July 14, 2012

Hangat Sidang Diceriakan Dengan Makan Buah-Buahan Tempatan

Dewan Negeri Selangor, 22 Sya`ban 1433 = 12 Julai 2012 (Khamis):

Menurut Jadual Aturan Mesyuarat Sidang berlangsung dari 9 Julai sepatutnya berakhir pada Jumaat 13 Julai, tetapi sidang diawalkan sehari dan berakhir pada hari ini dengan penambahan masa hingga jam 7.00 petang.

Sebagaimana biasa sidang bermula dengan pertanyaan-pertanyaan. Sebanyak 11 soalan dapat dijawab dalam tempoh satu jam setengah. Tidak ada soalan Adun keluar pada hari ini, namun Adun membuat dua soalan tambahan, iaitu jika wanita diberi kemudahan pemeriksaan percuma bagi mengesan kanser payu dara, tidakkah wajar diberi kemudahan sama kepada warga lelaki memeriksa penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung, namun dijawab oleh Batu Tiga (Puan Hajah Rodziah bt. Ismail), bahawa penyakit sedemikian boleh dirujuk ke Hospital Kerajaan. Tapi untuk mengesan kanser payu dara juga boleh dirujuk ke Hospital Kerajaan. Wajar tidak didiskriminasi antara lelaki dan perempuan.

Adun juga membuat soalan tambahan mengenai rancangan PKNS mahu memindahkan operasinya dari Pejabat PKNS ke Cyberjaya. Adun bertanya, mengapa hendak dipindahkan, kekalkan Pejabat PKNS BBB untuk Daerah Hulu Langat dan untuk Cyberjaya dibina pejabat yang lain bagi Cyberjaya. Menurut YAB Dato` Menteri Besar, Bangi mendahului beliau, bahawa YAB tidak tahu menahu mengenai pemindahan. Adun Bangi tegaskan, maklumat ini diperolehi dari Pejabat PKNS BBB. Adun Bangi berharap Pejabat PKNS di BBB dikekalkan, kerana ia salah satu kawasan yang maju dan perlu dimajukan lagi di bawah PKNS.

Selepas sesi menjawab soalan-soalan sidang berpindah kepada Mesyuarat Pada Peringkat Jawatankuasa dalam mana Enakmen Perbekalan Tambahan 2012 dibentangkan fasal demi fasal, iaitu Peruntukan Tambahan berjumlah RM120,115,327.23 dipecahkan kepada 29 bahagian. Ahli-ahli Dewan yang tidak berkesempatan membahaskan Perbekalan Tambahan, maka kali ini masih berpeluang membuat ucapan. Pembentangan fasal demi fasal ini mengambil masa yang panjang. Misalnya.di bawah B.1 Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan RM3,259,312.45 beberapa ahli Dewan bangkit bercakap tentang kewajaran tambahan, memberi insentif kepada pegawai-pegawai di Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan. Ada yang memuji misalnya Pegawai Daerah Gombak yang aktif dan sebagainya. Bila ahli Dewan sudah bercakap YAB Dato`

Menteri Besar menjawab, kemudian diambil keputusan dari ahli Dewan yang setuju mengatakan ya dan yang tidak mengatakan tidak. Begitulah proses dilalui bagi setiap pecahan. Perkara B.3 (tambahan RM292,386.36) juga menarik perhatian ahli Dewan. Mereka memuji pegawai-pegawai dan kakitangan di Dewan Negeri, oleh itu sangat wajar diberi peruntukan tambahan. Bagi tenaga yang bekerja secara kontrak wajar diserap ke jawatan tetap. Ahli Dewan juga berharap pekerja-pekerja di pejabat-pejabat Adun dinaikkan elaun kepada jumlah di atas paras kemiskinan (RM1,500) dan oleh kerana beban kerja di Pejabat Adun makin bertambah, maka disyorkan agar tenaga kerja yang sekarang dua orang ditambah menjadi tiga orang. Cadangan diluluskan dan akan dipertimbangkan oleh YAB Dato' Menteri Besar.

Tambahan peruntukan bagi B.14 juga menarik perhatian - Jabatan Agama Islam (tambahan RM15,550,833.47). Misal YB Meru (Dr. Abdul Rani Osman) melahirkan dukacita di atas sikap JAIS di beberapa buah masjid melantik AJK Masjid, khususnya Nazir tidak mengikut kehendak ahli kariah tempatan, tetapi ditunjuk dari atas. Beliau berharap amalan tidak demokratik ini dihentikan. B.15 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) (RM438,273.47) juga mendapat perhatian ahli Dewan, kerana pegawai-pegawai JKM yang bersikap double standard dan tidak memberi layanan kepada Adun PR. Sesetengah JKM memasukkan tenaga dari BN mengurus, menemuduga dan membuat keputusan pemilihan. Kelulusan tidak diterima yang disarankan dari Wakil Rakyat Pakatan, sebaliknya dikehendaki tandatangan dari pihak Wakil Rakyat BN.

Pendeknya perbahasan hangat dan ramai ahli Dewan mengambil bahagian. Dewan berhenti rehat jam 1.00 tengahari dan Ahli Dewan dan semua pegawai dan orang ramai menikmati buah-buahan tempatan di bawah khemah di hadapan medan Dewan yang terdiri dari durian, manggis, rambutan, dukong, santan durian beserta pulut. Suasana amat meriah. Ini adalah kali kedua jamuan buah-buahan tempatan yang disponsor oleh YB Tuan Dr. Yaakob Sapari sebagai Exco Permodanan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan. Terima kasih. Dengan jamuan buah-buahan tempatan kehangatan sidang dapat diredakan dengan suasana ceria jamuan buah-buahan tempatan.

Pada sebelah petang ialah penerusan perbahasan Perbekalan Tambahan kepada Pejabat-Pejabat Daerah yang setiap Daerah diperuntukkan lebih dari satu juta. Ahli-ahli Dewan bagi setiap daerah bangkit memuji atau mengecam perjalanan yang baik atau buruk di daerah masing-masing. Berbagai-bagai permintaan dan cadangan dikemukakan bagi kebaikan setempat. Setelah diluluskan Perbekalan Tambahan, Dewan Negeri masih terus bersidang dengan mengemukakan Enakmen Peruntukan DiRaja (Pindaan) 2012 yang tidak banyak perbincangan dan diluluskan.

Pada peringkat akhir ialah membahaskan usul-usul Peruntukan Pembangunan RM40,420,420.00 yang diluluskan tanpa banyak perbincangan. Tetapi dua usul yang dikemukakan menarik perhatian dan menghangatkan Dewan Negeri. Pertama usul dari YB Kawasan Kota Alam Shah (YB Tuan Manoharan) yang mengusulkan bahawa Negeri Selangor di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat mengarahkan serta merta PKNS untuk memberi diskaun sebanyak 7% bagi semua jenis kategori perumahan di bawah pembangunan PKNS untuk semua kaum yang lahir di negeri Selangor yang miskin dan berpendapatan kurang daripada RM1,500.00 sebulan. Usul ini diluluskan. Usul yang paling hangat ialah dari Sekinchan (YB Ng Suee Lim) yang mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang melarang semua ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Bandaraya, Perbandaran dan Daerah daripada memohon tanah kerajaan demi membina sebuah Kerajaan yang bersih dan mengelakkan sebarang amalan penyalahgunaan kuasa. Beliau juga membungkar bahawa Noh Omar mendapat tanah dalam jumlah yang banyak dan diskaun yang rendah yang disifatkan sebagai penyelewengan.

Dewan ditangguhkan selepas ucapan penangguhan Ahli Dewan Negeri Kampung Tengku (YB Tuan Lau Weng San).

Perbahasan, walaupun pendek – 4 hari dapat disifatkan sebagai tinggi mutu, terutama dari pihak kerajaan, manakala pihak pembangkang ada yang berwibawa – Contoh Permatang (YB. Sulaiman bin Abdul Razak), tetapi sebahagian besar tidak kekal hadir dalam Dewan. Ketua Pembangkang hingga akhir tidak berucap.

Inilah sikap yang prestasi mereka perlu dinilai oleh rakyat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment