BBB, 14 Rabiul Akhir 1436 = 04 Februari 2015
(Rabu):
Pada zaman Jahiliyyah istilah-istilah di atas
belum digunakan. Penyair-penyair Jahiliyyah banyak menggunakan tema madah,
keji, kecam, sindir, ratap, semangat, perseteruan, keji, fenomena kabilah, gambaran alam, peperangan dan Megah terhadap
turunan dan kejayaan-kejayaan. Tidak ada elemen yang mencerminkan keilmuan,
pembelajaran dan pendidikan.
Kehadiran Islam – Al-Qur`an membawa ciri-ciri
keilmuan yang merubah tradisi masyarakat Jahiliyyah kepada masyarakat umat yang
mementingkan Ilmu. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
ialah `Iqra` iaitu menyuruh membaca yang menjadi kunci ilmu pengetahuan juga
menulis `al-qalam`. Sememangnya sebelum kedatangan Islam membaca adalah
satu-satu yang asing dan bukan menjadi budaya masyarakat. Kepentingan membaca –
juga menulis hanya berlaku di kalangan peniaga-peniaga bertujuan untuk mencatat
dagangan dan perkiraan untung rugi.
Bila datang Islam kebolehan menulis yang ada
di kalangan orang Islam dan usaha mencatat wahyu (612-632M.) dari kalangan
sahabat seperti Zayd bin Thabit, Abu Bakar al-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Umar
bin al-Khattab, Abu Sufyan, Abdullah bin al-Zubayr, Sa`id bin al-`As, Abdul
Rahman bin al-Harth, Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Abbas menjadi tradisi
menulis dan membaca meluas di kalangan umat Islam yang menghidupkan tradisi
ilmu di kalangan mereka, khususnya bagi mempelajari hukum hakam keislaman.
Ianya bertolak dan berinduk dari pengajian terhadap Al- Qur`an yang diikuti
pula dengan tradisi mencatat dan mempelajari keilmuan Hadith.
(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab
al-`Arabiyy, Arab Saui`di, tt: 83), juga Butrus al-Bustani, Udaba` al-`Arab fi
al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 381).
Al-Qur`an tidak saja menggesa supaya menulis
dan membaca (al-`Alaq, 1 -5 dan Al-Qalam: 1), tetapi memperkenalkan konsep
`Surat`. Maksud surat di sini adalah diambil dari suarh-surah yang berjumlah 114
surah di dalam al-Qur`an. Konsep surah ini mencerminkan bahagaian-bahagian atau
pecahan-pecahan di dalam Al-Qur`an yang surah-surah ini mempunyai nama-nama
tersendiri sebagai judul bagi sesebuah surah berkenaan yang membawa kandungan
tersendiri masing-masing. Ia juga memberi makna ialah suratan bagi surah-surah
berkenaan. Istilah surah yang juga boleh dibaca sebagai surat ini tidak saja
terkenal di dalam bahasa Arab, bahkan keluar dari bahasa Arab. Misalnya ianya
juga terkenal dan digunakan di dalam bahasa Melayu yang istilah ini dikenali
sebagai surat dan persuratan. Surat bererti sesuatu yang tertulis, secara rasmi
seperti surat perjanjian, surat kiriman dan sebagainya. Dari surat ini
terbentuk nama `Persuratan` yang memberi makna hasil yang tersurat dan lebih
besar dari itu bermakna suatu tradisi yang menggunakan persuratan yang
memisahkan dengan tradisi sebelum daripadanya yang dikenali dengan tradisi
lisan dan belum masuk kepada tradisi yang
mencerminkan tradisi intelelektual (persuratan). Misalnya bila membicarakan
tentang peradaban Melayu, bahawa tradisi persuratan dalam bahasa Melayu bermula
selepas kedatangan Islam yang memperkenalkan tulisan jawi dan dari masa itu
berkembang keilmuan Islam dan turut berkembang tradisi yang menghasilkan
berbagai-bagai karya penting yang mengangkatkan bahasa Melayu dari bahasa
daerah kepada bahasa keilmuan, perdagangan dan lingua franca.
Satu istilah yang penting diperkenalkan oleh
Islam melalui al-Qur`an ialah istilah `Al-Kitab`. Istilah banyak terdapat di
dalam Al-Qur`an yang antaranya menrujuk kepada Kitab Al-Qur`an. Kitab Al-Qur`an
adalah mengandungi surah-surah sejumlah 114 surah. Kesemua surah-surah ini
adalah terkandung di dalam Al-Qur`an yang merupakan kitab wahyu yang juga
selaku kitab ilmu yang membicarakan hukum hakam dan segala yang berhubung
dengan Islam, bahkan segala yang terkandung di dalam alam ini. Point yang
penting bahawa Kitab ialah yang berhubung dengan ilmu yang di dalamnya
mengandungi bahagian-bahagian yang dipecahkan sebagai surah-surah dan di dalam
surah-surah mnengandungi ayat-ayat dan ayat-ayat boleh juga diberi makna,
tanda, bukti, petanda-petanda. Ayat-ayat ini pula boleh diberi tafsiran dan
huraian, iaitu pengolahan kandungan secara ilmiah yang juga mencerminkan
tradisi keilmuan yang dibawa oleh Islam.
Kitab yang asalnya merujuk kepada Al-Qur`an
dipinjam dan diluaskan dalam tradisi keilmuan Islam. Kitab digunakan sebagai
sebuah tulisan atau karangan keilmuan yang melibatkan berbagai-bagai bidang
keilmuan seperti kitab akidah, fiqh, tasawuf, tafsir, hadith, balaghah, mantiq
dan berbagai-bagai lagi. Konsep pecahan kitab kepada surah-surah diaplikasikan
kepada kitab-kitab, tetapi tidak menggunakan istilah surah-surah, tetapi beberapa
konsep pecahan dari yang lebih besar kepada pecahan-pecahan yang lebih kecil. Misalnya
bagi sesebuah kitab misalnya dipecahkan kepada pecahan bab-bab. Di dalam
bab-bab pula ada pecahan fasal-fasal dan seterusnya kepada yang lebih kecil
dengan menggunakan nombor-nombor atau abjad-abjad. Sebagai contoh sebuah kitab
fiqh membicarakan tentang rukun Islam yang lima bermula dengan solat (shahadah
dibicarakan sebagai bidang akidah), zakat, puasa dan haji. Tiap-triap bidang
ini merupakan bab-bab. Maka di bawah bab-bab ini ada fasal-fasal. Misalnya
tentang solat bermula dengan fasal mengenai taharah, solat dan sebagainya.
Ini bererti dari istialh-istilah yang
dikemukakan oleh Al-Qur`an dari, iqra`, qalam, surat dan kitab merupakan
istilah-istilah keilmuan yang daripadanya berkembang mencetuskan tradisi
keilmuan di dalam Islam. Melalui aplikasi istilah ini kepada bidang-bidang
keilmuan, maka dengan demikian, berkembang bidang-bidang keilmuan. Misalnya
melahirkan ulama`-ulama` di dalam berbagai-bagai bidang keilmuan, sebagai
hasilnya terhasilnya berbagai kitab keilmuan di dalam berbagai bidang yang
menjadi panduan masyarakat umat. Dari kelahiran ulama dan kitab-kitab turut
lahir pusat-pusat keilmuan yang mendidik masyarakat umat dari berbagai
peringkat dari kecil hingga dewasa, dari pengajian di masjid hingga ke madrasah
dan jamiah atau universiti. Ianya menjadi mekanisme yang terus melahirkan ulama dan ilmuan, melahirkan
ilmu-ilmu dan berbagai jenis pengajian
yang terus memperkembangkan budaya ilmu, tamadun dan peradabannya. Jelas
tradisi keilmuan yang dibawa oleh Islam yang memang dituntut oleh Islam jauh
berbeza dari tradisi zaman Jahiliyyah yang tidak mementingkan ilmu. Islam bukan
saja membawa kejutan, tetapi nilai baru sebagai `Din` bagi pembinaan ummah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment