BBB, 25 Sya`ban 1433 = 15 Julai 2012 (Ahad):
Lima hari lagi insya Allah kita akan menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Hujung minggu ini Sabtu-Ahad adalah hujung minggu terakhir bagi persiapan ketibaan Ramadhan. Pada hujung minggu ini banyak pihak mengadakan kegiatan bagi menyambut ketibaan Ramadhan seperti gotong royong membersih surau, masjid, kawasan, membersih
kubur dan rumah-rumah kediaman persendirian menurut cara masing-masing sebagai persediaan kehadiran Ramadhan.
Adun Bangi sendiri mengadakan Program Ambang Ramadhan di samping menyertai kegiatan-kegiatan setempat, khusus menyertai program-program yang Adun dijemput.
Bagi menyambut Ramadhan Adun Bangi mengadakan Program Ambang Ramadhan, iaitu dengan menaja penceramah-penceramah ke surau-surau pilihan berceramah tentang persediaan Ramadhan. Misalnya pada 14 Julai/24 Sya`ban Sabtu malam Adun menaja Majlis Ilmu di Surau Al-Hikmah, Kajang Mewah dengan membawa penceramah Ustaz Jamaluddin dari Taman Jasmin berceramah mengenai Ramadhan di surau tersebut. Turut hadir saudara Azmi Pengerusi Lajnah Masjid dan Surau, Pengerusi Surau Tuan Haji Mohd Nor, Imam Haji Jamil dan Tuan Haji Tajri yang juga selaku Pengerusi Rukun Tetangga di situ.. Ustaz Jamaluddin bercakap tentang Persediaan menerima Ramadhan. Adun Bangi menunggu sehingga selesai Ceramah. Beberapa ceramah sedemikian akan diadakan di beberapa surau pilihan sebelum Ramadhan.
Sementara mulai hari ini (Sabtu) juga Adun turun menyampaikan bantuan kepada yang uzur, sakit dan miskin kepada beberapa buah rumah di Sungai Ramal Dalam dan selepas itu diteruskan oleh pihak Jawatankuasa Kebajikan. Seramai 30 orang dapat diziarah sempena Kempen 1 Beg Beras Satu Keluarga.. Pada hari Ahad ini pula Adun turun ke kawasan perumahan di Kawasan Kajang Baru.bertempat di rumah Puan Maslina bt. Abdul Rahman, iaitui rumah keluarga India Muslim. Hadir seramai 10 orang India yang miskin, Adun membahagi-bahagikan bantuan beras dan barangan kepada mereka.
Pada hari Sabtu-Ahad ini juga gotong royong diadakan di beberapa tempat. Adun berkesempatan menghadiri beberapa daripadanya berdasarkan kesempatan masa. Pada pagi Sabtu Adun berkesempatan hadir gotong royong yang
diadakan di Surau Al-Muhajirin bagi membersih surau dan kawasan sekitar. Gotong royong di sini dipimpin oleh saudara Shukor Atan Imam Surau Al-Muhajirin dan juga saudara Rusli – Pemuda. Pada pagi Ahad ini pula, mulai dari pagi-pagi hari bersama Ketua Kampong Tuan Haji Zakaria Bujang dan Tuan Haji Abdul Halim Nazir Masjid Pekan Bangi Adun hadir bergotong royong membersih kubur di sini. Acara membersih kubur ini merupakan acara tahunan. Lebih kurang 50 penduduk setempat
membawa peralatan membersih kubur di sini. Pada pagi ini juga gotong royong diadakan di Kampong Bahagia, Bangi, namun Adun tidak mempunyai masa, kerana di dalam masa yang sama, menurut waktu yang ditetapkan Adun dijadual hadir ke Surau Ar-Raudhah Surau yang mendirikan Jumaat di Seksyen 5, Bandar Bukit Mahkota. Gotong royong di sini adalah yang terbesar dan begitu ramai dihadiri beratus orang penduduk. Antara yang hadir ialah Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj, Ustaz Awang Abdullah Pengerusi Surau, saudara Zulkifli Ambak, saudara Mohd Nizaruddin dan Encik Khairul.. Gotong royong melibatkan pembersihan surau dan kawasan sekeliling, penanaman pokok, mengecat bangunan. Sempena kehadiran Adun diadakan Majlis Perasmian. Pengerusi Surau Ustaz Awang Abdullah mengalu-ngalukan
kehadiran Adun dan memberi taklimat berhubung dengan gotong royong dan menyebut beberapa perkara yang diharap diusahakan bersama. Pertama berhubung dengan tanah kubur yang kawasannya memang telah disediakan oleh pemaju dan berharap mendapat keizinan bagi menggunakannya. Pihak pemuda mahu 2 set table tennis dan masalah keselamatan. Dalam ucapan Adun berterima kasih di atas jemputan dan memaklumkan sedikit peruntukan yang dipohon bagi gotong royong ini telah diluluskan. Berhubung dengan tanah kubur, oleh kerana tapak sudah ada, bahkan digazetkan, bolehlah dirunding dengan PAID dan JAIS, Adun sedia memberi sokongan. Adun berharap perlu dibuat surat-surat susulan dan pertemuan. Berhubung dengan 2 set table tennis, sila buat permohonan dan jika mahu segera, beli dahulu dan kemukakan resit ke Pejabat Adun. Berhubung dengan keselamatan, oleh kerana sudah ada Pengerusi Keselamatan, iaitu En. Khairul, kita berharap Skim Rondaan Keselamatan yang diatur oleh beliau & AJK akan segera dapat dilaksanakan agar kes-kes pecah rumah dan ragut yang Adun diberitahu dapat dibasmikan. Adun diberi kesempatan menyampaikan alat-alat keselamatan kepada Encik Khairul.
Program gotong royong terakhir yang Adun hadiri pada tengahari Ahad ini, sesudah jam 12.00, ialah ke Impian Putera.Turut hadir YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dan dua pengiringnya. Sebenarnya semasa ketibaan Adun, gotong royong pembersihan kawasan sudah siap. Yang mereka sedang lakukan ialah ``Memasak Bubur Lambuk !`. Inilah bubuk lambuk terawal bagi Adun bagi menyambut Ramadhan tahun ini. Bila ditanya kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Encik Azmi, ``Mengapa terlalu awal buat bubur lambuk ?`` Jawab En. Azmi secara bergurau, ``Testing sebelum Ramadhan benar-benar tiba.``. Sebenarnya kata saudara Azmi, ``Kami mengadakan kegiatan di Balai Komuniti di Padang ini hampir setiap minggu di samping di surau berdekatan bagi merapatkan hubungan penduduk, termasuk sukan.`` tambah Enzik Azmi, ``Oleh kerana hampir Ramadhan, maka hari ini sesuai diadakan gotong royong memasak bubur lambuk.`` Hadir sama ialah En. Nahrul Nizam Ismail Pengerusi Belia di sini dan Encik Baharin Isa Biro Perhubungan Awam. Masa kami tiba ini bubur lambuk 2 periok – satu perencah ayam dan satu lagi perencah daging belum masak. Sementara bubur lambuk masak kami bersembang, makan mee dan kuih.``
Kehadiran Adun juga bagi menyerahkan cek seharga RM500/= yang dipohon oleh En. Azmi bagi kegiatan sukan di sini. Pada kesempatan ini Adun menyerahkan cek ini bersama YB Teoh Nie Ching kepada Encik Azmi.
Selepas itu kami berjamu bubur lambuk! Bukan setakat makan, bila hendak pulang, kami dibekalkan dengan bubur lambuk untuk dibawa pulang!
Sekian.
No comments:
Post a Comment