BBB. 01 Jamadil Awwal 1436 = 20 Februari 2015
(Jumaat):
Telah dibicarakan bahawa antara penyair Islam
terawal memuji Rasulullah s.a.w. melalui puisi syair ialah Ka`ab bin Zuhayr (m.
662M.) dan Hassan bin Thabit (m. 674M.). Konsep puji ini (madah) adalah
lanjutan tema yang popular sejak zaman Jahiliyyah di samping tema-tema yang
lain.
Selepas Islam konsep puji terhadap Rasulullah
berubah dengan penggunaan istilah yang dikemukakan oleh Al-Qur`an, iaitu `Salawat & Salam` ke atas Baginda Rasulullah s.a.w. berdasarkan
ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya
bersalawat ke atas Nabi, wahai orang-orang beriman salawat dan salam
kesejahteraanlah ke atas Baginda.`` (Al-Ahzab: 56).
Ayat ini dibaca oleh khatib di dalam khutbah
Juma`at yang diikuti dengan Hadith Nabi s.a.w. bermaksud:
``Siapa yang bersalawat ke atasku sekali
nescaya dibalas ganjaran pahala bersalawat sebanyak 10 kali.``
Maksud salawat ke atas Nabi, khususnya bagi
tulisan ini ialah segala yang bermaksud `Menyanjung` Nabi Muhammad s.a.w.. Ini
termasuklah Marhabun oleh penduduk Madinah ketika mengalu-ngalukan ketibaan
Rasulullah s.a.w. ketika tiba Baginda dalam hijrah Baginda ke Madinah dari
Makkah. Bahkan dapat dikatakan bahawa Ayat Qur`an, Hadith dan Marhaban dari
penghijrahan Baginda ke Madinah ini adalah sumber awal dan utama bagi `Seni
Salawat` ke atas Rasulullah s.a.w.
Antara jenis-jenis seni salawat ke atas Nabi
s.a.w. ialah Marhaban, Burdah, Barzanji, Qasidah Ke Atas Nabi, Naban (Nazam).
Dikir Rebana (Zikir), Maulud dan segala jenis puisi diungkap memuji Nabi s.a.w.
Antara salawat terawal yang menjadi induk bagi
seni salawat ialah Marhaban yang dialunkan oleh penduduk-penduduk Madinah
ketika menyambut ketibaan Nabi Muhammad s.a.w. dalam Hijarh Baginda daripada
Makkah ke Madinah. Kewujudan kumpulan yang mengalu-alukan kesampaian Rasulullah
s.a.w. oleh kerana di dalam mengatur strategi dakwahnya, Rasulullah s.a.w. telah
mengadakan pertemuan dengan penduduk Madinah sebelumnya di Makkah yang dikenali
dengan Al-`Aqabah al-Ula kepada 12 orang perwakilan dari Madinah selepas 11
tahun berdakwah, diikuti dengan Bay`ah al-`Aqabah al-Thani pada musim Haji
tahun berikutnya dengan 73 orang rombongan (Johari Yaman, Mengenali Rasulullah
s.a.w., Nadi Minda Resources. Rawang Selangor, 2009: 188 & 197).
Mereka adalah merupakan kumpulan awal yang
menerima Islam di Madinah dan menjadi aset penting bagi menyebarkan keislaman di
sana. Dari perkembangan ini menyediakan antaranya kumpulan yang menyambut
kehadiran Rasulullah s.a.w. di Madinah dengan gembira dengan salawat dan
merhaban.
Ungkapan terkenal Marhaban menyambut
Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Mengambang bulan purnama ke atas kita
Dari celah-celah Bukit Thaniyyatil Wada`
Kewajipan ke atas kita sama bersyukur
Atas seruan kepada Allah telah diatur
Wahai Rasul dibangkit menyeru kami
Pastilah apa yang dibawa kami taati.
Ungkapan spontan penduduk menerima kehadiran
Rasulullah s.a.w. melambangkan kegembiraan mereka di atas kehadiran.
Melambangkan kehadiran Rasulullah s.a.w. ditamsilkan sebagai bulan purnama
mengambang dan kelihatan berseri-seri dari celah Bukit Thaniyyatil Wada`.
Mereka bersyukur menerima dakwah dari Rasulullah s.a.w. menerima Islam dan
mengakui keesaan Allah. Mereka mengakui bagi menerima dan mentaati terhadap apa
yang dibawa oleh Rasulullah s..w. Ungkapan secara spontan di atas, walaupun
mudah, tetapi memberi mesej yang penting, ia memulakan langkah ke arah
perkembangan Islam di Madinah dan lebih luas dari itu berikutnya.
Dilihat dari seni salawat, sambutan terhadap
Rasulullah dengan ungkapan salawat tersebut, menandakan permulaan seni salawat
yang kelak selepas daripada itu akan berkembang dengan luas. Maksud luas ialah
pengungkapan di atas akan terus digunakan di dalam majlis-majlis maulid
al-Rasul dan sambutan-sambutan yang berkaitan dengannya. Ianya juga digunakan
misalnya sebagai ungkapan di dalam majlis bertahniq, berkhitan, bahkan diungkap
di dalam sambutan-sambutan dan perarakan-perarakan yang mempunyai kaitan dengan
agama.
Maksud luas juga, bahawa berinspirasikan
ungkapan di atas melahirkan berbagai-bagai ungkapan berseni yang memuji
Rasulullah s.a.w. Antaranya ungkapan puisi yang mirip kepada puisi di atas yang
terdapat dalam Surat Barzanji yang terdiri dari 37 bayt (Disertai sebahagian
daripadanya) bermaksud (Majlis biasanya berdiri):
Bismi`l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim
Ya Nabi selamat ke atas Baginda
Ya Rasul selamat ke atas Baginda
Ya Habib Selamat ke atas Baginda
Salawatullh ke atas Baginda
(Majlis bersalawat):
Salla`l-Lah `ala Muhammad * Salla`l-Lah `alayhi wa sallam)
Ulang sekali lagi – kemudian diikuti:
Mengambang purnama ke atas kita
Setelah terlindung segala bercahaya
Begitu cantik apa yang kami lihat
Sesungguhnya wajahnya memikat
(salawat seperti di atas – diulang dua kali)
Baginda matahari Bagindalah purnama
Bagindalah cahaya di atas cahaya
Bagindalah iksir yang bernyala
Bagindalah pelita bercahaya
(Salawat dua kali diulang)
Begitulah seterusnya tiap dua bayt diulang dua
kali salawat. Tapi biasanya tidak dibacakan keseluruhan 37 bayt, sebaliknya
diambil bahagian awal sekadar masa sesuai dan ditutup dengan tiga bayt terakhir
bermaksud:
Dia Mengetahui yang tersembunyi dan rahsia
Dialah juga yang Amat Memustajabkan do`a
Tuhan rahmatkanlah semua kami
Hapuskanlah semua kejahatan kami
Tuhan rahmatkanlah semua kami
Dengan amalan salih dari kami.
(Diakhiri dengan salawat dua kali dan
berakhir).
Suasana majlis biasanya dalam keadaan ceria,
tetapi kudus dan mulia. Ianya merupakan seni budaya yang menarik yang
berkembang dari tradisi salawat yang mempunyai sejarah yang begitu rapat dengan
Rasulullah s.a.w. Tradisi ini terus berlanjutan dan berkembang hingga kini.
Sekian.
No comments:
Post a Comment