BBB, 04 Rabiul Akhir 1436 = 23 Februari 2015
(Isnin):
Dalam pembicaraan mengenai Teori Takmilah amat
bergantung pada tiga paksi utama, iaitu pengkarya, karya dan khalayak. Dalam
perjalanan menuju kepada puncak yang piawayannya ada yang nyata berhujung, tapi
tidak mungkin sampai – tahap Takmilah (Contoh Keilmuan dan Estetika Al-Qur`an) dan
ada yang peningkatan perjalanan menuju kepada penghujungnya bersifat terbuka.
Ianya memakan masa yang lama, terbuka dan tiada akhirnya. Sifat ini menjadi
sifat umum bagi kebanyakan bidang yang dilihat secara teori Takmilah. Perjalanan
adalah melalui `rail` akal dan nilai. Pergerakan juga diakibatkan oleh
keperluan yang pada awalnya bersifat asas, kemudian berkembang kepada peringkat
lebih luas dan kesempurnaannya turut sama yang bersifat nilai yang antaranya
dari aspek seni. Pergerakan peningkatan adalah melibatkan peningkatan
pengkarya, peningkatan bahan, peningkatan estetika dan peningkatan keilmuan
yang tercermin pada karya yang dihasilkan.
Satu bidang yang diberi keutamaan di dalam
Islam dan fokus utama bila Rasulullah s.a.w.
dilantik menjadi Rasul ialah berkait dengan falsafah `Iqra`` yang
merupakan wahyu pertama diterima oleh Rasulullah s.a.w. Falsafah `Iqra` ini
bukan, semata-mata Iqra`, tetapi melibatkan, antaranya:
·
Peringkat mengenali huruf-huruf
yang mau dibaca yang membuka pintu ilmu
·
Peringkat keilmuan dan
perkembangannya
·
Wilayah seni yang melengkapkan
keilmuan
·
Peringkat kreativiti dan inovasi
yang meluaskan minda dan keilmuan yang termnifestasi dalam ketamadunan
·
Peringkat Perluasan rohani yang
tiada batas sempadan yang termanifestasi sebagai wajah peradaban.
Perjalanan menyedari tanda-tanda yang patut
menjadi lambang maklumat bagi kepentingan manusia mengambil masa begitu lama.
Sudah pasti dalam tempoh kesedaran manusia sebagai manusia sejak sepuluh
milinium yang lepas, manusia awal ini sudah tentu berdepan dengan pokok yang
menjadi sumber makanan dan survival mereka, mereka bertembung dengan yang
antaranya menjadi sahabat dan
pemeliharaan. Mereka lihat fenomena alam dari langit yang luas, matahari dan
bulan, panas dan hujan, bukit bukau, gunung ganang, sungai dan lautan dan
berbagai kejadian lagi. Bagi kepentingan evolusi kehidupan mereka mampu menamakan
haiwan dan pokok, makanan dan minuman dan keperluan terdekat mereka bagi kepentingan
kehidupan, lantas membuka ruang bagi mereka berbahasa dan berkomunikasi. Ini
merupakan tahap kemajuan penting yang dicapai oleh manusia di dalam kehidupan
mereka.
Tetapi bilakah tercetus di kalangan manusia
`lambang-lambang tulisan` hasil dari pemerhatian dan `kebijaksanaan` pada
peringkat permulaan ? Dijangka mereka mampu pada peringkat permulaan membuat
tanda-tanda bagi barang atau maklumat yang dapat dihasilkan agar dapat ditanda
dan dapat mengelak dari kehilangan dan kepupusan ?
Sejarah terawal mengenai kesedaran tentang
huruf-huruf tulisan berlaku di Sumaria di kawasan Sungai Dajlah dan Furat
(Iraq) sejak 5,000 S.M., di Mesir sejak 3,200 S.M., Babylonia (Iraq) 3,800 S.M.
dan Pheonix (Palestin) sejak 2.000 S.M. Dari tempat-tempat ini terhasil tulisan
terawal seperti di atas permukaan batu dipejalkan di Babylion, di Mesir tulisan
yang berasaskan gambar-gambar dan tulisan Pheonix sejak 2,000 S.M. Penghasilan
tulisan di sini, lantaran berlaku ketamadunan di sini lebih awal.
(Children Brittanicca, Vol. 5, Encyclopaedia
Britannica International, Ltd. London, 1978: 20).
Adapun tulisan yang diwarisi di tanah Arab
yang membawa kita turut menerima tulisan di atas kemudian melalui Islam ada
beberapa pendapat.
1) Tulisan `Arab dicipta berasaskan pengaruh huruf-huruf Siryan
2) Ada yang mengaitkannya dengan tulisan Feniki (Pheonix) yang menjadi
asal usul tulisan Mesir Purba
3) Ada yang mengatakan ianya berasal dari Anbar ke Hirah. Darinya tiba ke
Hijaz melalui Daumatul Jandal
4) Ibn Khaldun mengatakan Khat Arab berasal dari Khat Musnad orang-orang
Humair yang mendiami negeri Yaman yang dikenali dengan nama Khat Jazam.
(Shafie Abu Bakar, Sejarah Perkembangan Seni
Khat, Pameran Dan Bengkel Seni Khat, UKM, Bangi, 1402/1982: 15).
Dibandingkan dengan pendapat Muhammad Hassan
al-Zayyat, maka pendapat di atas semuanya ada kebenaran. Pendapat Muhammad
Hassan:
``Adalah seawal-awal umat yang menggunakan
tulisan ialah orang Mesir dan orang Pheonix ... Yang lebih awal mencapai
tamadun kalangan Arab ialah Yaman. Orang-orang Yaman menggunakan tulisan yang
dikenali dengan `musnad` dengan nama bahasa Mereka. Mereka menulis huruf-huruf
secara terpisah dan Khat Pheonix adalah asal bagi Khat Musnad. Tulisn Arami dan
Musnad dengan berbagai jenis seperti al-Safwa, al-Thamudi, al-Lihyani di utara
dan al-Humairi di Selatan adalah berasal dari Aram dan Musnad. Daripada Aram
berkembang kepada Khat Nabti di Huran dan al-Siryani di Iraq. Sesungguhnya Khat
Aram dan Musnad merupakan asal usul bagi Khat Arab. Daripada Aram menghasilkan
Khat Nasakh dan daripada Musnad menghasilkan Khat Kufi. Mereka mengetahui huruf
sebelum Islam dikenali dengan Hiri, yakni berasal dari Herah. Mereka belajar tulisan dari Arab Utara semasa ke Sham kerana
berniaga. Yang lain mempelajari (Musnad) dari Anbar. Mula dipelajari oleh
Bashar bin Abdul Malik al-Kindi saudara bagi Ukaidir bin Abdul Malik bin
al-Kindi pembesar di Daumah al-Jandal. Dia ke Makkah dan berbesan dengan Harb
bin Umayyah, datuk bagi Muawiyah. Dia mengajarnya kepada kalangan orang
Quraisy, maka ramailah yang tahu menulis. Adapun gaya Kufah, hasil dari ramai
yang menulis di masjid-masjid, di istana-istana, maka kelihatan teratur dan Indah,
maka dengan identitinya, dikenali sebagai Khat Kufi.
(Ahmad Hassan Al-Zayyat, Tarikh Al-Adab
al-Arabiyy, Wizarah al-Thaqafah, Arab Saudi, tt: 78).
Jelas memperlihatkan perjalanan mencari denai
tamadun dan peradaban peringkat awal mengambil masa yang panjang. Kesedaran
awal bagi penguasaan huruf berlaku di kawasan Asia Barat yang merentasi kawasan
Iraq ke Mesir, Yaman ke Sham. Iaitu kawasan tamadun dan peradaban awal yang
dari kawasan ini juga merupakan negara Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi. Dengan
penguasaan tulisan maka ianya merupakan kunci Ilmu pengetahuan sebagai tamadun
awal bagi manusia.
Sekian.
No comments:
Post a Comment