March 3, 2012

Melawat Bukit Malawati Dan Jugra

Kuala Selangor, 07 Rabiul Akhir 1432 = 29 Februari 2012 (Rabu):

Kita Sama Mendaki Bukit Malawati:
Pertemuan Di Silang Perjalanan
Kita Abadikan Dalam Kenangan
Di sini kita sama mendaki
Ke Puncak Bukit Malawati
Indah menghijau dan aman
Setia menjaga muara tenang
Mengalir peristiwa berterusan
Di sini kita menyaksikan
Tentang permulaan sejarah kesultanan
Negeri Selangor Darul Ehsan
Sebagaimana kita saksikan
Pendakian Bukit Jugra
Kesinambungan sejarah kesultanan.

Telah kita lalui dan teliti
Sejarah dan monument
Asyik dan mengkagumkan
Memperkaya pengalaman
Di silang perjalanan ini
Kita abadikan sebuah pertemuan
Menjadi sejarah dalam kenangan.

Dalam rangka lawatan kerja Perbadanan Permuziuman, Adat Melayu Dan Warisan (PADAT), pagi ini Adun bersama dua pengiring bertolak ke Kuala Selangor jam 8.15 dan tiba di De Palma Hotel, Kuala Selangor Jam 10.15 (lewat suku jam) dan terus mempengerusikan mesyuarat hingga jam 12.00 tengahari. Setelah makan tengahari, kami mengadakan dua lawatan secara rombongan berkonvoi seramai 15 orang. Pertama melawat Rumah Bugis , Kampong Permatang, Kuala Selangor. Kami dimaklumkan terdapat hanya 4 buah rumah Bugis di Selangor. Dua daripadanya telah musnah dan dua masih wujud, satu ialah di Kampong Permatang ini yang agak terbiar dan terdedah kepada cuaca dan hujan panas. Jika tidak diselamat dan dibaikpulih maka akan turut musnah dan hilang. Sebuah lagi terdapat di Sabak Bernam. Rumah di sini dikatakan masih baik dan didiami pemiliknya. Kami menyaksikan rumah Bugis di Kampong Permatang ini dan dapat disifatkan sebagai menarik dan mengkagumkan. Ianya adalah sebagai monument warisan yang amat berharga dan perlu diselamat dan diabadikan (Inilah inti mesyuarat kami pagi ini).

Selepas melawat Rumah Bugis Kampung Permatang kami serombongan – makin berkurang, kerana bagi sebahagian telah biasa datang. Yang datang lebih untuk menerang kepada Adun dan mengiringi. Kami dibawa melihat bahan-bahan sejarah kesultanan dari Sultan Salehuddin (1766-1782), Sultan Ibrahim (1782-1826) dan Sultan Muhammad (1826-1857), melihat Gendang Dong Song, peralatan senjata, Batu Acheh, bahan-bahan tembikar dan lain-lain. Kami juga melihat bahan-bahan yang berhubung dengan Permainan Tradisional Rakyat. Muzium ini ditutup sementara, kerana menunggu untuk dipulihkan akibat berlaku kebakaran.

Sebelum daripada itu, kami juga telah melawat Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat pada 27 Februari 2012. Lawatan Kerja ini lebih memberi tumpuan kepada persediaan bagi lawatan ke sini oleh pihak pimpinan negeri. Tumpuan utama pada Muzium yang berasal dari Bangunan Polis (Rumah Pasung) yang dibina pada tahun 1878. Di sini adalah menjadi pusat pemerintahan Sultan Pertama di sini yang berpindah dari Kuala Selangor ke sini, iaitu Sultan Abdul Samad (1857-1898). Terdapat di dalam muzium ini peralatan senjata, lock up dan sebagainya. Di luar terdapat kenderaan GMC (moden) yang digunakan pada zaman darurat. Terdapat di Bukit Jugra juga ialah Makam Sultan Abdul Samad Dan keluarga Diraja, Tinggalan Istana Lama, Bangunan Pejabat Daerah peringkat awal, telaga tujuh dan sebagainya.

Antara tempat menarik yang boleh dilawati bila ke Bukit Jugra ialah mendaki ke puncak Bukit Jugra yang dari atas dapat dilihat pandangan indah Sungai Kuala Langat dan kehijauan pokok-pokok menyusuri tepian Sungai Kuala Langat itu sendiri. Di atas puncak Bukit Jugra juga boleh dilihat Baitul Hilal, iaitu tempat melihat anak bulan, radar kawalan dan kawasan gliding dari puncak bukit ke bawah. Walau bagaimana tempat-tempat sejarah ini ada diterokai oleh pihak-pihak tertentu yang menyebabkan rosaknya keaslian landscape dan muka bumi. Pihak berkuasa perlu memastikan kawasan bersejarah tidak dimiliki oleh pihak tertentu, sebaliknya hendaklah dipelihara agar bahan-bahan sejarah dan tempat-tempat tidak diteroka dan dirosaki.

Sekian.

No comments:

Post a Comment