Secara ringkas dengan lafaz Bismillahir-Rahmani`r-Rahim DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah petang ini merasmikan Balai Cerap Jabatan Mufti Negeri Selangor bertempat di Sungai Lang, Sabak BernamDisaksikan dengan kehadiran Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Y.B. Dr. Haji Yaakob Sapari Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodanan Pertanian, Pengurusan Sumbr Alam dan Pembangunan Usahawan, Y.B. Dato` Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Y.A.D. Dato` Setia Haji Mohamad Adzib bin Mohd Isa Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Y.D.H. Dato` Haji Baharin bin Haji Mat Akhir Dato` Orang Kaya Maha Bijaya Sabak Bernam, Y.A.D. S.S. Dato` Setia Haji Mohd Tamyes bin Abdul Wahid Dato` Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Ybhg. Tuan Haji Mohd. Zainal bin Mohd Nor Pegawai Daerah Sabak Bernam, Orang-Orang Besar, Pegawai-Pegawai, Kakitangan kerajaan dan orang ramai.
Dengan tujuan untuk mempelajari dari memahami kaedah mencerapi anak bulan Ramadan dansuasana yang berhubung dengannya Adun Bangi memang berhasrat datang, sejak menerima jemputan, walaupun agak jauh dari Bangi ke Sabak Bernam. Lantaran itu Adun bersama saudara Azizi bertolak dari pejabat Adun dan tiba jam 5.30 petang sedang elok dengan program yang disusun. Balai Cerap berfungsi untuk melihat anak bulan dan juga alam cakrawala. Balai Cerap ini diguna bukan saja oleh Jabatan Mufti, tetapi juga oleh seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Bahagian Kajian Sains Angkasa (BAKSA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Malaya (UM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS). Aktiviti falak seperti melihat anak bulan, mencerap objek di langit seperti planet, bintang, buruj, komet atau
meteor yang dapat difahami suasana dan perubahan di langit dan cakrawala. Balai Cerap ini adalah yang ketiga di Selangor selepas di Bukit Malawati di Kuala Selangor dan di Bukit Jugra Kuala Langat – ada 29 tapak cerapan di Malaysia. Kedudukannya di Sungai Lang dianggap strtegik kerana mempunyai kemudahan infra-struktur, perhubungan yang baik, berada di tepi pantai, tiada berlaku pembakaran secara terbuka, tiada pengeluaran asap dari aktiviti perindustrian serta tiada pencemaran cahaya. Skop ruang pandangannya jelas dan luas, ufuk mar`I tempat terbenam matahari di kawasan Balai Cerap adalah pada arah azimat 200 darjah hingga 296 darjah dengan kawasan kenampakan sehingga ke Tanjung Lumba-Lumba di Perak dengan amat jelas.
Projek pembinaan Balai Cerap Sabak Bernam ini bernilai RM2.1 juta. Kerja dimulakan pada 7 Mei 2009 dengan Majlis Pecah Tanah dilakukan oleh YB Dr Haji Yaakob Sapari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor. Projek ini melibatkan pembinaan ruang pejabat pentadbiran, ruang pameran, dan system teleskop bernilai RM800,000 merangkumi system Kubah yang boleh berputar 360 darjah dan 2 buah system teleskop robotic moden dan canggih yang dikawal sepenuhnya secara komputer.
Dalam Majlis Perasmian Balai Cerap ini sebelum Perasmian dilakukan oleh DYMM Sultan Selangor, S.S. Dato` Mufti Negeri Selangor menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keberangkatan Baginda bagi merasmikan Balai Cerap Sabak Bernam. Menurut Dato` Mufti, ``Ia adalah merupakan penghargaan yang amat besar.`` Tambah Dato` Mufti, ``Balai Cerap merupakan Pusat Pendidikan dan Penyelidikan bagi kursus Ilmu Falak bagi melihat planet, buruj, komet dan fenomena Alam Cakrawala.``
Menurut Tuan Mufti, ``Idea awal mencetuskan bagi didirikan Balai Cerap ini datangnya dari Y.A.B. Dato` Menteri Besar dalam satu Pameran Alat Teleskop bagi Kursus Ilmu Falak beliau mencadangkan agak kedudukan teleskop seharusnya berada pada tempat yang lebih tinggi, strtegik dan tidak dihadang pandangan oleh gangguan-gangguan sekitaran.``
Menurut Tuan Mufti, ``Setakat ini kursus diadakan bagi melihat anak bulan, menentukan arah kiblat, kamera Astro Phtographer dan lawatan-lawatan seperti oleh pelajae-pelajar.`` Tambah Dato` Mufti, ``Setakat ini seramai 1,580 pelawat datang berkunjung. Jalas ia merupakan pembelajaran bagi mereka secara tidak langsung.``
Selepas DYMM Sultan Selangor berucap merasmikan Balai Cerap, Baginda menandatangani plak perasmian. Kemudian diiringi tamu-tamu kehormat Baginda melawat pameran kegiatan pencerapan yang diadakan pada tingkat bawah bangunan. Penerangan diberi oleh Profesor Zamri Zainuddin yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Falak Negeri Selangor. Selepas itu Baginda naik ke tingkat atas melihat peralatan teleskop dan memerhati matahari yang sedang bergerak kearah ghurub. Tuanku Sultan nampaknya amat berminat dengan bidang Astronomi dan Kelautan. Percakapannya bersama pengiring-pengiring memperlihatkan Baginda mendalami keilmuan astronomi dan kaedah-kaedah mengukur dan perkiraan. Ini tak menghairankan kerana Baginda pernah mengelilingi dunia secara pelayaran laut dengan Perahu Layar Jugra.
Di atas sutuh bangunan baginda bersama pengiring mengambil masa lama bagi menunggu kemungkinan kelihatan anak bulan Syawal, tetapi sehingga masuk waktu Maghrib tidak kelihatan anak bulan Syawal. Sememangnya diterangkan bahawa, menurut kiraan hisab tiada kemungkinan tampak anak bulan Syawal pada petang ini.
Sekian.
No comments:
Post a Comment