July 25, 2012

Arahan Memberhentikan Serta Merta Kerja-Kerja Pembersihan Tanah Ladang - Elak Ketegangan

Ladang Bangi, 04 Syaaban 1433 = 24 Julai 2012 (Selasa):

Jam 11.00 pagi Adun menerima panggilan dari saudara Ari Krishnan Ketua Dewan Himpunan Serdang meminta Adun segera ke Ladang Bangi, kerana ketegangan berlaku antara penduduk Ladang Bangi dengan Kontraktor bagi Syarikat Pemaju Tanah Trans-Loyal di sana (Pemegang Amanah Syarikat ini ialah Pemimpin Politik Umno tempatan). Adun segera bertolak bersama saudara Shahrum dan Nabilah, tenaga kerja di Pejabat Adun dan masuk ke lokasi melalui terowong sempit dan mendapati kelompok-kelompok himpunan. Mereka sedang dikawal Polis yang datang dengan dua kereta Polis.

Ketibaan Adun disambut oleh saudara Ari Krishnan dan bersalam dengan pihak Polis dan penduduk yang semuanya dari kalangan penduduk India, manakala ke dalam sedikit terdapat Kontraktor dan pekerja-pekerjanya yang Adun juga menemui mereka. Kebanyakan kaum Cina. Dan jauh ke sebelah hadangan satu kelompok dengan beberapa buah kereta pekerja.

Adun diberi penerangan oleh seorang jurucakap penduduk setempat – En. Rajan (perumahan mereka sebelum merentas ke Terowong) yang berjumlah 25 keluarga, bahawa pihak kontrektor membersih tanah dari pokok-pokok kelapa sawit melampaui buffer zone, iaitu 100 meter dari bangunan kuil. Adalah dibimbangkan, bila berlaku hujan lebat akan menyebabkan banjir lumpur akan berlaku, khususnya ke bangunan kuil berdekatan dan juga akan mengalir ke kawasan kediaman penduduk bersebelahan. Penduduk mau supaya kerja-kerja pemotongan dan pemusnahan pokok-pokok kelapa sawit dihentikan – bertujuan untuk membangunkan kawasan perumahan.

Pihak kontraktor dikenali dengan Mr. Teoh, ditemani pekerja-pekerjanya berhujah bahawa tanah yang dibersih adalah tanah Trans-Loyal. Pembersihan bertujuan untuk membuat kolam takungan yang akan menyekat dari berlakunya banjir. Beliau menegaskan kelulusan bagi pembangunan mendapat kelulusan MPKj.

Sebelumnya kedua pihak bertegang pendapat, ada batang-batang kayu bagi digunakan sebagai senjata jika berlaku kekasaran. Sebab itu pihak Polis dipanggil bagi mententeramkan keadaan. Adalah difahamkan konflik ini sejak lama dan berterusan. Pemilik asal tanah adalah Pemilik Ladang Estate Kelapa Sawit zaman penjajah yang penduduk dulu bekerja. Mereka tidak diberi ganjaran tempat tinggal selepas Syarikat berakhir sebagaimana yang didapati oleh pekerja-pekerja ladang seperti mereka Ladang Primier mendapat pampasan 17 buah rumah. Demikian juga Pekerja Ladang Rinching mendapat pampasan 39 buah rumah. Sedangkan pekerja ladang Bangi, masih menumpang tanah pemilik Ladang dan usaha untuk mengambil tanah ini dilakukan, tapi hingga kini belum berjaya, tetapi mereka tetap bertahan di tanah perumahan estate berkenaan, walaupun mereka telah lama diminta keluar – atas alasan untuk membangunkan tanah tersebut. Adun Bangi telah beberapa kali turun menemui penduduk dan bermesyuarat membincangkan harapan dan masa depan penduduk.

Tanah yang dimajukan dipinggir tempat tinggal yang dulu ladang tempat mereka bekerja, kini tanah seluas194 ekar itu telah dibersih bagi tujuan pembangunan perumahan. Mereka melihat Syarikat Pemaju sebagai tamak dan tidak menghormati mereka dan kini makin dekat membersih tanah yang kononnya untuk membuat kolam takungan.

Tidak ada kompromi antara dua pihak. Penduduk mahu kerja-kerja dihentikan, tapi kontraktor Mr. Teoh mahu teruskan kerja dan meminta yang datang keluar dari kawasan tanah mereka untuk mengelak dari berlakunya kemalangan dan konflik. Beliau menelefon kepada bosnya untuk membawa surat salinan kebenaran PKNS memaju dan membersih tanah berkenaan bagi ditunjukkan kepada Adun sebagai bukti.

Sebenarnya selepas ketegangan ini tercetus, konflik ini segera dilaporkan kepada pihak atasan Kerajaan Negeri. Pihak Exco Negeri Selangor Y.B. Dr Xavier Pengerusi Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin bertindak mengadakan rundingan dan mesyuarat di SUK antara Exco YB Dr. Xavier, pemaju, pihak MPKj dan wakil-wakil berkenaan. Oleh kerana kedua pihak berkeras, Adun cadangkan untuk menunggu keputusan dari mesyuarat, sementara Mr Teoh menghubungi pejabatnya dan meminta pekerjanya membawa dokumen untuk ditunjukkan kepada Adun. Dalam masa tersebut hubungan terus dibuat dengan pikak SUK.

Sementara bahan dikumen belum sampai, jam 12.30 tengahari Adun dihubungi Y.B. Dr. Xavier dan bercakap secara langsung. Adun dimaklumkan:

  • Hasil dari mesyuarat & Rundingan dengan pihak-pihak berkenaan, adalah dipersetujui dan diarahkan supaya kerja-kerja membersih kawasan berdekatan kuil dan kawasan penduduk dihentikan serta-merta.
  • Buffer zon diminta dikekalkan dengan kawasan hijau
  • Menurut Y.B. Dr. Xavier, pihak Pemaju tidak pernah mengarahkan membersih kawasan tanah yang dipertikaikan penduduk
  • Pihak MPKj akan mengeluarkan surat arahan yang butir-butirnya dipersetujui di dalam mesyuarat.
  • Semua pihak diminta mematuhi arahan dan tidak menimbulkan apa-apa kekacauan.
Sementara itu dalam percakapan Adun dengan Y.B. Dr. Xavier, bahawa masalah yang dihadapi oleh penduduk Bekas Pekerja Ladang ini tidak akan berakhir selagi masalah perumahan mereka tidak diatasi. Adun mencadangkan supaya diminta pihak Pemaju membina rumah kos rendah bagi ditawarkan kepada Bekas-Bekas Pekerja Ladang ini dengan harga istimewa yang disubsidi oleh pihak Kerajaan. Y.B. Dr. Xavier menyebut, bahawa pihak Kerajaan mencadangkan kepada Pemaju membina rumah Mampu Milik yang akan ditawarkan kepada mereka dengan harga potongan istimewa.

Sebaik selesai menerima maklumat secara terus dari Y.B. Dr. Xavier Adun memaklumkan perkara ini kepada pihak Polis, penduduk dan pemaju dan meminta semua pihak mematuhi arahan.

Walau macam mana pihak Kontraktor, Mr. Teoh masih tidak berpuashati dan masih menunggu dokumen yang mahu diserahkan kepada Adun. Beliau meminta arahan yang diterima dari Exco diberi secara bertulis.

Adun mengingatkan bahawa pihak MPKj sedang mengambil tindakan. Adun juga memberi amaran sesiapa yang tidak patuh pada arahan dan jika timbul sebarang konflik akan menanggung akibat.

Selepas itu Adun meninggalkan lokasi, sedangkan dokumen yang dijanjikan masih tidak sampai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment