March 22, 2012

Dato' Menteri Besar Menjawab Semua Soalan, DiIkuti Ucapan-Ucapan - Hari Ketiga

Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, 28 Rabiul Akhir = 21 Mac (Rabu):

Sidang Dewan yang bermula dengan menjawab soalan-soalan lisan yang memakan masa satu setengah jam (10.00 – 11.30) hari ini semuanya dijawab oleh Dato` Menteri Besar, ini ialah kerana soalan yang sepatutnya dijawab Y.A.B semalam ditangguh ke hari ini. Soalan tertangguh beliau dengan hari ini adalah berjumlah 11 soalan yang berhubung dengan Penasihat Ekonomi Negeri, Masalah Bekalan Air Bersih, Gaji minima, Program premium RM1,000, Simpanan Kerajaan Negeri Selangor Meningkat (Soalan Adun Bangi), Tapak Tanah Perkuburan Islam, Tanah Rizab Melayu, Kemelut Industri Pasir, Gejala Murtad, Sumber Air Lombong dan Tanah Kg. Sungai Buaya. Adun Bangi turut membuat beberapa soalan tambahan seperti, Masalah Air Lombong, Soalan tambahan bagi soalan Adun sendiri. Oleh kerana terlampau banyak menjawab, ditambah dengan pertanyaan dan hujah-hujah terutama dari Pembangkang, suara Dato` Menteri Besar serak. Untuk menghabiskan baki soalan baginya dan mengejar masa, untuk beberapa jawapan bagi beberapa soalan terakhir Tuan Speaker tidak membuka kepada soalan-soalan tambahan.

Selepas dari sesi menjawab soalan-soalan lisan disambung dengan sesi Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Ucapan pertama ialah penyambungan ucapan dari Adun Kg. Tengku (Y.B.Lau Weng San) yang melanjutkan ucapannya berhubung dengan keperluan-keperluan kawasannya. Berikutnya giliran Adun Teratai (Y.B. Puan Lee Ying Ha) yang juga banyak bercakap dengan keperluan setempatnya. Kemudian ucapan diteruskan oleh Adun Kota Alam Shah (Y.B.Tuan Manoharan) yang juga banyak menyuarakan kepentingan masyarakat India di kawasannya.

Selepas giliran Adun Kota Alam Shah peluang diberi kepada Y.B. Gombak Setia (Dato` Dr. Hasan Ali) Peluang ini diambil kesempatan oleh Gombak Setia menerangkan konsep JATI NGO yang dipimpinnya yang katanya sudah didaftarkan dan kini mempunyai keahlian seramai 5,000. Beliau menyindir Pakatan Rakyat yang hingga kini belum berdaftar sebagai satu kumpulan berdaftar dan bersifat longgar. Beliau nampaknya sengaja melagakan antara ketiga parti berkenaan yang setiap satu mempunyai prinsip berlainan. Beliau membuat tuduhan yang menggerunkan, kononnya apabila parti berkenaan menang, akan merubah dasar pemerintahan Negara ini, tetapi katanya, ``Tidak mungkin kerana kuasa ada pada pihak tertentu.`` Agak terkejut beliau mengambil sikap bermusuhan dengan Pesuruhjaya Pas Selangor – Y.B. Dr. Abdul Rani Osman dengan menuduhnya dengan perkara-perkara diluar jangkaan. Ucapan beliau berhenti kerana masa rehat dan disambung pada sebelah petang. Pada sebelah petang beliau yang mendakwa memperjuangkan Prinsip Islam, Melayu dan Mempertahankan Institu Raja tidak diberi perhatian dan hampir tiada soalan tambahan ditujukan kepadanya dan akhirnya beliau menamatkan ucapannya.

Selepas Gombak Setia Adun Bangi diberi peluang berucap dengan mengambil pendekatan berdasarkan Titah Tuanku Sultan Selangor bahawa negeri Selangor adalah negeri makmur yang seharusnya rakyat hidup dalam aman dan sejahtera. Adun Bangi menekankan bahawa pemerintah di negeri Selangor adalah terbaik dan mampu meningkatkan simpanan negeri Selangor kepada RM1.9 bilion. Pada masa pemerintahan BN hanya mampu mencapai RM500 milion. Dengan kemampuan ini apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri hendak menawan Selangor sebenarnya sebagai mimipi di siang hari. Adun mendedah dengan statistic dan figure tentang penyelewengan-penyelewengan yang berlaku di dalam BN terutama isu Cowgate yang menurut Daim Zainuddin Bekas Menteri Kewangan BN, boleh membawa kekalahan yang teruk kepada BN, jika tidak ditangani dengan baik. Selepas membicarakan tentang masalah dan kelemahan di dalam pemerintahan BN, Adun menunjukkan berbagai kekuatan yang telah dilakukan oleh Pakatan Rakyat di Selangor. Walaupun Pakatan telah berjaya melonjakkan Selangor dari segi ekonomi, kebajikan dan kemasyarakatan, Adun menekankan bahawa Selangor juga harus memberi perhatian membina aspek kemanusiaan, kerohanian dan kealaman. Pembangunan ini tinggi nilainya dan lebih abadi dan memberi kebahagiaan yang sebenarnya. Ianya tidak dapat dibeli dan dinilai dengan kewangan dan material. Adun menekankan pembangunan seimbang hendaklah ditekankan agak kita maju dari segi tamadun yang bersifat benda dan peradaban yang bersifat kerohanian, kejiwaan dan kemanusiaan.

Selepas Adun bercakap lebih kurang sejam, Adun Kajang (Y.B. Lee Kim Sin) mendapat giliran, tetapi selepas beliau berucap lebih kurang 10 minit, masa sidang berakhir (4.30 petang) dan beliau akan menyambung ucapannya keesokan hari.

Sekian.

No comments:

Post a Comment