Kau berangkat meninggalkan diriku
Semusim sayu memberat rindu.
Di hujung usia yang masih bersisa
Syukur peluang itu masih Kau panjangkan
Untuk kembali menatap wajahmu
Bersih tenang membahagiakan.
Petang ini merebut peluang itu
Dengan mengusung rindu
Ku bertolak ke Sungai Lang
Untuk mencerap kasih
Di Baitul Hilal Tuanku rasmikan
Namun sepetang memerhati ke ufuk
Di kaki langit di permukaan laut
Antara merah mentari perlahan tenggelam
Dan sinar hilal yang ditunggukan
Kau masih malu perlihatkan wajahmu
Pada perindu ini tak sabar menunggu..
Untuk hadirmu
Telah kubersih laman hati
Dari cemar lahir dan maknawi
Gotong royong membersih ruang
Surau masjid rumah persendirian
Jalan kunjungan berhias taman
Mawar attar dipercikkan
Untuk hadirmu ahlan wa sahlan.
Hadirmu bersama pakej
Madrasah pendidikan
Kusambut penuh kemesraan
Ingin bersamamu sepanjang
Sejak dari kini berterusan
Memasang niat menunaikan Ramadhan
Meriah berbuka, tarawih salawat memuji Junjungan
Membaca surat-surat firman tadarus ke malam
Berwitir tahajud dan qiyam.
Ramadhan Bulan Berkat
Menawarkan peluang kebajikan
Berbagai cara untuk diraihkan
Mengisi dana institusi memerlukan
Derma ikhlas menolong yang susah
Bersama mereka pula turun padang
Melawat pesakit, daif, uzur, miskin
Kemalangan menyampai bantuan
Senyum syukur membahagiakan.
Ahlan wa sahlan ya Ramadhan
Kudakapmu penuh kecintaan
Semerbak wangi attar Ramadhan.
Shafie Abu Bakar,
Balai Cerap,
Sungai Lang, Sabak Bernam.
29 Sya`ban 1433
19 Julai 2012.
No comments:
Post a Comment