BBB. 12 Rabi`ul Akhir 1436 = 02 Februari 2015
(Isnin):
Sebagai penyair namanya tidak terakam di dalam
buku-buku puisi utama, sama ada sebagai penyair Al-Mu`allaqat atau Penyair Dua
Zaman, tetapi nama beliau terakam sebagai penyair Islam terbilang. Abu Ali
al-Hasan bin Rashiq al-Qayrawani (390-456H.) di dalam bukunya Al-`Umdah
membariskan Abdullah bin Rawahah bersama Hassan bin Thabit dan Ka`ab bin Malik
dan memanggil mereka bertiga sebagai `Penyair Nabi a.s.` lantaran mereka membela Nabi s.a.w. dan
menentang musyrikin dengan puisi-puisi mereka.
(Al-Qayrawai, Abu Ali al-Hasan bin Rashiq,
Al-`Umdah fi Mahasin al-Shi`r wa Adabihi, Jil. 1, Dar al-Ma`rifat, Beirut,
1408/1998: 91-92).
Nama penuh bagi Abdullah, ialah Abu Muhammad
Abdullah bin Rawahah bin Tha`labah al-Ansari daripada kabilah Al-Khazraj.
Tatkala berlaku Bay`ah al-`Aqabah pertama dari Madinah dua tahun sebelum Hijrah
seramai 12 orang yang datang, maka salah seorang daripada mereka adalah
Abdullah bin Rawahah dan bila berlaku Bai`ah `Aqabah Kedua pertemuan dengan
Rasulullah s.a.w. di Makkah pada tahun berikutnya, maka salah seorang dari 73
orang yang datang juga ialah Abdullah bin Rawahah. Mereka yang datang dalam dua
pertemuan di `Aqabah ini adalah kalangan yang awal menerima Islam dari Madinah
dan dengan mereka membuka jalan kepada Hijratul Rasul yang meluaskan
perkembangan Islam di Madinah dan kemudian meluas ke berbagai tempat.
(Khalid Muhammad Khalid, Sejarah 133 Wira
Terbilang, Al-Hidayah Publications, Batu Caves, Selangor, 2009: 197), juga:
Johari Yaman, Mengenali Rasulullah, Nadi Minda Resources, Rawang, Selangor,
2009: 188-206).
Abdullah bin Rawahah mempunyai kelancaran
berbahasa dan kemahiran berpuisi, lantaran itu dengan kemahiran berpuisi
syairnya digunakan bagi kepentingan Islam.
Pada satu hari sedang Rasulullah s.a.w.
bersama para sahabat, tiba hadir sama Abdullah bin Rawahah. Ketika bersama itu
Rasululah s.a.w. bertanya kepada Abdullah bin Rawahah bermaksud, apakah yang
engkau (Abdullah bin Rawahah) lakukan sebelum mengungkapkan puisi. Jawab
Abdullah,
``Kurenungkan dulu, saya fikirkan dan kemudian
baru kuucapkan.`` Dalam pertemuan ini Abdullah bin Rawahah mengucap puisi
(syair) memuji Nabi s.a.w. dengan katanya:
``Wahai Putera Hashim yang baik, sungguh Allah
Subhanahu wa Ta`ala melebihkanmu dari seluruh manusia, dan memberimu keutamaan,
di mana orang tak boleh iri dan sungguh aku menaruh firasat baik yang kuyakini
terhadap dirimu.``
Satu firasat yang berbeza dengan pandangan
hidup mereka
Seandainya anda bertanya dan meminta
pertolongan mereka
Dalam memecahkan persoalan,
Tidaklah mereka hendak menjawab atau membela,
Kerana itu Allah mengukuhkan kebaikan,
Dan ajaran yang Tuan bawa.
Sebagaimana ia telah mengukuhkan,
Dan memberi pertolongan kepada Musa.``
(Khalid Muhammad Khalid, Sejarah 133 Wira
Terbilang, 2009: 198).
Di dalam Hadith Al-Tirmidhi dan Al-Nasai
mengenai bab Haji ada diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. masuk ke Makkah bagi
menunaikan `Umrah Qada` pada tahun ke 7H. dan Abdullah bin Rawahah adalah
bersama mengiringi Nabi s.a.w. dia berjalan mengiriringi Rasulullah s.a.w. sambil
berkata di dalam ungkapan puisi:
Beri ruang
dan jalan wahai Bani al-Kuffar
kepada Baginda
Hari ini kami
berdepan kamu dengan Perutusan nyata
Perutusan yang menghilangkan keraguan dengan
kedatangan
Kelirukah teman selaman dengan teman pembawa
kebaikan.
Menurut riwayat berkenaan,
bahawa Sayyiduna `Umar Ibn al-Khattab yang ada
bersama turut bertanya,
``Wahai Ibn Rawahah – mengiringi Rasulullah
s.a.w., Apakah dalam kawasan Baitullah al-Haram engkau mengungkap puisi ? Maka
bersabda Rasulullah s.a.w. ``Biarkan baginya wahai Umar. Dia lebih pantas
sebagai seorang Pemuka (Penyair).``
(Al-Qayrawani, Abi Ali al-Hasan bin Rashiq.
Al-`Umdah, Jil I, 1408/1998: 92).
Abdullah bin Rawahah, bukan saja tokoh yang
unggul di dalam bidang perpuisian, dia sebenarnya tokoh unggul dan mujahid di
dalam bidang peperangan. Perkembangan Islam terpaksa menghadapi
halangan-halangan kaum kuffar dan terpaksa berdepan dengan
peperangan-peperangan bagi mempertahan dan memperkukuhkan Islam. Abdullah bin
Rawahah adalah wira dan mujahid yang menyertai sama dalam peperangan Badar,
Uhud, Khandak, Hudaybiyah dan Khaibar. Ungkapan-ungkapan puisi yang digubahnya
menjadi peniup semangat jihadnya. Kata Abdullah bin Rawahah:
Wahai diri,
Andaikata engkau tidak tewas oleh senjata
Engkau akan mati satu masa di mana jua.
Dia juga mengungkapkan:
Beri ruang dan jalan Rasulullah datang
Setiap kebaikan ditemui pada Rasul Junjungan.
Sebagai pahlawan Abdullah bin Rawahah
bercita-cita mati di dalam medan perang. Beliau bersumpah:
Aku telah bersumpah wahai diri, maju ke medan
perang
Tetapi kenapa kulihat, engkau menolak Syurga
Wahai diri, bila kau tak tewas terbunuh, kau
pasti mati
Inilah kematian sejati yang sejak lama kau
nanti.
Tibalah waktunya apa yang Kau idam-idamkan
selama ini
Jika Kau ikuti jejak keduanya, itulah pahlawan
sejati namanya.
Terakhir Abdullah bin Rawahah menyertai
peperangan Mu`tah di bumi Balqa` berdepan dengan tentera Rum di bawah pimpinan
Haraclius yang tentera mereka berjumlah 200,000 jauh mengatasi jumlah tentera
Islam. Tentera Islam pada mulanya dipimpin oleh Zaid bin Harithah, apabila Zaid
gugur syahid, bendera yang dipegangnya disambar dan diambilalih oleh pemimpin
kedua Jaafar bin Abi Talib hingga beliau juga beroleh syahid dan dia diganti
dan diambil alih oleh Abdullah bin Rawahah sebagai Pemimpin Ketiga. Di dalam
kecamuk peperangan itu Abdullah bin Rawahah turut sama terkorban sebagai syahid
yang selama ini dicita-citakan. Kewiraan ketiga-tiga mujahid syahid berkenaan
mendapat pujian dan sanjungan Rasulullah s.a.w. (Khalid Muhammad Khalid,Sejarah
133 Wira Terbilang, 2009: 199-2001).
Abdullah dengan dua Bay`ah al-`Aqabah
Pembuka ruang ke arah Hijrah Rasulullah
Dia mengungkap puisi memuji Baginda
Berdakwah melalui ungkapan kata
Dia Mujahid Syahid di Medan Perang
Dia `pergi`, harum namanya terbilang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment