February 27, 2015

Takmilah Alamiah Lumrah: Istimewa Nadir & Purba Memupuk Kecintaan


BBB, 07 Rabiul Akhir 1436 = 26 Februari 2015 (Khamis):


Berbanding dengan Takmilah Akliah. Qalbiah dan Rohaniah, maka Takmilah Alamiah yang tabi`i adalah lumrah (bermaksud belum disentuh manusia), lantaran itu oleh kerana banyaknya, maka ianya tidak diberi perhatian. Tiada perhatian oleh kerana tiada kesedaran pada diri manusia yang berada pada `haluan zaman`. Khazanah alamiah yang bernilai dari segi estetika dan ilmu pada hakikatnya berterusan. `Kesedaran` misalnya tentang wujudnya permukaan bumi dan lapisan-lapisan yang menyimpan berbagai-bagai bahan khazanah yang tak ternilai – termasuk khazanah laut adalah satu yang`berharga`. Begitu juda dengan berbagai-bagai hidupan yang pernah hidup sejak zaman pra-sejarah  adalah juga `berharga`. Dari bumi berpindah kepada planet-planet, cakerawala dan bintang-bintang yang tak terpermenai banyaknya. Semuanya adalah indah, teratur, mengkagumkan dan `tak terharga` yang mencerminkan kesempurnaan, keindahan dan keagungan Allah Subhanahu wa ta`la (Maududi. Abul A`la, Towards Understanding Islam, Islamic Publications Ltd., Lahore, 1972: 180 hlm.).
Bila sebenarnya khazanah kesempurnaan dan keindahan ciptaan Allah ini disedari ?
Kesedaran sebenarnya berlaku dengan kesedaran bermula dari diri manusia itu. Kesedaran bermula dengan kesedaran akliah terhadap fonomena alamiah yang digerak oleh desakan dan pengalaman yang dilalui, sedangkan faktor alamiah adalah berlalu dengan sifat tabiinya secara berterusan. Kesedaran biasanya lebih lewat dari sesuatu yang semasa ditempuhi. Misalnya kesedaran tentang wujudnya hidupan awal pada zaman pra-sejarah menimbulkan ghirah untuk diketahui melalui usaha cari gali. Penemuan tentang wujudnya tumbuh-tumbuhan pada masa lampau di lapisan perut bumi di Padang Pasir yang menghasilkan minyak bererti sebelumnya ia adalah merupakan kawasan yang subur. Begitulah misalnya dengan penemuan fosil-fosil haiwan zaman lampau di berbagai-bagai kawasan di dunia. Ianya merupakan suatu yang significant, indah, sempurna dan menarik dalam konteks zamannya dan amat memberi faedah kepada masyarakat kemudiannya – Sekurang-kurangnya dari segi maklumat dan ilmu pengetahuan.
Adalah menjadi falsafah seni, bahawa walaupun sesuatu `barang` itu lumrah wujud pada zaman lampau, tetapi kini hanya beberapa atau satu-satu yang ada yang dapat diwarisi, maka ianya menarik, indah dan ditanggapi sebagai sempurna, walaupun tidak sempurna. Contoh penemuan fosil dinasaur di satu-satu tempat, ianya menarik perhatian dan timbul berbagai andaian, jangkaan dan imaginasi tentang realiti, kesempurnaan dan keindahan situasi silam berkenaan. Elemen nadir, purba, unik dan kelainan memainkan peranan di dalam meningkatkan persepsi, apresiasi dan penghargaan. Sesuatu yang bersifat demikian menjadikan bahan-bahan berkenaan diletak tempat berharga atau muzium yang memberi peluang kepada orang ramai turut sama menghayati dan mengimaginasi.
Kelainan, purba, unik dan bersejarah misalnya menjadikan sesuatu yang berharga dianggap warisan dunia dan dipreserve untuk kepentingan generasi yang akan datang dan seterusnya. Apakah yang menjadikan sesuatu misalnya yang purba itu menarik perhatian, disanjung dan dihargai ?  Sedangkan sesuatu objek tertentu pada hakikatnya tiada lain dari realiti yang ada.  Perhatian, peningkatan tanggapan, penghargaan dan pengunggulan pada hakikatnya adalah dari kesedran diri manusia yang meletakkan sesuatu pada kedudukan tertentu sebagai warisan.
Apa yang dibicarakan di atas adalah elemen-elemen alamiah yang bersifat tabi`i yang bernilai seni dan benar, walaupun dari segi objeknya tidak menarik – contoh penemuan fosil, tetapi kenadiran, kepurbaan dan ianya satu-satu ditemui di satu negeri menjadikannya significant, menarik, dibangga dan dihayati. Penyanjungan, penghayatan dan pengunggulan sebenarnya kembali kepada kesedaran, nilai dan peningkatan kesedaran yang ada pada manusia dan masyarakat terhadap sesuatu.
Di sebalik dari elemen estetika & Takmilah yang bersifat alamiah tabi`ah, ianya tidak bererti tanpa aspek alamiah-insaniah, iaitu sesuatu objek atau hasil yang sudah melibatkan campur tangan manusia. Ianya bersifat purba, nadir, unik dan mengkagumkan. Contohnya penemuan peralatan batu di dalam gua yang digunakan oleh manusia purba, alat-alat pertanian atau menangkap ikan yang mencerminkan cara hidup mereka pada zaman purba. Pakaian dan alat memburu dan sebagainya. Penemuan-penemuan alat-alat berkenaan, walaupun tidak menarik dari segi material, tetapi indah, berharga dari segi seni dan budaya. Kesedaran tidak lain dari pancaran kesedaran dari dalam diri manusia itu sendiri.
Sebenarnya peningkatan yang diberi tidak lain dari kesedaran tentang kesedaran diri – khususnya  manusia – saudara-saudara kita di dalam pergulatan hidup. Bukti-bukti adalah cebisan dari pertalian dan kesinambungan hidup manusia itu sendiri.
Pada dasarnya, hasil dari kesedaran, menyerlahkan hakikat manusia, bahawa manusia adalah berterusan dalam pencarian lantaran didesak naluri ingin tahu, walaupun mereka paling utama berdepan dengan masa depan yang penuh cabaran bagi meneruskan kehidupan yang diharap lebih sempurna, manusia juga merasa kehilangan-kehilangan bagi penyempurnaan, termasuklah masa silam dan purba yang ingin diketahui bagi melengkapkan diri. Sememangnya manusia rindu pada akar dan asal diri. Mereka rindu pada kampung laman bagi yang telah meninggalkannya, rindu pada akar turunan, bahkan mau kembali dan menenggelamkan diri buat seketika pada kesilaman dan kepurbaan yang dianggap sebagai keindahan dan kesempurnaan yang tidak berkesempatan dan ditinggalkan. Ini juga mencerminkan kecintaan jiwa kembali kepada Pencipta yang Dia Pencipta segala. Kesedaran kealaman yang sebenarnya merupakan kesedaran dari diri manusia menimbulkan nilai positif terhadap lingkungan kehidupan bahkan dunia dan alam sebagai rumah bersama diamanah yang kita bergiat dan meneruskan kehidupan termasuk generasi-generasi mendatang perlu dipelihara kewujudan, kesempurnaan dan keindahan yang diwarisi agar ianya terus indah dan sempurna untuk diwarisi generasi mendatang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment