BBB, 19 Rabiul Akhir 1436 = 09 Februari 2015
(Isnin):
Estetika adalah termasuk di bawah bidang falsafah
seni. Estetika ialah nilaian yang berhubung dengan keindahan, keharmonian,
keserasian bahkan kebenaran. Estetika boleh bersifat lahiri seperti
tanggapan inderawi terhadap sesuatu yang
bersifat estetik, seperti keindahan sebuah tulisan khat, pandangan alam atau
ukiran bermotif tumbuhan dan sebagainya. Estetika juga melibatkan yang bersifat
akli, maknawi dan rohani seperti kekaguman terhadap kejituan dapatan ilmiah dan
keharuan terhadap keintiman kerohanian sufi.
Sebagaimana disebut, bagaimana menampilkan
intro bagi sesuatu subjek adalah sesuatu yang tidak mudah yang ianya bukan
semata-mata secara intro, tetapi seharusnya releven dan mempunyai kaitan dan
galuran dengan subjek yang diperkatakan, bahkan releven dengan konklusi bagi
keseluruhan.
Intro mungkin dengan mengenang kembali episod sejarah lepas dan dikaitkan dengan
subjek yang dibicarakan. Misalnya penyair-penyair Jahiliyyah selalu merujuk
kepada peristiwa-peristiwa perbalahan kaum bagi membangkitkan rasa dendam dan
dikaitkan dengan tema-tema puisi untuk menuntut bela, kecaman, ejekan dan
sebagainya yang jelas mencerminkan sifat Jahiliyyah.
Adapun pembukaan bagi surah (`Al-Fatihah =
Pembukaan) adalah paling tepat dan indah. Pembukaan adalah:
1) Bermula dengan Hakikat kewujudan Yang Abadi (Allah) bersifat Rahman dan
Rahim
2) Hakikat Tuhan segala Alam yang bersifat Rahman dan Rahim
3) Tuhan yang memiliki hari Akhirat (Al-Din)
4) Kepada-Nyalah hamba menumpukan ibadat dan memohon pertolongan
5) Permohonan agar diberi hidayah ke jalan yang betul, tidak jalan dimurkai
dan jalan sesat.
Kita lihat penyusunan persoalan adalah padat, teratur
dan seturut serta indah dari segi penampilan. Dengan demikian yang membaca
memahami, khusyuk dan merasa kekudusan jiwa.
Telah disentuh sebelum ini keindahan dari segi
adab, bahawa yang elok dinisbahkan kepada Allah, sedang yang tidak elok tidak
dikaitkan dengan-Nya sebagai adab. Maksud nikmat dinisbahkan kepada kurnian
Tuhan. Adapun kemurkaan dan kesesataan adalah kesalahan diri.
Dari segi ayat-ayat yang disusun tujuh ayat,
iaitu panjang pendek sesuatu ayat adalah bersesuaian dengan nafas pembacaan
seorang yang normal.
Antara ciri estetika antaranya bersamaan,
bertentangan, berselang dan sebagainya Surah Al-Fatihah adalah mempunyai ciri
estetika dari segi bunyi, iaitu bunyi bagi akhir tiap-tiap ayat diakhiri dengan
`nun` dan `mim` yang bunyi kedua-duanya berhampiran. Kesan bunyi yang sebutan
akhirnya bersamaan menimbulkan kesan estetika pada pembaca dan juga pada
pendengar.
Al-Fatihah dan juga surah dan ayat-ayat yang
lain memberi kesan dari segi kefahaman dan penghayatan lebih-lebih lagi apabila
ianya dibaca secara jahar (kuat).
Perlu diingat bahawa membaca Al-Fatihah dan
ayat-ayat yang lain dikawal dari segi betul atau salah pembacaan melalui kaedah
yang dikenali dengan `Ilmu Tajwid`. Ketepatan, kebaikan dan kemerduan bacaan
hendaklah menepati kaedah-kaedah ilmu tajwid. Ketidakpatuhan kepada ilmu tajwid
akan merosakkan bacaan dan dianggap tidak betul.
(Haji Abdul Qadir Leong, Tajwid Al-Qur`an,
Pustaka Salam Sdn. Bhd., Batu Caves, Kuala Lumpur, 2002: 110 hlm.).
Al-Fatihah dan ayat-ayat Al-Qur`an dapat
dibaca dengan Ilmu Qiraat, iaitu sama ada mengikut kaedah bacaan Imam Nafi`, Qalun, Warsh, Al-Shatibi, Imam
`Asim, Hafs, Imam Kisani dan dan kaedah-kaedah bacaan yang lain. Di Malaysia
pada umumnya menurut Qiraat Hafs.
(Haji Mohd Nazri Abdullah, Manhaj Qiraat 7,
Pustaka Salam Sdn. Berhad, Batu Caves, Kuala Lumpur, 2007: 157hlm.).
Satu yang ketara, terutama dari aspek estetik,
bahawa ayat-ayat selain sempurna dari segi fasahah dan lancar, bahawa tiada
bacaan yang lain seperti Al-Qur`an, dapat dibaca dan dilagukan secara tarannum
dan berlagu dengan berbagai jenis lagu yang mempunyai kaedah dan pendekatan tersendiri.
Lagu-lagu Al-Qur`an dan kekudusannya mempunyai daya tarikan tersendiri.
Sesungguhnya ayat-ayat Al-Qur`an mempunyai keistimewaan tersendiri, seorang
dengan mudah dapat membezakan antara bacaan Al-Qur`an dengan bacaan yang lain.
Mu`jizat dan kelicinan Al-Qur`an membolehkan ianya dihafal. Tidak ada teks
seumpama Al-Qur`an yang mudah dihafal dan menerangkan hati. Dengan menghafal
Al-Qur`an memudahkan penghafalnya mempelajari keilmuan yang lain. Sesungguhnya
membaca dan mengaji Al-Qur`an menjadi budaya masyarakat Islam mempelajari dan
membaca sejak zaman kanak-kanak hingga ke akhir hayat.
Ayat-ayat Al-Qur`an juga sebagai Ruqyah dan
tarapi jiwa yang antaranya terbukti mereka yang membaca dan menghafal Al-Qur`an
tidak mudah menjadi nyanyuk. Pembacaan Al-Qur`an, khususnya Al-Fatihah memberi
kesan ketenangan kepada pesakit, menukar suasana menjadi tenang dan terkawal dan
khalayak menjadi khusyuk.
Sesungguhnya Al-Qur`an adalah Ummu al-Kitab.
Sekian.
No comments:
Post a Comment