Anekdot:
Ketika hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Persiapan bagi YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor merasmikan Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat dijangka pada 24 Mac 2012 akan datang, kami AJK diraikan oleh Encik Yazid Pegawai Daerah Kuala Langat yang dulu adalah Setiausaha Dewan Negeri Selangor. Bersama minum semeja ialah En. Yazid sendiri, Dato` Raja Uzir Orang Besar Daerah Kuala Langat, YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Puan Azlinda binti Azman Ketua Pegawai Executive PADAT dan En. Mohamad Aris bin Haji Sahid Kurator PADAT.
Bercakap tentang Muzium Insitu Jugra , Kuala Langat yang menarik kehadiran pelancong di samping bahan-bahan sejarah yang lain yang terdapat di Kuala Langat ini, En. Yazid menyebut bahawa selain dari bahan-bahan yang bersifat fizikal, beliau menimbulkan tentang cerita rakyat yang menurutnya sebagaimana dicerita oleh penduduk setempat, bahawa cerita Lebai Malang adalah merupakan cerita benar yang berlaku di Kuala Langat!
Lebai Malang adalah watak tamak yang membawa rugi. Ceritanya pada satu hari Lebai Malang mendapat dua jemputan kenduri satu di hilir dan satu lagi di hulu. Dengan harapan tidak terlepas kedua-dua jemputan, Lebai Malang membuat perhitungan, bahawa lebih baik baginya pergi ke jemputan yang jauh terlebih dahulu, kemudian baru berpatah balik ke jemputan yang dekat – di Kuala. Dengan perhitungan sedemikian Lebai Malang berkayuh perahu ke hulu mencanggahi air yang mengalir surut. Menyebabkan lambat sampai dan bila sampai kenduri sudah selesai. Lantas dengan harapan tidak terlepas dari satu lagi jemputan di hilir di tempatnya, beliau berkayuh balik, malangnya semasa berkayuh ke hilir air mulai naik pasang, sebab itu perahunya juga tergendala dan lambat sampai, menyebabkan dia juga tidak berkesempatan kenduri di hilir, akibatnya dia lapar dan dahaga selepas membuat perhitungan yang salah dan sia-sia. Sifat tamaknya menyebabkan dia mengalami kerugian. Pada hal kalau dia pergi kenduri di hilir di tempatnya terlebih dahulu, dia dengan mudah mudik ke hulu bersama air pasang dalam masa yang lebih pendek.
Encik Yazid meyakinkan kami secara sungguh-sungguh dan bertanya kami, ``Sudahkah naik ke puncak Bukit Jugra?``
Jawab Adun, ``Sudah, di atas puncaknya ada rumah api, radar dan `Baitul Hilal` tempat melihat anak bulan.`` Tanya Encik Yazid, ``Apa yang dapat dilihat dari atas puncak Bukit Jugra ?`` Jawab Adun, ``Pandangan yang indah, larian sungai Kuala Langat yang tenang dengan kiri kanan sungai pokok-pokok menghijau. Dari atas bukit ke bawah tempat gliding dan taburan bangunan di bawah bukit di tepian Sungai mengindahkan pandangan.``
Kata Encik Yazid, ``Lebai Malang bertolak dari Kg. Hilir Jugra, Sungai Kuala Langat untuk ke tempat kenduri ke Kampong Hulu Bandar sebagaimana dalam cerita,`` tekannya secara sungguh-sungguh sedang Dato` Raja Uzir Orang Besar Kuala Langat, Puan Azlinda dan Adun mengiakan sambil ketawa.
``Yalah masa itu tak ada jalan darat lagi agaknya,`` sokong Adun.
``Sungai adalah jalan utama pada zaman tradisi,`` kata Puan Azlinda, dan Dato` Raja Uzir mengiakan !
Untuk meyakinkan kami Encik Yazid menambah, ``Lebai Malang, bukan saja malang tidak berpeluang makan kenduri, kerana sifat tamak dan salah perhitungan, tetapi lebih malang lagi, bila Lebai Malang mati, beliau dikebumikan secara bersendirian dekat dengan jirat (kubur) Cina !
Kata Adun, ``Memang atas puncak dan di lereng Bukit Jugra itu ada kuburan Cina.`` Adun menambah, ``Memang pada kali pertama Adun melawat ke puncak bukit itu, Adun diberitahu ada kuburan Islam yang tidak diketahui kuburan siapa !``
``Itulah Kuburan Lebai Malang, menurut ceritanya.`` kata Encik Yazid.
Dalam hati Adun berkata, ``Nampaknya watak, tempat, jalan cerita ada keselarian sebagai cerita rakyat !``
Kami semua ketawa seolah-olah mengiakan, ``Boleh dijadikan tambahan bagi pekej pelancongan yang dapat diceritakan kepada pengunjung-pengunjung,`` kata Dato` Raja Uzir.`` kami menjawab, `Yalah`.
Pada masa itu pihak yang menyediakan tempat mesyuarat mengingatkan kami dan menjemput kami untuk masuk ke bilik mesyuarat. Kami masuk mesyuarat, tetapi Encik Yazid tidak turut sama, kerana ada urusan, sebaliknya beliau mewakilkan kepada pegawainya bermesyuarat bersama kami.
Sekian.
No comments:
Post a Comment