Sejak penduduk mulai menghuni (2009) Taman Kajang Impian di sini, mereka mendambakan sebuah surau. Pada peringkat permulaan mereka mendirikan khemah-khemah sementara di
Hari ini adalah Hari Perasmian dan Kesyukuran di atas siapnya surau dan dapat digunakan menjelang seminggu ketibaan Ramadhan. Hadir bagi sama-sama merasmikan Surau Al-Ittifaqiyah ini selain dari Adun Bangi, ialah Encik Yusof Bachek Ahli MPKj bagi zon 21, Ustaz Zaki bin Hussein Pengerusi Surau, Encik Azli bin Yusof Pengerusi Persatuan Penduduk yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Ustaz Mohd Nasir Imam Surau, Wakil-Wakil Masjid dan Surau dan Penduduk setempat. Tempat perasmian ialah tingkat bawah bangunan surau dua tingkat ini.
Dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Surau Ustaz Zaki menyatakan, ``Setelah menunggu selama tiga tahun, hasil dari kerja kuat, sumbangan idea dan material, maka pada hari ini kita menyaksikan terdirinya sebuah surau di atas tanah seluas satu pertiga ekar yang tersergam indah. Menurut Pengerusi, Surau ini dibina dari derma penduduk dan orang ramai.
Adun Bangi mengucap syukur kepada Allah dan mengucap tahniah kepada penduduk yang secara gigih bekerjasama menyiapkan surau yang diidamkan selama ini dalam tempoh setahun empat bulan. Oleh kerana ianya hasil dari jerit perih AJK dan penduduk tentulah rasa lebih manis dan kecintaan terhadap surau ini lebih tinggi kerana ianya hasil dari usaha bersama. Adun berharap surau yang Adun difahamkan dapat memuatkan seramai lebih 600 jamaah dari kalangan 1,000 keluarga di sini dapat dimakmurkan sepenuhnya oleh masyarakat di sini dengan kegiatan, bukan saja sebagai tempat ibadat khusus, tetapi juga sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan dan kegiatan kemasyarakatan. Adun berharap pimpinan diberi amanah mengendalikan surau ini secara kreatif berusaha memajukan surau ini dengan berbagai kegiatan. Contohi surau-surau yang maju dan dapatkan maklumat daripada seperti Surau An-Nur, Surau Al-Kauthar dan Masjid Al-Hasanah sendiri. Hendaklah ada di kalangan AJK beberapa orang yang bergiat dan proaktif nescaya surau akan maju, tetapi kita berharap semua AJK berdaya maju.
Adun berbangga dengan banyaknya masjid dan Surau di Dun Bangi yang kini berjumlah 110 buah sebagaimana Adun berbangga Bangi sebagai Bandar Ilmu. Dua aspek ini menjadi identiti bagi Bangi. Adun berharap Surau Al-Ittifaqiyah ini menjadi pusat bagi penduduk di sini mendidik anak-anak penduduk sebagai generasi yang akan mewarisi penduduk pada akan datang. Dari sini kita melatih mereka dan menghantar mereka belajar ke tahap yang lebih tinggi di mana-mana pengajian dan kembali berkhidmat di sini atau di mana-mana. Bagi penduduk jadikan surau ini sebagai rumah kedua tuan-tuan di dalam kehidupan di sini. Kuatkan ukhuwwah dan perpaduan dan elak sama sekali dari perpecahan. Kepada yang diamanah mentadbir, jalankan tugas dengan penuh amanah, insyaAllah diberi hidayah oleh Allah dan kejayaan.
Berhubung dengan hasrat AJK mau meningkatkan surau kepada Surau Mendirikan Solat Jumaat, Adun sedia menyokong, tetapi buktikan dahulu surau berdaya maju dan layak menjadi surau mendirikan Jumaat. Adun juga menyokong hasrat AJK mahu mendirikan dewan berdekatan dengan surau untuk diadakan kegiatan yang sesuai, misalnya kelas tuisyen, tempat mesyuarat, bahkan untuk kenduri kendara dan perkahwinan, tetapi hendaklah mendapat keizinan dari Kerajaan tempatan untuk mengelak dari timbulnya permasalahan pada masa akan datang. Berhubung dengan keperluan Van Jenazah, barangkali untuk setakat ini bukanlah sebagai keutamaan, kerana Adun mendapat maklumat, setakat beberapa tahun ini baru dua kematian berlaku, mungkin boleh dipinjam saja dari mana-mana masjid dan surau yang sudah ada kenderaan berkenaan, jika dibeli tidak padan, kerana tidak digunakan. Sebab itu perlu ditangguhkan kepada masa yang bersesuaian pada masa akan datang.
Buat akhirnya Adun sekali lagi mengucap tahniah dan bersyukur kepada Allah. Tanamlah kecintaan terhadap Rumah Allah nescaya kita dilimpahi Barakah.
Sekian. Wallahu a`lam.
No comments:
Post a Comment