July 28, 2012

Bermula Subuh Di Masjid Al-Hasanah

Subuh di pagi yang cerdas

Ketika syuruq di langit memerah

Seruan azan berkumandang

Menggerak mereka datang

Ke sini & ke berbagai tujuan

Tetapi disatu oleh kepatuhan

- Penyerahan & harapan

Sebaik doa diaminkan

Dan sedikit tazkirah disampaikan

Sebagai bekalan panduan

Dengan pakaian kerja

Mereka bangkit bersegera

Mengaktifkan jalanraya

Ke institusi pengajian

Ke pejabat pentadbiran

Ke pelbagai sektor pekerjaan

Mereka adalah burung-burung pagi

Mentawakkalkan diri

Dengan arus kehidupan

Dan petang berpapasan pulang

Setelah tugas amanah diselesaikan

Melengkapkan ikhtiar seharian..


Dan bagi mukmin itu

Hatinya terpaut dengan masjid

Tasbih dan salawat yang diucapkan

Dengan penuh mesra dan kasih sayang

Pada Allah dan Rasul Junjungan

Mengiringi dwi-rakaat tarawih

Adalah pancaran dari bersih iman

Yang siangnya bertebaran mencari rezeki

Dan malamnya secara jamaah

Kembali patuh pada Ilahi

Dan mengikuti pengajian

Menurut jadual diaturkan.


Suasana Subuh di Masjid Al-Hasanah

Dari pagi ke malam, hari dan mingguan

Adalah suasana juga di masjid-surau lain.

Di An-Nur, Al-Kauthar dan Al-Muhajirin

Ratusan surau berjadual pengajian

Mengidentiti Bangi Bandar Islam

Bandar Ilmu nama timangan

Masyarakat dalam kesejahteraan.


Shafie Abu Bakar,

Masjid Al-Hasanah, Bangi

07 Ramadhan 1433

27 Julai 2012.

No comments:

Post a Comment