February 8, 2015

Berbahasa Tidak Semudah Dijangka - Basmalah Bagi Surah Al-Fatihah


BBB,  17 Rabiul Akhir 1436 = 07 Februari 2015 (Sabtu):
Adalah menjadi kebiasaan kita bercakap menggunakan bahasa, oleh kerana ianya adalah kebiasaan dan spontan kita bercakap bila berkomunikasi, maka kita merasakan ianya perkara biasa dan mudah. Tetapi bila berbahasa (memberi konotasi menggunakan bahasa dan berbahasa secara betul dan beradab) tidak semudah dijangka. Jika berdepan khalayak formal, bila hendak berbahasa, yang berbahasa perlu memikirkan tentang intro,  apakah ungkapan permulaan secara beradab yang perlu diucapkan. Siapakah wajar disebut sebagai penghormatan dan seterusnya apakah isi yang hendak disampaikan. Sebenarnya bila ungkapan bahasa dikeluarkan ianya tercermin dan melibatkan pengaruh lingkungan, pandangan wujud, nilai, budaya dan masyarakat yang didukung.
Membaca: Bismi`l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim
Pada hakikatnya ianya bukan sekadar mengambil berkat taat kepada suruhan agama berdasarkan kepada Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:


``Tiap-tiap perkara yang penting, kalau tidak dimulai dengan Bismillah, dengan nama Allah, maka pekerjaan itu akan percuma jadinya.``
(Hamka, Tafsir Al-Azharn, Jil. I,  Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura, 2001: 70).
Tetapi pada hakikatnya ianya membawa sebuah kepercayan konkrit berhubung dengan infra-struktur binaan akidah tauhid di dalam Islam itu sendiri.
Kita melihat bagaimana Islam melalui wahyu mengajar memulakan kalam dan memulakan sebarang amalan yang baik, ialah bermula dengan menyebut, mengingati, menghayati, mengagungkan, mengambil berkat dan memohon sempena baik dengan Tuhan bernama Allah yang kita beriman dan berkeyakinan yang Dia antaranya bersifat Al-Rahman dan Al-Rahim.
Menyebut Allah bersifat Al-Rahman-Al-Rahim sebenarnya adalah perkara besar yang melibatkan keimanan secara falsafah tauhid dan keyakinan Islam yang merangkumi keseluruhan pandangan wujud di dalam Islam.
Toshihiko Izutsu profesor yang mengkaji tentang, ``The Concept of Belief In Islamic Theology: A Semantic Analysis of Iman and Islam  menyatakan:
``Belief was historically the first and the most important of all the theological concepts in Islam.``
(Toshihiko Izutsu, The Concept of Belief In Islamic Theology: A Semantic Analysis of Iman and Islam, Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 2006: IX).
Dilihat dari segi bahasa, bahawa Rasulullah s.a.w. tidak terlepas dari kehidupan masyarakat baik dari segi berbahasa, di samping berbudaya dengan cara hidup secara umum masyarakatnya, misalnya dari segi bercakap dan komunikasi dengan masyarakat. Bahkan menjalankan perniagaan sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul.
 Apa yang menarik dari segi kewahyuan adalah disampaikan kepada Rasulullah melalui bahasa biasa yang digunakan di dalam bahasa Arab Quraisy, tetapi dengan bahasa biasa dimasukkan istilah-istilah ketuhanan Allah yang bersifat
 Al-Rahman & Al-Rahim yang membezakan dengan kepercayaan Jahiliyyah yang antara nama yang mencerminkan sifat syirik seperti Abdul Shamsi, Abdu `Uzza. Abdullat dan sebagainya. Menggunakan istilah Allah dengan sifat Al-Rahman dan Al-Rahim adalah  suatu kelainan, bahkan satu perubahan persepsi dan keyakinan terhadap Konsep Allah yang diperkukuhkan dengan ayat-ayat yang lain seperti ayat-ayat dalam surah Al-Ikhlas, Ayat Kursi, Surah Al-Hashr (22-24) dan ayat-ayat yang lain.
Ayat-ayat yang diturunkan secara bahasa yang fasahah, lancar dan indah menjadi sebagai daya tarikan menghayatinya apa lagi  ianya lebih memperkukuhkan persepsi ketuhanan yang dihuraikan secara ilmiah melalui pendekatan ilmu akidah. Menurut Malik Bennabi yang mengkaji Qur`an secara phenomenology:


``That was the psychological environment in which the Qur`an was revealed. Throughout the period of revelation, the influence of it wonderful style could easily penetrate into the Arabs` souls and spirits thanks to their natural taste for eloquence.``
Malik Bennabi, The Qur`anic Phenomenon, Islamic Book Trust, Kuala lumpur, 2001: 10).
Demikian bahasa sejak zaman Jahiliyyah memainkan peranan yang besar dalam kehidupan dan budaya Jahliyyah. Mereka mengagungkan bahasa-bahasa puisi dan penyair-penyairnya yang menjadi kemegahan bagi mereka apabila lahir penyair-penyair dari kabilah mereka. Mereka dianggap menjadi jurucakap kabilah dan mereka menjadi arkib dan penyimpan maklumat bagi kabilh, bahkan bahasa dan umat Arab sendiri.
Bila Islam datang, elemen bahasa, iaitu Al-Qur`an menjadi faktor penting di dalam mendepani masyarakat Arab. Al-Qur`an mencabar tokoh-tokoh bahasa dan mereka yang mahir berpuisi untuk mencipta ungkapan yang dapat menandingi Al-Qur`an (Al-Baqarah: 23).
Al-Qur`an tidak saja membawa keindahan dan kekaguman dari segi bahasa, tetapi membawa konsepsi-konsepsi tinggi dari segi Ketuhanan, keilmuan dan kerohanian. Sebuah lafaz:
Bismi`l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim
Bagi permulaan Surah Al-Fatihah dan bagi surah-surah yang lain bukan saja padat, indah dan lancar dari segi sebutan, lebih dari itu membawa gagasan akidah ketuhanan yang menjadi pegangan masyarakat umat. Bahawa Allah adalah bersifat Rahman dan Rahim. Setiap satu dari nama dan sifat-sifat ini boleh dihuraikan dengan panjang lebar.
Sesungguhnya memulakan dengan Basmalah bagi sesuatu yang baik misalnya bila hendak membaca Al-Qur`an, memulakan ucapan, memulakan pengajaran, memulakan perjalanan dan berbagai lagi mencerminkan sikap, adab dan nilai yang baik orang Islam, di samping itu di dalam Basmalah yang dibacakan sebenarnya membawa keyakinan dan pandangan wujud yang berpaksikan ketuhanan Yang Maha Esa.
Hadith yang diriwayatkan oleh Al- Daruqutni dan Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
Apabila kamu membaca Al-Hamdulillah, iaitu Surah al-Fatihah, maka bacalah Bismi`l-Lahi`r.Rahmani`r-Rahim, maka sesungguhnya dia adalah Ibu Al-Qur`an dan Tujuh Yang Diulang-ulang, sedang Bismi1l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim adalah salah satu daripada ayatnya.`` (Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil. I, 66).

Sekian. 

No comments:

Post a Comment