February 17, 2015

Dari Perpuisian Kepada Al-Qur`an - Rumusan


BBB, 26 Rabiul Akhir 1436 = 16 Februari 2015 (Isnin):


Tradisi perpuisian (syair) dalam masyarakat Arab dapat dikesan dan diwarisi sejak awal abad ke 6M. Contoh seperti Al-Shinfari (Awal abad ke 6M.),  Amri Ibn Kalth                                                                             um (Abad ke 6M.) Al-Harth bin Hillizah (Abad ke 6M.), Imri`ul Qays (500-540M. ?) Ta`abbata Sharran (m. 530M. ?), `Antarah bin Shaddad (525-615M. ?), Zuhayr bin Abi Salma (530-627M.), Tarfah bin Al-`Abd (543-569M. ?), Labid bin Rabi`ah (560-661M. ?) `Urwah bin Al-Ward (m. 596M. ?) dan ramai lagi penyair.
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat, Jil. I, Al-Matba`at al-Kathulikiyyat, Beirut, tt: 2 – 66).
Kita telah melihat dan mengikut pembahagian secara ringkas kepada penyair-penyair Sa`alik (Gelandangan), Penyair Al-Mu`allaqat dan penyair Rasulullah bagi menunjukkan suasana, tema, persoalan, nada dan ciri budaya antara kategori penyair-penyair berkenaan (Ada pembahagian seperti Penyair Pahlawan – Al-Fursan, Penyair Khas, Penyair Istana) yang ciri tidak begitu ketara dan antaranya termasuk di dalam tiga kategori awal di atas. Walau bagaimana ada pertindihan zaman antara beberapa kategori penyair-penyair berkenaan. Misalnya Antara penyair-penyair Al-Mu`allaqat berkesempatan pada zaman Rasulullah misalnya Labid bin Rabi`ah, Al-Khansa` (m. 24H./646M.) yang masuk Islam dan komited dari segi keislaman, tetapi tidak dikategorikan sebagai penyair Rasulullah s.a.w. dan Al-Khansa` tidak tergolong sebagai penyair Al-Mu`allaqat. Ada yang mengkategorikannya sebagai kalangan penyair wanita. Mereka yang berkesempatan dua zaman Jahiliyyah dan Islam dikategorikan sebagi penyair dua zaman (Al-Mukhadramun) sama ada menganut Islam atau tidak. Adapun yang dikira sebagai Penyair-Penyair Rasulullah s.a.w. ialah penyair-penyair yang berhadapan dan berkomunikasi dengan Rasulullah dan membela Baginda, iaitu Hassan bin Thabit (m. 674M.)  dan Ka`ab bin Zuhayr (m. 662M. ?).
Sebagaimana telah dibicarakan bahawa penyair-penyair Gelandangan adalah penyair-penyair faqir yang mempunyai budaya yang rendah sebagai badui, merempat dan jalanan. Apa yang diungkapkan dalam syair ialah mengenai alam kelilingan daripada kehidupan badui dan jalanan sebagimana diungkapkan oleh Al-Shinfanri, Ta`abbata Sharran dan `Urwah bin al-Ward. Manakala penyair-penyair Al-Mu`allaqat adalah penyair-penyair elit yang puisi-puisi mereka disanjung dan diberi penghormatan bertempat di Ka`abah. Pencapaian mereka adalah lebih dilihat dari segi mutu perpuisian mereka, tetapi bukan dari segi kedudukan sosial mereka. Tokoh yang paling utama ialah Imriul-Qays yang berketurunan dari Kabilah Al-Kindi dan berpuisi sampai ke istana Diraja Qaisar Rum dan puisi-puisinya juga bermutu. Begitulah dengan penyair-penyair Al-Mu`allaqat bertujuh yang mutu puisi mereka tidak dipersoalkan. Enam yang lain ialah Tarfah bin Al-`Abd, Al-Zuhayr, Labid,  Amru Ibn Kalthum, `Antarah dan Al-Harth bin Hillizah.   Satu kesamaan antara penyair-penyair Arab ini, bahawa tema-tema puisi mereka bersifat megah, semangat,  ratap, ejek, dendanm dan menuntut bela. Aspek-aspek ini menjadikannya sebagai pembahagian bagi tema puisi mereka yang sekaligus mencerminkan sifat Jahiliyyah.
Adapun penyair-penyair dua zaman (Al-Mukhadramun) adalah semata-mata kerana keberadaan mereka pada dua zaman iaitu Jahiliyyah dan Islam, tema-tema yang dibawa pada umumnya tidak berbeza dari zaman Jahliyyah. Antara mereka, walaupun berkesempatan dengan zaman Islam, tetapi tidak menganut Islam seperti Al-A`sha (Berkesempatan zaman Islam – Tak jelas tarikh). Antara mereka berkesempatan dengan zaman Islam dan masuk  Islam, tetapi tidak berubah bertabiat buruk dan bersifat  jahiliyaah, bahkan tidak membezakan antara yang halal dengan haram seperti  Al-Hutai`ah (m. 678M.), setengah daripada mereka sekadar masuk Islam dan tidak menunujukkan komitmen  mereka terhadap Islam seperti Ma`ani bin Aus (m. 650M.) dan Abu Dhu`aib al-Hudhali (m. 648M.).
Adapun yang ketara komitmen dengan Islam ialah Al-Khansa` yang turut berjihad dalam medan perang dengan tiga puteranya yang syahid dalam peperangan Mu`tah dan Zuhair bin Abi Salma (saudara bagi Al-Khansa`). Al-Khansa` juga lebih didorong berpuisi kerana dendam terhadap pembunuhan saudaranya dan kemudian anak-anaknya yang mati di medan perang. Puisi-puisinya digolongkan sebagai Puisi Rintihan (al-Ratha`).
Adapun penyair yang dinisbahkan sebagai Penyair Rasulullah s.a.w. ialah Ka`ab bin Zuhayr (m. 662M. ) yang beliau menerima Islam langsung dari Rasulullah dan memuji Baginda dengan puisi Banat Suadnya dan Hassan bin Thabit (m. 674M.) yang berinteraksi dengan Rasulullah dan Hassan diminta oleh Rasulullah mempertahankan Islam dan banyak puisi-puisi Hassan yang memuji dan mempertahankan Rasulullah.
Walaupun penyair Dua Zaman, khususnya penyair-penyair Rasulullah, mereka tidaklah membawa satu perubahan yang ketara dari segi cara pengucapan, maksudnya tidak lari misalnya dari segi tema memuji, mencela seteru, bersemangat sebagai cara pengucapan dalam mempertahankan Islam. Sesungguhnya selain dari memuji yang dipertahankan dan mencela musuh, agak kurang menyerlah dari segi  baik yang disebut secara tidak langsung atau langsung misalnya dari segi aspek-aspek ibadat dan amalan-amalan yang disuruh oleh Islam. Sebab itu untuk digolongkan puisi-puisi mereka sebagai puisi dakwah keislaman adalah kurang tepat. Mungkin kalangan penyair yang menerima Islam ini sekadar menerima Islam dan mempunyai sentimen terhadap Islam dengan membelanya, tetapi tidak begitu mendalam tentang Islam. Lagi pula sebagaimana diperkatakan, bahawa dengan keunggulan Al-Qur`an, maka tumpuan umat Islam  terarah kepada Al-Qur`an yang tinggi dari segi mutu bahasanya dan mendalam dari segi adabiyyah. Terdapat banyak elemen-elemen kepuisian di dalam Al-Qur`an dan Al-Qur`an memberi perhatian terhadap cerita yang di dalam Al-Qur`an tiga bahagian daripadanya bersifat cerita.  Al-Qur`an  membawa persoalan kewujudan secara perspektif baru, juga membicarakan persoalan-persoalan ghaib dan kerohanian. Peranan dakwah keislaman lebih didokong oleh para sahabat nabi dan wira-wira Islam. (Khalid Muhammad Khalid, Sejarah 133 Wira Terbilang, Al-Hidayah Publications, Batu Caves, Kuala Lumpur, 2009: 964 hlm.).
Puisi syair pada zaman kemunculan Islam ini tidak begitu menarik minat, apa lagi pada masa itu timbul keilmuan-keilmuan baru tentang pembacaan dan pengajian Al-Qur`an, akidah, hukum hakam, nilai dan sosialisasi yang dibawa oleh Islam yang memang diberi tumpuan oleh Islam serentak dengan usaha memperluaskan Islam.
Walau apapun, kewujudan puisi-puisi, walau pada kategori apa pun sama ada pada tahap Gelandangan dan Jalanan adalah warisan yang amat penting. Puisi-puisi dari berbagai kategori dan zaman adalah manifestasi warisan budaya dan sejarah masyarakat Arab dan Islam yang dapat dilihat sebagai bandingan dari berbagai segi seperti bahasa, sastera, sejarah, budaya, kepercayaan dan alam keliling yang dapat dibanding dengan zaman sebelum, semasa dan selepas kedatangan Islam. Misalnya di dalam membicarakan perkembangan bahasa dan tatabahasa, maka contoh-contoh dapat diambil dari puisi-puisi yang jauh kepada zaman sebelum Islam, bahkan dapat dilihat dari segi perkembangan Islam dan budaya masyarakat dibandingkan dengan zaman sebelum Islam. Begitulah banyak lagi bidang-bidang keilmuan yang dapat dilihat dengan menggunakan bahan-bahan puisi yang diwarisi sebagai warisan yang amat bernilai. Di dalam hal ini, maka dilihat Al-Qur`an membawa keunggulan yang paling bernilai yang menjadi puncak piawaiyan bagi nilai-nilai keislaman.
Dilihat dari skema Takmilah, maka adalah dilihat bahawa puisi-puisi yang membawa tema-tema Jahiliyyah seperti penyair-penyair Gelandangan dan Jalanan adalah berada di bawah dari garis  (minus dari tapak skema Takmilah), manakala penyair-penyair Al-Mukhadramun, khususnya yang menerima Islam berada pada tapak dasar Takmilah yang menonjol tentulah pada garis tengah estetika di dalam menuju kepada piawayan tertinggi dalam mana dilihat bahawa penyairnya, masih berada pada tahap asas persediaan diri dan asas pada tahap keilmuan Islam dan penyair-penyair Rasulullah adalah berada pada tahap yang lebih tinggi, tetapi pastilah masih berada pada tahap pergerakan ke atas yang tentu jauh lagi dalam menujui kepada piawayan tertinggi. Walau bagaimana semua aspek di atas sebagai  infra-struktur bagi perluasan Islam dan perkembangan keilmuannya dalam membina tamadun dan peradaban umat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment