July 5, 2012

Menerima Aduan Dari Penduduk Pangsapuri Dan Kondo Di Seri Kenari

Sungai Ramal Luar, 14 Syaaban 1433 = 04 Julai 2012 (Rabu):

Pagi ini Adun bersama dua pengiring ke Taman Kenari, Sungai Ramal Luar kerana ada masalah yang dihadapi penduduk. Tiba ke Pangsapuri Blok A, di sana menunggu saudara Abu Bakar sebagai Pengantara yang membuat aduan. Turut hadir saudara Yusof Bachek Ahli MPKj, Encik Safwan selaku Pengerusi AGM, Encik Fauzi dari Persatuan Penduduk, Encik Erric selaku MC dan penduduk-penduduk. Tiba dan setelah menemui mereka Adun segera di bawa ke dalam bilik pump air ditingkat bawah. Adun ditunjukkan hanya satu enjin berfungsi menyedut air dan oleh kerana hanya satu unit pengepam mengepam berterusan 24 jam, maka mudahlah rosak. Sebelum Adun datang, memang sudah kecoh ketiadaan air. Hakikatnya bukan ketiadaan air, tetapi pengepam sudah rosak, kerana tidak digilir kerja mengepam air. Sebuah lagi enjin berada di tepi, tapi tak dapat digunakan kerana rosak. Difahamkan kedua-dua enjin telah digunakan sejak 10 tahun yang lepas. Tiap kali rosak, diperbaiki dan rosak kembali. Ianya perlu dibeli yang baru, bahkan penduduk mahukan ada tiga unit enjin yang dapat digilirkan penggunaannya.

Apa yang dihadapi oleh penduduk adalah normal bagi rumah pangsa, pangsapuri dan rumah-rumah seumpamanya. Perjalanan pentadbiran dapat berjalan dengan baik sekiranya penghuni mematuhi aturan, termasuk membayar penyelenggaraan. Masalah yang dihadapi persatuan penduduk JMB dan Penduduk bahawa tidak semua membayar yuran.

Khususnya bagi unit-unit yang disewa. Sebab itu bila berlaku kerosakan dihadapi, tiada wang yang dapat digunakan bagi memperbaiki kerosakan. Namun dalam rundingan bersetuju – untuk kali ini memohon peruntukan dari Ahli Parlimen dan Adun, tetapi dengan syarat penduduk harus komited sama mengeluarkan peruntukan bagi membeli enjin tambahan.

Selepas menerima aduan di sini Adun diiring dan bergerak ke dalam kawasan kondo yang jauhnya lebih kurang 1 km pangsapuri tersebut. Wakil Penduduk, Encik Jamal mengadu kepada Adun dan Encik Yusof Bachek, ``Oleh kerana kediaman mereka berstatus kondo, banyak kemudahan yang sepatutnya mereka dapat tapi tak dapat, oleh kerana mereka dianggap orang berada, pada hal harga rumah yang dibeli hanya RM80,000. Jika rumah mereka berstatus pangsapuri, mereka mendapat subsidi mengecat rumah 80%, tetapi mereka tidak mendapat kemudahan berkenaan. Encik Jamal dan AJK penduduk kondo di sini membuat tiga aduan yang diminta Adun beri perhatian.

1) Rumah kondo yang mempunyai beberapa blok 10 tingkat ini mempunyai hanya 2 buah lif. Dalam keadaan normal lif tidak dapat menampung keperluan pengguna-pengguna, tetapi sekarang satu daripada lif itu telah rosak. Sebuah lif untuk diguna ramai amat menyeksakan. Encik Yusof Bachek sebagai Ahli MPKj diharap menyelaras dan membawa ke pihak atas untuk mendapat tindakan.

2) Aduan kedua yang disampaikan oleh penduduk di sini ialah ketiadaan papan tanda bagi kediaman kondo mereka yang sepatutnya disediakan oleh Pemaju atau oleh Persatuan Penduduk. Namun Adun meminta Encik Jamal membuat ukuran, design dan wording yang boleh dikemukakan kepada Adun untuk dipertimbangkan.

3) Perwakilan penduduk juga membuat aduan bahawa pintu keluar masuk ke kawasan rumah kondo yang berpagar itu terlampau sempit, jika ada berlaku kecemasan dan kebakaran kereta bomba tidak dapat masuk. Adun menasihati supaya sebelah daripada pintu masuk diroboh dan diperlebarkan untuk membolehkan lori bomba masuk – sebelah sahaja perlu dilebarkan.

Demikianlah aduan-aduan yang telah ditimbulkan oleh penduduk dan kami akan membuat pertimbangan – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment