February 12, 2015

Lengkapnya Wahyu Dan Perutusan Di Madinah


BBB, 21 Rabiul Akhir 1436 = 11 Fabruari 2015 (Rabu):



Zaman Makkah selama 13 tahun adalah zaman memulakan dakwah Islam bersama-sama turunnya ayat-ayat Al-Qur`an sebagai prinsip panduan dengan Rasulullah sebagai pelaksana dan contoh tauladan. Telah dibicarakam dalam tempoh ini sebahagian besar ayat-ayat Al-Qur`an telah diturunkan (85 surah = Kiraan dari Tafsir  Al-Rahman) di Makkah. Antara objek utama ialah membasmi amalan syirik. Menentang sikap pemimpin kuffar Quraisy yang menentang Islam, tentang akhlak dan nilai-nilai keislaman, aspek-aspek keilmuan, tentang alam ciptaan Allah, tentang cakrawala, planet-planet dan bintang-bintang, gambaran-gambaran tentang kiamat dan tentang balasan ke syurga dan neraka.
Surah-surah yang diturunkan di Madinah (29) ialah Surah Al-Baqarah,  Ali `Imran, Al-Nisa`, Al-Ma`idah, Al-Anfal,  Al-Taubah, Al-Hajj, Al-Nur, Al-Ahzab, Muhammad, Al-Fath, Al-Hujurat, Al-Rahman, Al-Hadid, Al-Mujadalah, Al-Hashr, Al-Mumtahinah, Al-Saff, Al-Jumuah, Al-Munafiqun, Al-Taghabun, Al-Talaq, Al-Tahrim, Al-Insan (al-Dahr),  Al-Bayyinah, Al-Zalzalah,  Al-Nasr, Al-Falaq dan Al-Nas (29 Surah). Antara ciri-ciri surah yang diturunkan di Madinah bahawa surah-surahnya agak panjang, berbanding dengan surah-surah yang diturunkan di Makkah adalah pendek-pendek. Ayat-ayat juga agak panjang berbanding dengan ayat-ayat bagi kebayakan surah-surah yang diturunkan di Makkah. Selain dari ayat-ayat panjang-panjang, bahasa juga adalah bahasa biasa semacam prosa, bermaksud jika bahasa di dalam surah-surah Makkiyyah ada kesamaan bunyi bagi ayat-ayat dalam surah contoh Al-Duha, Allail, Al-Shams dan sebagainya, tetapi bahasa bagi surah yang diturunkan di Madinah adalah bahasa langsung. Oleh kerana di dalam surah-surah Madinah panjang-panjang, maka di dalam satu surah membawa berbagai persoalan. Contoh Surah Al-Nisa`. Antara persoalan yang dibawa ialah seperti soal menjaga harta anak yatim, berkahwin, wirathah dan harta pesaka,, mereka yang dilarang berkahwin, tayammum, kembali kepada Allah dan Rasul jika berlaku perbalahan, soal sulh dan sebagainya. Demikianlah dengan surah-surah yang lain mengandungi aturan-aturan bagi menjaga  perjalanan dan kesejahteraan umat.
Secara menyeluruh perkara dibawa di dalam surah-surah berkenaan keilmuan, hukum hakam (hukum syara`) yang melibatkan soal-soal ibadat, fardu puasa, zakat, Haji, perkahwinanm (nikah-cerai), harta pusaka, hijab, perjanjian (Hudaibiah), jihad, penceritaan tentang Bani Israil dan tabiat buruk mereka itu, aspek-aspek kerohanian, peperangan-peperangan, diplomasi dan perhubungan dengan negara-negara luar – perutusan-perutusan. Ini berbeza semasa di Makkah, semasa tiada kekuasaan memerintah, maka persoalan lebih kepada akidah, soal alam dan cakrawala, tanda-tanda kiamat, Hari Hisab dan balasan dosa pahala.
Pada zaman Madinah adalah zaman penerusan dari segi penerimaan wahyu oleh Rasulullah s.a.w. dan pelaksanaan, jika zaman Makkah banyak antara ayat menyebut, ``Wahai manusia ... tetapi pada zaman Madinah sesudah ramai umat menerima Islam dan mempraktikkannya, maka ayat-ayat yang dituju kepada orang-orang mukmin dengan:
``Wahai orang-orang yang beriman ...`` juga menandakan bahawa golongan mukminin sudah mempunyai kekuatan dan kekuasaan. Mereka sudah menjalankan pentadbiran yang diketuai oleh Rasulullah dan mempraktikkan ajaran Islam.
Menurut Sheikh M. Abdul Athi Buhairi, bahawa terdapat 88 ayat Qur`an yang bermula dengan ayat bermaksud ``Wahai orang-orang beriman. Di dalam Surah Al-Baqarah antaranya seruan mengikuti Rasul dan jangan menyerupai orang kafir (Al-Baqarah: 104), jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu (Al-Baqarah: 153), Makanlah makanan yang baik lagi halal (Al-Baqarah: 172). Qisas merupakan perlindungan terhadap jiwa (Al-Baqarah: 178), Puasa sebagai pembinaan jiwa (Al-Baqarah: 183-184), Masuk ke dalam agama Islam dan jangan ikut langkah syaitan (Al-Baqarah: 208-209), Galakan untuk berinfak sebelum ajal tiba (Al-Baqarah: 254). Pahala Sedekh dan etika mengeluarkannya (Al-Baqarah: 264), Menafkah hendaklah dari yang terbaik (Al-Baqarah: 267), Larangan riba (Al-Baqarah: 278-280), Perlu saksi bila berurusan hutang piutang (Al-Baqarah: 282). Demikianlah contoh sebelas ayat dari Surah Al-Baqarah yang membicarakan berbagai-bagai perkara daripada 88 ayat yang dituju kepada orang beriman dengan bermula ayat, ``Wahai orang-orang yang beriman ...``.
(Sheikh M. Abdul Athi Buhairi, Tafsiran Ayat-Ayat Yaa Ayyuhal-Laziina Aamanu, Al-Hidayah Publication, Kuala Lumpur, 2008: Jil. I: 559hlm. Jil II: 552hlm.).
Daripada surah-surah lain ialah seperti: Dari surah Al-Anfal;
``Wahai orang-orang beriman taatkan Allah dan Rasul (Al-Anfal: 20), Jangan makan harta secara batil (Al-Tubah: 34 -35).
Perintah berzikir kepada Allah (Al-Ahzab: 41-44).
(Sheikh M. Abdul Athi Buhairi,, Jil II, 2009: 552hlm.
Adalah diteliti, bahawa semua khitab kepada orang-orang yang beriman mengandungi mesej-mesej yang baik, indah dan berguna kepada orang-orang yang beriman itu sendiri.
Jelas bahawa era Madinah, ialah era pembinaan pemerinthan di negara Islam yang pertama, sebab itu persoalan yang di bawa ialah persoalan yang berhubung dengan pemerintahan, soal keselamatan  antaranya terpaksa diselesaikan melalui peperangan, antaranya dapat diselesaikan melalui perjanjian seperti misalnya Perjanjian Hudaybiyah yang akhirnya membawa kepada pembebasan Makkah dari kekuasaan kuffar Quraisy.
Bagi menjaga kedamaian Rasulullah sebagaimana maklum menyatukan antara orang muhajirin dan Ansar (terdiri dari kaum Aus dan Khazraj). Bagi menjamin pentadbiran di Madinah, bagi yang tidak Islam seperti orang-orang Yahudi mereka harus sama bertanggungjwab dengan keamanan negara. Antaranya ialah dengan merangka Piagam Madinah yang dianggap sebagai perlembagaan lengkap pertama di dunia.
(Prof. Ahmad Ibrahim & Dzafir El-Qasimy, Piagam Madinah Pandangan Dan Ulasan, Gelanggang Kreatif, Pertama Kompleks, Kuala Lumpur, 1985: V).
Rasulullah menyempurnakan risalahnya dengan melengkapkan berbagai aspek keislaman dengan penerimaan wahyu, mendirikan negera Islam Pertama dan melaksanakan Islam itu sendiri di dalam segala bidang. Firman Allah bermaksud:
``Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatku kepada kamu, dan aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu.`` (Al-Ma`idah: 3).

Sekian.

No comments:

Post a Comment