July 10, 2012

Itukah Saja Yang Ditawarkan Oleh YAB Dato` Seri Najib Kepada Penduduk Bangi ?

BBB, 19 Sya`ban 1433 = 09 Julai 2012 (Isnin):

"Keamanan, Keharmonian & Kemajuan", ah, itu sajakah yang ditawarkan oleh Perdana Menteri kepada penduduk Bangi semasa berkunjung ke sini semalam? (Ahad). Di katakan akan diperluaskan kepada negeri Selangor. Amat subjektif dan bukan perkara baru. Sudah menjadi motto bagi Dun Bangi - "Bandar Sejahtera, Aman, Berilmu Dan Prihatin" Bukan setakat menjadi motto, tapi inilah yang diperjuang, diusaha dan dipraktikkan di Bangi.

Mau diperluaskan ke peringkat negeri ? Apakah negeri Selangor tidak aman, harmoni dan maju? Selangor sebenarnya jauh lebih maju, bahkan aman dan harmoni berbanding dengan tempat-tempat yang lain. Itu semua janji retorik. Perdana Menteri perlu merasai denyut nadi dan jantung penduduk di Bangi yang bersifat intelektual dan amat cintakan ilmu pengetahuan, tidak cukup turun ke pasar dan menawarkan kepada mereka sekadar sebungkus nasi lemak dan secawan kopi. Untuk merasai denyut nadi mereka turunlah ke masjid atau surau mereka yang menjadi pusat dan sumber ilmu. Di Bangi ada 110 masjid & surau singgahlah berjamaah dan mengikuti kuliah dan tazkirah. Itulah identiti dominant penduduk Bangi.

Kita menunggu dari Perdana Menteri mengumumkan sesuatu yang releven dengan penduduk Bangi. Misalnya kerajaan Pusat akan mendirikan sebuah Pusat Konvensyen bagi masyarakat intelektual di Bangi atau segera akan mendirikan Sekolah menengah yang sudah ada tapaknya. Kini dengan pertambahan penduduk yang pesat lebih 120,000 berlaku kekurangan tempat persekolahan bagi anak-anak di Bangi. Kita juga menunggu bantuan mendirikan sebuah lagi masjid di Bangi yang sedang diusahakan. Tapi tiada sebarang tawaran bermakna kepada penduduk di Bangi. Khabarnya khemah-khemah di tapak kawasan percukaian, Teras Jernang tidak dikunjungi orang tempatan, hanya orang-orang yang didatangkan. Patut dibuat di Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB dekat Teras Jernang. Di situ tempat perhimpunan biasa bagi masyarakat di Bangi. Di situ patut berlaku interaksi dengan golongan intelektual dan mahasiswa/I dan dapatlah diumumkan sebarang tawaran kepada kalangan intelektual dan mahasiswa.

Tiadanya tawaran istimewa kepada penduduk Bangi, kerana situasi ekonomi yang dialami kerajaan pada masa kini setelah terlajak menggunakan wang secara boros. Dewan Negeri Selangor yang mula bersidang hari ini diberitahu, Kerajaan Pusat kini berhutang setengah trillion. Subsidi diberi kepada kroni dan bukan pada rakyat, Contoh subsidi bahan bakar kepada kroni yang sudah sedia kaya RM7.5 bilion, sebagaimana peluang diberi untuk membekalkan minyak kepada Syarikat Penerbangan MAS, Subsidi gula kepada Syarikat Syed Al-Bukhari yang menggantikan Robert Kok sebanyak RM567 juta dan subsidi tol kepada syarikat yang telah kaya sebanyak RM789 juta. Demikianlah yang kaya bertambah kaya.

Hasil minyak Negara adalah sebanyak RM80 bilion setahun. Daripada mengambil hasil ini dan diberi kepada kroni yang telah kaya di atas, misalnya membiayai pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi yang jumlah mereka 350,000 orang dengan belanja RM5 bilion setahun tidaklah menjejaskan pendapatan Negara, sebaliknya lebih berfaedah demi mendidik rakyat dengan keilmuan – termasuk di Bangi yang mempunyai 18 pusat pengajian tinggi dengan puluh ribuan pelajar. Tidak ada tawaran kepada pelajar dan tenaga pengajar dan tiada tawaran untuk dialog dengan mereka.

Kiranya Pakatan Rakyat memerintah kita akan merubah situasi yang tidak memihak kepada rakyat kepada pembelaan yang lebih adil dan saksama kepada mereka.

Sekian.

No comments:

Post a Comment