July 24, 2012

Malam Ke Surau Menyampaikan Peruntukan, Siang Ke Taman Perumahan Menyampaikan Bantuan

BBB, 02 Ramadhan 1433 = 22 Julai 2012 (Ahad):

Ramadhan adalah bulan Barakah, bulan Ibadah dan bulan Kebajikan. Kehadirannya ditunggu dan dirindu oleh hati yang beriman. Sebelum kehadirannya program disusun untuk pengisian. Sebagaimana di tempat-tempat lain, begitulah dengan Dun Bangi turut membuat persiapan dengan program-program untuk pengisian. Misalnya sebelum tiba Ramadhan Adun turun ke beberapa surau menyampaikan peruntukan Ramadhan. Surau terawal bagi tujuan ini ialah Surau Al-Hidayah, Sungai Tangkas dan Surau Al-Umm Bandar Baru Bangi. Setibanya Ramadhan Adun turun ke Surau Damai, diikuti Surau Al-Hidayah Green Villa Apartment, Sungai Tangkas dan terakhir pada malam tadi ialah Surau Ar-Rahim, Seksyen 8 Tambahan, BBB. Bagi setiap surau yang dikunjungi dijemput juga wakil-wakil surau-surau berdekatan bagi menerima peruntukan. Penyampaian cek biasanya dilakukan secara ringkas selepas solat tarawih. Walau bagaimanapun tidak semua wakil-wakil surau yang dijemput dapat hadir, kepada mereka yang tidak dapat hadir, diharap dapat mengambil peruntukan terus dari pejabat Adun.

Adalah diharapkan cek-cek peruntukan ini dapat diedarkan pada minggu pertama Ramadhan agar semua surau dapat memanfaatnya mulai dari awal Ramadhan.

Sementara itu mulai Ahad 2 Ramadhan Adun turun menurut Program yang diatur oleh Lajnah Kebajikan yang diketuai Tuan Haji Roshdi dengan 8 AJK. Pada sebelah pagi kami menziarah sejumlah 16 buah rumah. Mereka terdiri dari mereka yang sakit, uzur, kurang upaya dan miskin. Pada peringkat awal ziarah turut sama ialah Y.B. Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang, tetapi beliau tidak dapat bersama keseluruhan kerana mempunyai program di tempat lain. Pada setiap rumah yang dikunjung kami menyampaikan sedikit buah tangan yang berupa wang, beras dan barangan.

Mulai hari ini juga Adun menajakan peruntukan Bubur Lambuk kepada pusat-pusat pilihan dengan memberi peruntukan RM300 bagi menyediakan Bubur Lambuk untuk diagihkan kepada penduduk di sekitar. Peruntukan Bubur Lambuk terawal ialah kepada Seksyen 7 bertempat di Pasti Siti Sarah. Saudara Mokhtaza dan pasukannya bergotong royong dari pagi menyiapkan masakan Bubur Lambuk yang difahamkan sebanyak 4 periuk besar dimasak. Adun turun pada jam 3.30 petang bersama saudara Harun Ar-Rashid menyaksikan pengagihan Bubur Lambuk berkenaan. Kawasan yang diedarkan ialah perumahan Seri Tanjung, Kajang Raya dan sebahagian dari perumahan Seksyen 7.

Sementara itu selepas menyaksikan pengedaran Bubur Lambuk Adun bersama Ustaz Shafie Ngah, saudara Harun Ar-Rashid ke apartment Seri Tanjung, menziarah mereka yang sakit, uzur dan ibu tunggal. Sejumlah 20 orang disenaraikan bagi kawasan Seksyen 7 yang perlu diziarahi, tetapi pada petang ini Adun hanya menziarah mereka yang tinggal di Apartment Seri Tanjung sahaja, iaitu seramai 6 orang. Untuk menziarah dari satu blok ke satu blok dan dari satu unit ke satu unit, kami dipandu oleh Encik Mazlan Pengerusi Surau Seri Tanjung. Sebelum menziarah kami menyaksikan gotong-royong penduduk yang kebanyakannya kaum ibu memasak lauk bagi moreh di surau. Adun bertanya, ``Adakah setiap petang memasak sedemikian ?``. Kata Encik Mazlan, ``Tidak, hanya untuk hari minggu – Sabtu dan Ahad sahaja.``. Adun juga diberi peluang mengacau rendang daging yang baru pada peringkat permulaan memasak. Selepas bersama di tempat gotong royong memasak, Adun bersama Ustaz Shafie Ngah, sdr. Harun Ar-Rashid dipandu oleh Encik Mazlan dan beberapa penduduk tempatan di sini melawat mereka yang mahu diziarah. Untuk menemui 6 orang yang dikunjungi Adun dengan Encik Mazlan dan beberapa yang lain terpaksa mendaki 5 blok bangunan. Blok Satu tingkat 5 bagi menemui ibu tunggal Puan Siti Sahrah bt. Umar dan keluarganya, Blok Dua tingkat 3 bagi menziarah Puan Ruziah Ibu Tinggal yang anaknya terpaksa dibedah kepalanya kerana kemalangan dan blok yang sama di tingkat 5 menemui Encik Adnan bin Mohd Yang uzur, Blok Sembilan tingkat Tiga menziarah Puan Maznah bt. Abdullah ibu Tunggal dan anak-anak, Blok 10, tingkat Lima menziarah Puan Norhalina Ibu Tunggal bersama dua anak dan Blok 11 tingkat empat menziarah Puan Zaiton Alias yang juga Ibu Tunggal.

Melihat dan mendengar cerita dan masalah mereka, kita turut menjadi duka dan rawan. Apa yang kita bantu tidak sepadan. Kita amat simpati dan mereka sepatutnya mendapat pembelaan. Mereka ada memohon zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi lebih banyak yang ditolak. Adun turun berat dengan duka dan keletihan, tapi apa yang menyenangkan bangunan-bangunan di sini dan kawasan di sini dijaga bersih. Terima kasih En Mazlan dan Juru Gambarnya En. Iskandar yang mengiringi sepanjang ziarah kami.

Sekian.

1 comment:

  1. Kami bagi pihak warga Pangsapuri Kelompok Seri Tanjung mengucapkan ribuan terima kasih di atas lawatan dan sumbangan kebajikan YB itu. Semoga keikhlasan itu diberikan ganjaran berlipatganda oleh Allah s.w.t..

    Gambar² yang diambil tempoh hari telah dimuatnaikkan ke laman Facebook Surau Seri Tanjung buat tatapan umum.

    Maklumat tentang para penerima sumbangan adalah lebih tepat di capaian tersebut.

    Pihak Surau Seri Tanjung dengan besar hati menanti kedatangan YB ke Majlis Khatam al-Qur’an pada 15 Ogos (malam 27 Ramadhan) nanti, insya’Allah.

    Jazakallahu khoiron katheero’.

    ReplyDelete