March 15, 2012

Mencari Identiti Rumah Selangor - Ada Pada Rumah Tradisional Di Permatang ?

BBB, 20 Rabiul Akhir 1433 = 13 Mac 2012 (Ahad):

Tidak mudah untuk mencari identity `Rumah Selangor`, meskipun kita berada di tengah `Hutan-hutan Perumahan` yang didominasi oleh rumah batu di Selangor, tiada ciri-ciri yang jelas yang menjadi identity bagi negeri Selangor. Rumah moden dikenali dan diklasifikasi sebagai rumah bungalow, semi D, teres dan rumah pangsa. Meskipun bentuk berbeza tiada identity menonjol bagi negeri, bahkan cirinya bersamaan diberbagai negeri. Untuk membentuk identity cirinya kedapatan banyak dan lumrah digunakan. Lebih ketara kiranya diwarisi berterusan dan menjadi identity. Menyebut warisan, maka ianya seharusnya tradisional, dikenali dan menjadi identity, apa lagi jika kedapatan padanya ciri-ciri yang unik dan membezakannya dari tempat lain. Sebagai contoh Rumah Minang di negeri Sembilan yang bumbung rumahnya lengkok di tengah dan meninggi kiri kanannya sebagai mengambil imej tanduk dan rumah Melaka yang berumah ibu dan kelek berloteng yang diistimewa oleh tangga yang cantik dan bersih.

Bagaimana dengan Rumah Selangor ? Pihak PADAT menemui empat buah rumah yang dianggap menarik yang dapat diangkat kepada `Rumah Selangor` ? Dua daripada rumah tersebut telah musnah dan dua daripadanya masih wujud. Sebuah daripadanya di Kuala Selangor dan sebuah lagi di Sabak Bernam. Sebagaimana dimaklumkan sebelum ini pada 29 Februari 2012 kami bermesyuarat Khas di De Palma Hotel, Kuala Selangor bagi Pemuliharaan Rumah Bugis, Kampong Permatang, Kuala Selangor, bahkan pada hari ini selepas bermesyuarat kami serombongan melawat rumah berkenaan yang jauh di pedalaman di perkampungan. Tanggapan pertama terhadap rumah ini adalah terbiar. Atap rumbianya telah reput, tiris dan bocor. Dengan keadaan hujan panas boleh mempercepatkan reputnya kayu dan bangunan. Usaha menutupnya dari bahagian atas dengan plastic, tidak dapat melindungi rumah tersebut dari kereputan oleh hujan panas. Walau bagaimana kami melihat tali putih direntang horizontal dan vertical keliling bangunan bagi tujuan pengukuran dan pendokumentasian. Bangunan asal rumah ini bertiang tinggi dengan bahagian bawahnya boleh dilalui, tak perlu membongkok. Rumah bertiang ini adalah ciri umum bagi rumah-rumah tradisi Melayu Nusantara bertujuan untuk keselamatan dari banjir atau binatang buas dan dibawahnya dapat diadakan kegiatan menganyam atap, tempat permainan kanak-kanak, bahkan sebagai tempat menyimpan barang-barang. Rumah yang kami lawati ini mempunyai bahagian bahagian tengah (Ibu) lebih tinggi dari bahagaian kanan dan kiri.

Bahagian kanan (hadapan) yang lebih rendah dari bahagian ibu adalah ruang umum, termasuklah berfungsi bagi menerima tamu. Ruang tengah yang lebih besar dan luas, untuk keluarga. Bahagian loteng ialah tempat persembunyian anak-anak perempuan, jika sekiranya ada yang datang bertujuan tertentu, manakala bahagian kiri (belakang) yang lebih rendah dari bahagian tengah dan hadapan ialah untuk keluarga perempuan dan kunjungan dari kalangan perempuan. Terdapat bahagian belakang rumah ini merupakan tambahan baru yang tidak begitu significant dari segi kajian. Rumah ini tidak mempunyai bahagian lebih rendah (lambur/pelantar) untuk disandar tangga untuk dinaiki, sebaliknya tangga terus disandar ke bahagian kanan yang agak curam membahayakan kerana tinggi. Bahagian ini (lambur/pelantar) adalah biasa diadakan bagi memudahkan naik, lebih selamat dan boleh dijadikan sebagai tempat rehat. Bahkan bahagian atasnya boleh dibina anjung dan beratap. Pada dasarnya rumah berkelek kiri kanan adalah rumah biasa seperti rumah berpeleh di Terengganu (single dan double) dan rumah Melaka. Bagi rumah-rumah ini ada tebar layar pada bahagian hujung bawah atap untuk menyekat kemasukan burung, bahkan angin secara kuat.

Apa yang intimewa dengan Rumah Permatang ?

Yang mengistimewakan `Rumah Permatang` ialah dari segi seni yang mencerminkan pemiliknya iaitu Sidang Zainal Mat Taib (1920an) seorang yang mempunyai daya estetika yang tinggi yang dapat menggubah hiasan-hiasan dinding dengan craftsmanship yang halus dan menarik dengan menggubah ukiran berdasarkan tumbuhan dan unsur alam. Pada dinding ada ukiran tumbuhan secara timbul atau tebuk timbul bermotifkan misalnya sulur kacang, bunga-bungaan, awan larat, iaitu pada dinding, di atas pintu. Bagi yang bersifat tebuk tembus sebenarnya bagi tujuan kemasukan angin dan cahaya. Kita melihat pemilik rumah ini menyusun bilah kayu secara bertingkat dan berfungsi sebagai tingkap rumah yang boleh ditarik naik-turun bertujuan mendapat angin dan juga cahaya. Ianya mencerminkan kreativiti penggubahnya.

Dengan adanya berbagai ukiran timbul atau tebuk tembus sebenarnya tidak semestinya ianya mencirikan sebagai ukiran rumah Selangor, kerana ukiran sedemikian terdapat juga di tempat-tempat yang lain. Namun penelitian perlu dibuat pada motif-motif hiasan ukiran, mungkin ada kelainan dan keistimewaan yang mencirikannya sebagai ukiran Selangor. Dalam hal ini walaupun pemiliknya – Sidang Zainal seorang Bugis dan pemilik kini Salmah bt. Abdullatif (cucu) juga keturunan Bugis, ragam hias yang dibawa adalah bersifat umum dan bercirikan Melayu atau pribumi tempatan, maka jika sekiranya dalam kajian kelak ada ciri-ciri tertentu , istimewa dan kelainan dari yang lain, maka bolehlah diangkat sebagai ciri seni bina rumah Selangor. Ciri ini boleh diteliti dari rumah yang dikatakan `Rumah Bugis` di Sabak Bernam. Ruang kajian dan penelitian adalah terbuka.

Sekian.

4 comments:

  1. saya pernah ke rumah ini pada tahun 2010 kerana menemuduga anak tuan rumah untuk calon pelajar prog khas mara.saya sempat meninjau bahagian atas dan depan (asal) dan merakam bebrapa keping gambar. waktu itu rasa agak terkilan kerana rumah tersebut tidak dipelihara dgn baik. menurut tuan rumah pihak muzium pernah datang. di tempat yg sama ada sebuah lagi rumah tradisional yg lebih kecil dan comel tetapi dipelihaa dgn baik kerana kesedaran tuan rumah sendiri.teruskan usaha memelihara warisan bangsa.

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih YB kerana berusaha mengembalikan dan memelihara identiti negeri Selangor. Kita sememangnya tak boleh lupa identiti negeri kita walaupun dihimpit dengan pembangunan yang pesat dan moden.

    Saya tengok di Bukit Malawati pun dah banyak perubahan...papan penerangan tempat bersejarah telah ditukar dengan papan penerangan yg baru.

    Terima Kasih YB

    ReplyDelete
  3. maaf ingin bertanya waktu skrg student boleh site visit ke?

    ReplyDelete