang boleh disifatkan mereka sebagai Panglima Bahasa mulai dari Tan Sri Syed Nasir Ismail, Dato` Hasan Ahmad dan kepimpinan persatuan dan tokoh-tokoh akademik.

Tiba-tiba selepas 1990an semua kegiatan di atas menjadi sepi dan layu. Pihak kerajaan sendiri mengabaikan dari memberi perhatian terhadap bahasa dan sastera. Masyarakat dihadapkan dengan PPSMI. Muhyiddin Yassin tidak mampu bertindak tegas. UKM yang mencetuskan perjungan bahasa ditanahair dipersoalkan dari segi peranannya memperkasakan bahasa dan sastera, persatuan-persatuan penulis tiada kedengaran, galakan hadiah bahasa dan sastera telah tiada, bahkan peranan DBP dipersoalkan. Majalah-majalah keluaran DBP yang sebelum ini mudah didapati di pasaran, sudah tiada kelihatan. Mengapa sedemikian berlaku kepupusan secara drastic ?

Perlantikan saudara Dr. Awang Sariyan menjadi Ketua Pengarah DBP mulai awal tahun 2012 seorang pakar dan berpengalaman luas dalam bidang bahasa menimbulkan harapan baharu yang dapat memulihkan DBP, kegiatan bahasa dan sastera, menerbitkan buku dan memperkasakan penggunaan bahasa dan sastera, bahkan mengadakan kerjasama bahasa dan sastera pada peringkat regional dan dunia dan menjadikan bahasa Melayu antara bahasa terpenting di dunia. Barangkali mengharapkan Dr. Awang Sariyan secara perseorangan memikul tanggungjawab yang besar adalah tidak adil. Ianya seharusnya didukung oleh berbagai pihak yang mencintai dan berjuang memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan Rasmi. Usaha beliau menjemput berbagai pakar, tokoh bahasa dan Persuratan Melayu ke Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu ke DBP pada 14 Mac 2012 yang lepas adalah pendekatan yang tepat. Sebahagian besar dari mereka (lebih kurang 50 orang) telah mencurahkan pendapat dan pandangan yang antara lain:

Memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, persuratan dan budaya tinggi
Memperkukuhkan DBP dengan peruntukan Akta dan melaksanakan penguatkuasaan

* Kembalikan balik bahagian bahasa, sastera dan budaya di DBP

  • Kementerian Pelajaran hendaklah mempunyai Menteri Yang Khas, tidak seperti sekarang di bawah Timbalan Perdana Menteri, menyebabkan pengabaian berlaku tentang pelajaran, Bahasa dan Persuratan – termasuk DBP.
  • Audit bahasa bukan saja dalam persuratan, tetapi melibatkan berbagai bidang
  • Hidupkan kembali kerjasama di dalam MABBIM
  • Merancakkan terbitan buku di dalam berbagai bidang
  • Perlu dihidupkan bidang kritikan sastera dan merancakkan kegiatan
  • Menggunakan bahasa Kebangsaan dan rasmi di dalam majlis-majlis rasmi sama ada pada peringkat kebangsaan, regional dan antarabangsa.
  • Kembalikan kegiatan sastera dan hadiah sastera pada berbagai-bagai peringkat
  • Kurikulum sastera di Sekolah hendaklah diperkemaskan
  • Iktiraf dan beri insentif bagi kegiatan bahasa sebagaimana kegiatan sastera.
  • Wujudkan unit bahasa bagi Majlis Tempatan
  • Wujudkan Munsyi Dewan dan diberi wathiqah antara 2 – 3 tahun bagi satu perlantikan
  • Wujudkan dasar sastera Negara
  • Wujudkan semula Sudut Penulis dan aktifkannya dengan pengisian.
  • DBP hendaklah membuat program dengan persatuan dan institusi bukan Melayu
  • Dekati ahli akademik bagi menghasilkan buku-buku di dalam berbagai bidang
  • Galakkan penerbit swasta menerbitkan berbagai-bagai buku
  • Adakan kurikulum gerakan bahasa dan program pintar
  • Galakkan animasi dan sains fiksyen yang mendapat sambutan hingga keluar Negara
  • Pulihkan penerbitan majalah-majalah DBP.
  • Beri perhatian sama pada perkembangan sastera siber

Adalah diharapkan dengan cadangan-cadangan di atas membuka ruang kepada DBP bertindak melaksanakan cadangan-cadangan yang disampaikan oleh para jemputan dan kalau boleh mendapat kerjasama mereka dan kerjasama pihak yang berkenaan berhubung dengan cadangan. Pertemuan sedemikian hendaklah diadakan dari masa ke semasa dengan berbagai pendekatan yang sesuai. Semua pihak hendaklah memperkukuhkan azam bagi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, rasmi dan bahasa pada peringkat antarabangsa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment