July 27, 2012

Perasmian Masjid Unik (Haji Mat Saman) Sungai Ramal Luar Oleh DYMM Sultan Selangor: Satu Daya Tarikan

Sungai Ramal Luar, 06 Ramadhan 1433 = 26 Julai 2012 (Khamis):

Petang ini DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Negeri Selangor merasmikan masjid yang selama ini terkenal dengan nama Masjid Jamek Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar. Dalam titahnya Baginda berharap umat Islam mengambil manfaat dari bulan Ramadhan yang mulia dengan mengisikannya dengan ibadah dan amalan kebajikan. Pegawai-pegawai pula diingat Baginda hendaklah menjalankan tugas dengan baik dan ikhlas. Ahli kariah pula hendaklah menerima baik AJK Masjid yang dilantik menurut procedure. Baginda berharap rakyat bersatu padu dan tidak berpuak-puak sehingga mendirikan solat secara berasingan. Baginda menyebut ada pihak yang tidak kena mengena dengan Islam cuba campur tangan dengan membawa isu-isu kebebasan bersuara, hak asasi manusia, liberalisma dan sebagainya bagi merosakkan Islam. Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam pada tempat yang tinggi, namun penganut-penganut agama lain berhak mengamalkan agama mereka. Baginda mengingatkan ada pihak-pihak yang menggunakan video clip & internet mempermain dan mempersendakan Islam. Semua pihak perlu berusaha memeliharakan Islam dan mengambil tindakan termasuk undang-undang terhadap mereka yang mempermainkan Islam.
Hadir ke Majlis Perasmian pada hari ini ialah DYMM Raja Muda Selangor Tengku Amir , Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Y.B. Tuan Haji Yaakob Sapari Exco, Y.B. Tuan Iskandar Exco, Y.B. Dato` Khusrin Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri, S.S. Dato` Seri Utama Diraja Tuan Haji Tamyez Mufti Kerajaan Negeri Selangor, S.S.Haji Marzuki bin Hussin Pengarah JAIS, Tuan Haji Aris bin Kasim Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat, Orang-Orang Besar Daerah dan pegawai-pegawai Kerajaan dan orang ramai.
Sebelum dari Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor, S.S. Dato` Haji Marzuki menyampaikan ucapan. Beliau menjunjung Kasih kepada Tuanku Sultan kerana sudi turun ke Daerah Hulu Langat bagi merasmikan Masjid, menyampaikan bantuan kepada faqir-miskin, Saudara Kita dan seterusnya bersolat Maghrib dan Isya` serta tarawih bersama rakyat.

Beliau menggalurkan sejarah Sungai Ramal Luar yang dikatakan dibuka oleh Tuan Haji Mat Saman yang berasal dari Kampar, Sumatera begitu juga pembinaan masjid- asalnya kayu adalah dari hasil usaha Tuan Haji Mat Saman yang mewaqafkan tanahnya untuk masjid. Haji Mat Saman meninggal pada tahun 1935. Atas jasanya mewaqaf dan mendirikan masjid ini, maka nama masjid ini dikenali dengan namanya `Masjid Haji Mat Saman`. Menurut Tuan Haji Marzuki dari cerita rakyat bahawa nama benar Sungai Ramal ialah Sungai Beramal, tetapi oleh silap tulis pada masa pendaftaran Beramal menjadi Ramal – Sungai Ramal.
Masjid Sungai Ramal ini mempunyai keunikan tersendiri yang menjadi daya tarikan bagi orang ramai mengunjunginya. Kaitan nama masjid dengan Haji Mat Saman, ialah kerana keistimewaan tokoh Haji Mat Saman yang mengasas Masjid yang pada asal dari bangunan kayu. Beliau juga orang yang mewaqafkan tanah yang pada tapak ini didirikan masjid pada tahun 1929. Sebagai pengasas beliau terlibat di dalam mentadbir dan memakmurkan masjid berkenaan. Pembinaan masjid ini selari dengan pembinaan masjid-masjid yang sezaman dengannya seperti Masjid Raja Alang Beranang (Sebelum 1900) dan Masjid Raja Muda Musa, Pekan Semenyih (1920an). Masjid Haji Mat Saman turut mengalami pembaikan dan perubahan sebagaimana masjid-masjid semasa dengannya.
Dengan wujudnya nama Jamek, iaitu Masjid Jamek Sungai Ramal Luar, bererti masjid ini adalah Masjid Besar, sekurang-kurangnya semasa pembinaannya dan Masjid Kajang Asal yang masih ada berhampiran Masjid Kajang kini yang diperbuat dari kayu (di tepi Sekolah agama di situ) adalah lebih kecil berbanding dengan Masjid Haji Mat Saman Sungai Ramal sekarang. Sebab itu Masjid Sungai Ramal ini menggunakan nama Masjid Jamek Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar, walaupun sekarang tidak lagi releven sebagai masjid Jamek dengan kedudukannya di Kajang.
Satu keunikan bagi masjid ini, bahawa setelah sekian lama diimarahkan dan bila ada cadangan untuk merobohkannya dan mahu digantikan dengan bangunan yang baru, maka dibuat ukuran arah Kiblat, maka didapati arah kiblat asal masjid ini tidak tepat (lari 29 darjah). Ketidaktepatan arah Kiblat ini disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor pada tahun 2009. Maka dengan itu arah Kiblat bagi masjid asal dibetulkan dengan garis-garis arah tidak selari dengan kedudukan arah bangunan dari segi kiblat . Ertinya berlaku perubahan mengadap Kiblat. Dengan keadaan ini kadang-kadang kami memanggil juga Masjid ini sebagai `Masjid Qiblatayn` merujuk kepada perubahan Kiblat yang dialami Nabi Muhammad ketika diarah oleh Allah mengubahkan Kiblat dari Masjid al-Aqsa kepada Kaabah di Masjidil Haram.

Tentang cadangan untuk meroboh dan membina Masjid Lama kepada Masjid Baru mempunyai peristiwa dan sejarah yang tersendiri. Pentadbir Masjid Haji Mat Saman sebelum kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Selangor telah membuat keputusan untuk meroboh bangunan lama Masjid Haji Mat Saman, namun apabila Selangor di bawah Kerajaan PR dan masjid belum lagi dirobohkan, kalau dulu mereka tidak berani membantah, tapi Kerajaan PR lebih bersifat telus, maka lahir bantahan terhadap cadangan meroboh bangunan masjid lama. Adun Bangi (Dr. Shafie Abu Bakar) menerima bantahan berkenaan. Antaranya surat bantahan dan tandatangan penduduk berjumlah lebih dari 200 orang yang dihantar kepada Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim surat bertarikh 21 November 2008 – termasuk salinan kepada Adun Bangi. Ini membuat Pengarah Jais pada masa itu – S.S. Dato Khusrin Munawi turun ke Masjid Sungai Ramal Luar – termasuk Adun Bangi hadir berunding dengan masyarakat dan keputusan diambil mendirikan Masjid Baru, tetapi tidak meroboh yang lama. Masjid baru didirikan dengan kos RM4.1 milion dan siap pada 2010. Masjid ini tidaklah begitu besar, kerana ruangnya dapat menampung 1,500 jamaah, sama dengan keluasan masjid lama yang juga dapat menampung 1,500 jamaah.


Walau macam mana dengan mengekalkan masjid lama, ianya bukan saja dapat memelihara warisan, tetapi mewujudkan keunikan. Kerana inilah satu-satunya masjid yang mempunyai gandingan masjid lama dan baru. Masjid ini dapat dipanggil dengan nama timang-timangan sebagai "Masjid Berkembar" (Twin Mosques).


Dari satu segi Perasmian Masjid ini oleh DYMM Sultan Selangor hari ini mempunyai keunikan, kerana perasmian melibatkan yang Baru dan juga yang Lama yang merupakan sebahagian dari Masjid Sungai Ramal Luar yang dirasmikan. Sebagai sebuah masjid warisan yang bersejarah dan mempunyai berbagai-bagai keunikan, maka ianya perlu dipopular agar dapat menarik kunjungan para jamaah dan pelancong melawat ke Masjid Sungai Ramal Luar ini sebagai "Masjid Berkembar". Papan tanda yang memaparkan sejarah masjid ini perlu didirikan.

Apa yang lebih penting masjid yang baru didirikan ini hendaklah dimakmurkan dari segi ibadat, pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan agar ianya menjadi sebuah masjid yang maju di Dun Bangi, mungkin maju pada peringkat Hulu Langat, bahkan negeri.

Demikianlah harapan kita agar Masjid Sungai Ramal Luar yang dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor hari ini menjadi satu `land mark` dan warisan penting di Kajang, Hulu Langat dan dipromosi hingga menarik para pelancong menziarahinya secara berterusan.

Sekian.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Dr. Shafie,

    Penulisan ini menarik kerana memaparkan sejarah tentang Masjid Haji Mat Saman. Namun begitu adalah lebih baik sekiranya dipaparkan juga gambar-gambar kedua-dua masjid tersebut, iaitu yang baru dan yang lama, supaya lebih jelas pemahaman para pembaca. Gambar-gambar yang disiarkan kini hanya tertumpu dengan berita mengenai perasmian masjid baru oleh Sultan Selangor. Jazakallahukhairan kathira. Daripada: Mohamad Omar di Kepong.

    ReplyDelete