February 26, 2015

Elemen Estetika - Alamiah, Akliah, Qalbiah & Rohaniah


BBB,  06 Rabiul Akhir 1436 = 25 Februari 2015 (Rabu):


Telah dibicarakan bahawa kesedaran yang bersifat mental (akliah) di dalam masyarakat pada peringkat permulaan begitu lambat dan memakan masa yang panjang. Kesedaran pada peringkat permulaan lebih merupakan desakan keperluan alamiah kehidupan individu dan masyarakat itu sendiri. Keperluan berbahasa bersifat akliah untuk tujuan komunikasi dan keperluan mengenal huruf bagi keperluan catatan, ingatan dan pengekalan juga mengambil masa yang begitu panjang sebagai berlaku pada masyarakat yang awal mengenal huruf seperti di Iraq, Mesir dan Pheonix sejak 5,000 tahun s.m. dan selepasnya. Proses ini – termasuk perkembangan pada peringkat konsepsi adalah dikenali dengan Takmilah Akliah.
Telah pernah disebutkan bahawa `Tiang Seri` bagi Takmilah ialah aspek estetika yang ditegak bersama oleh pengkarya dengan keilmuan (Takmilah Akliah) yang memuncak kepada piawaian tertinggi Takmilah. Persoalan yang boleh ditimbulkan:
1)      Apa yang dikatakan elemen estetika
2)      Di manakah keberadaannya
3)      Bilakah elemen estetika hadir di dalam sesuatu, khususnya bagi sesuatu yang dilihat dari segi Takmilah.
4)      Perlukah kepada keterlibatan penanganinya
5)      Pengkategorian estetika
Berhubung dengan persoalan apakah yang dikatakan estetika itu, banyak pendapat berhubung dengan istilah yang bersifat falsafah ini, tetapi antaranya ada yang mengatakan bahawa:
`Aesthetics` yang dengan istilah biasa dikenali dengan indah ialah, ``Sesuatu yang mengandungi banyak pecahan dan anasir. Estetik adalah kesatuan yang terhimpun di dalamnya kepelbagaian, kelainan yang kesemuanya sebagai satu tenunan yang menghasilkan Estetik berkenaan.``
Dalam ungkapan yang lain dikatakan:
``Keindahan tiada lain melainkan pada sesuatu yang indah, iaitu keserasian unsur dan ketidak serasian yang menyatukan.`` – Pendapat Aristotle.
(Dr. Abdul Mun`im al-Hafani, Al-Mausu`ah al-Falsafiyyah, Dar Ibn Zaidun, Beirut – Maktabah Madbuli, Al-Qahirah, tt: 157).
Bagi menjawab pecahan dua, bahawa elemen estetika adalah berada di mana-mana. Sebagaimana pernah disebut bahawa segala kewujudan adalah ciptaan Allah yang bersifat Kamal dan Jamal. Sifat-sifat ini termanifestasi di dalam kejadian ciptaan-Nya yang pada hakikatnya indah dan sempurna.
Walau bagaimana sebagai jawaban kepada pecahan ketiga, meskipun elemen ini berada di mana-mana sebagaimana tercermin di dalam makna estetika yang dipetik di atas, maka tidak semua dapat menanggapi elemen estetika yang berada di mana-mana ini. Ia memerlukan keilmuan yang dapat memahami hakikat dan falsafah estetika. Selain daripada itu individu sama ada pengkarya atau sesiapa yang mau menghayati elemen estetika ini perlu persediaan, selain dari keilmuan, dia seharusnya mempunyai persepsi seni yang dapat menangkap dan menanggap aspek-aspek dan elemen seni berkenaan.
Bagi memahami maksud estetika yang dipetik bahawa estetika ialah himpunan elemen yang serasi dan kontradik yang kesegalaan menimbulkan estetik. Sebagai contoh andaikan anda berada di tepi laut pada satu petang yang agak damai. Anda melihat unsur bersamaan air laut bergelombang, ada sebuah pulau di kejauhan tengah laut berbalam antara gerakan awan, Di tengah laut ada beberapa perahu nelayan yang turun dan naik di puncak ombak dipukul gelombang, sedang di tepi pantai ada pokok-pokok ru tinggi rendah dan kecil besar sedang ditiup angin bersama pokok kelapa tinggi berlambaian. Di tepian adalah pasir putih memanjang pantai. Berbagai elemen persamaan seperti air dan pasir , tidak bersamaan seperti pokok yang tinggi rendah adalah bersatu dari berbagai unsur sebagai kesatuan yang menimbulkan rasa estetika - indah dan damai.
Setengahnya himpunan dari berbagai elemen kontradik. Contoh sebuah taman yang landscaping tanahnya tinggi rendah dengan pokok bunga berbagai warna, pokok besar dan kecil dan sebagainya adalah menimbulkan elemen estetik. Elemen estetik ini tidak semata-mata bersifat pandangan nyata yang kita istlahkan sebagai `Estetika Alamiah`, tetapi, sifat-sifat yang lain - `Akliah, Qalbiah dan Rohaniah.
Namun kesedaran terhadap elemen ini sebagai menjawab pecahan empat, bahawa elemen estetika ini tidak disedari oleh orang awam. Ia memerlukan kepada mereka yang mempunyai ilmu dan kefahaman tentang seni dan tajam dengan mata seni. Aspek berkenaan penting di dalam memupuk keharmonian jiwa individu dan masyarakat, timbul kesedaran menghargai nilai-nilai estetik dan keindahan, bahkan menyedari kekuasaan dan kebesaran Allah yang membuat hamba tenang, berada di dalam harmoni, tama`ninah, bertasbih, bersyukur dan memuji Allah. Mengenengah dan menyedarkan masyarakat dengan elemen-elemen ini turut sama berperanan di dalam menentang sifat liar dan bercanggah dengan nilai-nilai murni masyarakat.
Menjawab kepada pecahan di atas, bahawa telah disentuh pecahan yang bersifat `Takmilah Akliah` pada tahap rendah dan permulaan (mengenai pertumbuhan bahasa) yang dapat diperluas dan diperdalam kepada bidang yang dalam dari segi  Takmilah Akliah dan apa yang dibicarakan di atas ialah estetika yang bersifak Takmilah Alamiah yang juga dapat diperluaskan lagi dari segi skop dan ruanglingkup.
Manakala dua bidang lagi adalah bidang yang lebih luas, iaitu Estetika Takmilah Qalbiah yang berhubung dengan sentuhan hati yang darinya mengalir elemen  rasa estetik - kemanusiaan. Misalnya dari hati lahirnya sifat kasih, rindu, sayang, cinta, marah, benci, cemburu dan sebagainya yang elemen-elemen ini banyak mewarnai perasaan dan gelombang kehidupan yang menceria dan mebahagiakan hidup. Sudah tentulah bidang ini begitu luas dapat diterokai dan dihurai.
Bidang rohani adalah bidang yang berkait dengan aspek dalaman jiwa yang menyentuh persoalan akhlak dan tasawuf yang menimbulkan keihsanan. Penerokaan bidang ini memerlukan seseorang memahami, bahkan mendalami, menghayati dan mengamal bidang ini. Sesungguhnya kedalaman di dalam bidang rohani dan hidupnya dengan intuisi rohani memungkinkan seseorang mengungkapkan aspek rohani secara mendalam. Penyair-penyair kerohanian (tasawuf)  mencapai tahap tinggi dari segi kepuisian, kerana kemampuan mereka mengungkapkan kehalusan rasa yang kaya dengan nilai-nilai rohani yang tinggi. Contoh Rumi. Hafiz, Jami, Iqbal dan sebagainya.
 Di bawah pecahan ini boleh dibicarakan satu lagi aspek iaitu aspek Nafsu Rendah (Ammarah), tapi aspek ini, walaupun wujud, tetapi terletak di bahagian luar dari segi Takmilah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment