February 1, 2015

Peristiwa-Peristiwa Terakam Di Dalam Diwan Hassan Bin Thabit


BBB, 10 Rabiul Akhir 1436 = 31 Januari 2015 (Sabtu):
Sebagaimana disebut jumlah judul puisi di dalam Diwan  Hassan bin Thabit ialah sebanyak 246 judul, maka logiknya peristiwa yang diperkatakan adalah sejumlah yang demikian. Telah dibincangkan antara peristiwa penting yang telah diperkatakan ialah Perang Badar (al-Kubra), Perang Uhud, Pembelaan Hassan bin Thabit Terhadap Sayyiduna `Uthman bin `Affan, Abu Sufyan bin al-Harith Menerima Islam, Abu Jahal Dalam Puisi Hassan bin Thabit dan  Abu Lahab Namanya Di Dalam Al-Qur`an. Peristiwa-peristiwa ini adalah merupakan sejumlah kecil dari peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam Diwan Hassan bin Thabit. Selain dari peristiwa-peristiwa yang telah disebutkan maka antara peristiwa penting yang lain ialah seperti:



1)      Hari Penghantaran Guru Al-Qur`an (hlm. 34)
2)      Hari Hudaybiyah (44)
3)      Tentang Bani `Auf (66)
4)      Ahlu Mu`tah (164 & 168)
5)      Hari Yarmuk (172)
6)      Telaga Ma`unah (176)
7)      Hari Khandak (177 & 258)
8)      Bani Sulaim Hari Pembukaan Makkah (184)
9)      Murtad pada Zaman Abu Bakar (197)
10)   Bani al-Harith bin al-Khazraj (202)
11)   Pencuri Baju Besi (255)
12)   Pertikaian Antara Perutusan Aus dan Khazraj (266)
13)   Penyair Arab Dan Abu Bakar (281)
14)   Hassan Dan Ibn al-Zuba`ri (282)
15)   Hassan, Amru Ibn al-Harith Dan Penyair-Penyair (288)
16)   Hari Bani Quraizah (313)
17)   Hari Yang Panas (330)
18)   Al-Zuba`ri Melarikan Diri Dari Makkah (343, 373 & 395)
19)   Lelaki Dari Ghassan Dibunuh Oleh Raja Kisra (376)
20)   Cerita Jibillah bin al-Ayham (381).
Sebagaimana tokoh-watak ada yang baik dan ada tidak baik, maka demikianlah dengan peristiwa. Misalnya bagi bilangan (1) Cerita penghantaran Guru Al-Qur`an ke tempat `al-Raji` antara Makkah dan Asfan bermula dengan satu kumpulan telah menemui Nabi s.a.w. untuk mendapat guru Qur`an dan Pengajaran Tentang Hukum-Hukum Syara`. Nabi menghantar 6 orang dari kalangan sahabat, iaitu Marthad, Khalid bin al-Kabir, `Asim bin Thabit, Habib bin `Adiyy, Zaid bin al-Da`inah dan Abdullah bin Tariq. Mereka diperdaya, sesampai di Al-Raji` mereka diserang dalam mana tiga terbunuh iaitu Marthad, Khalid dan `Asim, manakala tiga yang lain iaitu, Zaid, Khubaib dan Abdullah ditawan. Hassan meratapi di atas tipu daya dan pembunuhan dan penawanan mereka:
Beristighfar kepada Allah dengan tragedi berlaku
Pada Hari Al-Raji` mereka konon dimulia tapi diperdaya
Ketua Pengajian Marthad, Penghulu rombongan
Ibnu al-Kabir Imam mereka dan Khubaib
Dan Ibn li Tariq dan Ibn Da`nah kalangan mereka
Jujur mereka dengan arahan tertulis
Terhalang dari mendapat faedah perutusan
Sanggup mereka membunuh secara tipuan
Dan `Asim yang terbunuh di Al-Raji`
Tingginya pengorbanan kalian ganjaran di sisi Tuhan.
(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 34-35).
Sebuah contoh peristiwa baik ialah sokongan Bani Sulaim terhadap Rasulullah s.a.w. pada Hari Pembukaan Makkah dan menghantar penyokong dengan seribu orang. Hassan mengungkapkan pujian:



...
Mereka mendatangi Rasul dan berkata wahai yang paling dipercayai
Bagi orang mukminin dialah seadil-adil manusia
Perutusan bernama Bani Sulaim penuh rela
Di hadapan kaum mereka melindung dan menolong
Allah menamakan mereka Ansar kerana pertolongan
Agama pertunjuk pembela dalam peperangan
Mereka berjihad di jalan Allah dan dapat pengiktirafan
Cekal menghadapi ujian mencapai kemenangan.
...
(Diwan Hassan bin Thabit. 1412/1992: 185).
Sebuah lagi peristiwa ialah mengenai tipu daya Yahudi. Terdapat tiga kelompok Yahudi di Madinah, iaitu Bani Qurayzah, Bani Qaynuqa` dan Bani Al-Nadir. Mereka membuat perjanjian sama menjaga keamanan dan mempertahankan Madinah dari Musuh, tetapi sikap mereka berubah, khususnya selepas Peperangan Badar. Mereka melanggar perjanjian. Mereka jadi duri dalam daging bagi pemerintahan di Madinah. Berikut dari beberapa perlanggaran perjanjian ketiga-tiga Kabilah Yahudi ini diusir dari Madinah. Peperangan dengan Bani Qurayzah berlaku pada tahun kelima Hijrah (Johari Yaman, Mengenali Rasulullah s.a.w., Nadi Minda Resources, Rawang Selangor, 2009: 413-417). Berhubung dengan peperangan ini Hassan mencatat di dalam puisinya mengenai kepungan terhadap Bani Qurayzah:
Ku Bertemu Qurayzah Dengan Kekejiannya
Aku bertemu dengan Bani Qurayzah dengan kedegilan
Mereka dikepung dengan penuh kehinaan
Sa`ad bin Mu`az mengingatkan mereka dengan nasihat
Dengan balasan Tuhan di atas meyalahi perjanjian
Mereka mahu membatalkan perjanjian dimeterai
Sehingga mereka diperangai sama oleh Rasul
Dikepung kubu mereka dengan saf-saf pahlawan
Dengan kepungan mereka hilang kekuatan
Balasan bagi mukminun nikmat syurga
Mereka berada di bawah lindungan Tuhan.
(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 313).
Demikianlah huraian berdasarkan puisi mengenai tiga dari peristiwa yang dipaparkan di atas. Sudah tentulah lebih banyak dan luas peristiwa jika dihuraikan semuanya. Pokoknya dapat dilihat betapa puisi-puisi Hassan bukan saja menampilkan ciri-ciri estetika dan perpuisian, tetapi mendukung sama elemen sejarah, budaya dan nilai sezaman. Lebih penting lagi Hassan secara tidak langsung merakam sejarah Islam sejak dari awal Islam, bahkan sebelum daripadanya sebagai penyair dua zaman pra dan zaman Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment