BBB, 03 Rabiul Akhir 1436 = 22 Februari 2015
(Ahad):
Barzanji (disebut berzanji) amat popular di
kalangan masyarakat, khususnya di kalangan masyarakat Islam di tanahair kita.
Barzanji merujuk kepada pembacaan Surat Barzanji dengan gaya bacaan dan lagu
tersendiri yang berhubung dengan latar sejarah dan kehidupan Rasulullah s.a.w.
Barzanji sebenarnya adalah merujuk kepada nama tempat `Barzanj`, iaitu tempat
asal bagi Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji al-Madani (1690-1766M.) Imam bagi
Masjid Rasulullah di Madinah – Masjid Madinah al-Munawwarah. Sayyiduna Ja`afar
al-Barzanji mengarang `Qissah al-Maulid al-Nabawi` yang lama kemudian baru
dicetak di Mesir pada tahun 1889M. Beberapa syarah telah dihasilkan bagi
karangan ini.
(Al-Munjid, Al-Matba`at al-Kathulikiyyat,
Beirut, 1927: Part II: 71).
Karangan beliau ini telah diterbitkan pula
bersama dengan karangan Al-Busiri yang berjudul Al-Burdah, Maulud al-Barzanji
Nazam, Doa-Doa Khatam Maulud, Nazam `Aqidat al-`Awwam, Ratib Sayyidina
al-Haddad, Talqin Mayyat, Doa Nisfi Sha`ban dan Maulud Diba`.
(Majmu` Maulud Sharaf al-Anam, Ali Bahai
Sharaf Ali & Co. Ltd, Tajir & Kutub, 75 `Arab Street, Singapore, tt:
197hlm.
Walaupun terdapat beberapa himpunan karangan
yang antaranya disebut pengarang dan antaranya tidak disebut pengarang, maka
bagi keseluruhannya dikenali sebagai `Kitab Barzanji` yakni dinisbahkan kepada
Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji. Tulisan ini adalah membicarakan tentang Maulud
al-Barzanji Nathar yang digubah oleh Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji. Karangan
ini walaupun disebut sebagai karangan `nathar` (Prosa dan Bukan Puisi),
sebenarnya bahasanya tidak bersifat prosa, tetapi adalah membawa gaya bahasa
berirama yang setiap ayat mempunyai sukatan sederhana panjang, sesuai dengan panjang
nafas normal bila dilagukan dan pada akhir tiap-tiap ayat kebanyakannya
diakhiri dengan `rima` bersamaan bunyi. Dalam kata yang lain ia adalah digubah
secara bahasa sastera (adabiyyah) bersukat dan berirama dan bukan bahasa prosa
sepenuhnya.
Karangan Maulud Barzanji adalah menceritakan
secara seni sastera tentang sejarah hidup Rasulullah s.a.w. dari awal kelahiran
dan keturunannya, dakwah keislamannya sehinggalah Hijrah Baginda ke Madinah dan
mendirikan Masjid Al-Nabawi di Madinah al-Munawwarah.
Karangan dipecahkan kepada 19 pecahan. Setiap
pecahan membawa kandungan tersendiri. Misalnya pada pecahan pertama merupakan
intro dan tujuan Pengarang menyusun karangan
Maulud Barzanji, katanya:
Ku pohon hidayah ke jalan nyata lagi terang
Menjaganya dari selewengan dan kesilapan
Kuhamburkan kisah Maulid Nabi indah sebagai
dikhabar
Dinazam tentang rantaian nasab mulia mesra
didengar
Aku mohon pertolongan Allah Ta`ala Yang
Perkasa
Sesungguhnya tiada daya dan kekuatan melainkan
Dia.
Selepas tamat dibaca satu pecahan secara lagu
barzanji, maka diungkap selawat dan pujian secara beramai-ramai secara ungkapan
indah:
Semerbak wangilah ya Allah kurburan Baginda
Yang Mulia
Dengan ungkapan istimewa salawat dan Salam ke
atas Baginda
Apa yang dikarang oleh Sayyiduna Ja`afar
al-Barzanji adalah berasaskan fakta-fakta sejarah. Tulisan sejarah terkenal
diwarisi, selain dari bersumberkan Al-Qur`an dan Al-Hadith antaranya dihasilkan
seperti oleh Ibn Ishaq (85-151H.) yang dikatakan induk bagi maklumat bagi
Sejarah Nabi (Ibn Ishaq, Sirah Ibn Ishaq, 1401/1981: 395hlm.) dan juga Sirah
Ibn Hisham (m. 213H.) (Ibn Hisham, Mukhtasar Sirah Ibn Hisham, Dar al-Nafa`is,
Beirut, 1987: 328hlm.).
Walau bagaimana perlu diingat bahawa baik
Al-Busiri dan juga Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji bahawa mereka bukan menulis
kitab sejarah, tetapi adalah bahan sastera dan persuratan mengenai Nabi Muhmmad
s.a.w., sebagai bahan sastera, maka tidak dapat tidak ada di dalamnya elemen
imaginasi dan intuisi-kreatif yang mungkin tidak menepati dengan kehendak
sejarah yang semestinya bersifat benar dari segi fakta dan tarikh. Aspek-aspek
ini perlu difahami, terutama oleh pengkritik-pengkritik yang memandang dan
menilai Kitab Barzanji dari segi sejarah. Di dalam hal ini memang terdapat di
dalam Maulud Barzanji Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji elemen falsafah tertentu,
ciri sastera yang bersifat imaginatif
dan intuitif-kreatif. Antara contohnya penyebutan elemen falsafah `Haqiqat
al-Muhammadiyyah` yang ada hubungan dengan satu faham falsafah kewujudan,
langit dan bumi yang menjunjung cahaya-cahayanya yang Dhatiyyah,
gambaran-gambaran alam selepas Aminah mulai mengandung Muhammad seperti bumi
yang kontang mulai tumbuh tumbuhan, tunggangan bercakap kepada orang Quraisy
dengan bahasa Arab yang fasih, dengan kelahiran Muhammad keluar cahaya menyala
di istana Qaisar di Sham, bergoncang Iwan Kisra Anu Sharwan di Mada`in, Parsi
dan sebagainya. Mungkin ada yang mempersoalkan fakta-fakta dan elemen-elemen di
atas, tetapi sebagaimana disebutkan, karangan yang dipersembahkan oleh Sayyiduna
Ja`afar al-Barzanji adalah bersifat seni sastera yang ada elemen imaginatif dan
intuitif-kreatif yang elemen-elemen di atas tidaklah merosakkan kebenaran dan
tidak merosakkan dari segi pegangan.
Di sebalik dari apa yang dapat dikritik di
atas, kita dapati Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji amat teliti dalam mengemukakan
fakta-fakta sejarah yang sebenarnya tidak menyalahi dari segi sejarah. Apa yang
hendak ditekankan, bahawa Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji dapat menampilkan
sebuah karya seni adabiyyah (sastera) yang amat tinggi mutunya dengan pemilihan
kata yang indah, tinggi dari segi imaginasi dan sedap didengar, apalagi jika
ianya dibaca dan dialun secara bacaan yang bersifat seni dan kreatif. Contoh
gambaran tentang Rasulullah s.a.w dalam satu pecahan:
Dan adalah Rasulullah s.a.w. sangat pemalu dan
tawaduk. Dia mengikat kasutnya yang rabak, menjahit bajunya yang koyak, Baginda
memerah sendiri susu biri-biri, Baginda berkhidmat kepada keluarganya dengan
mudah dan selesa. Baginda menyukai orang fakir dan miskin dan duduk bersama
mereka itu. Baginda menziarah kalangan mereka yang sakit, mengiringi jenazah
kalangan mereka yang meninggal ke kuburan dan tidak merendahkan orang faqir sebaliknya
membela mereka dan menolong mereka.
Demikian sebahagian keindahan bahasa tentang
gambaran dan sifat Rasulullah yang sifat-sifat indah Baginda makin mengindahkan
ungkapan dan bacaan yang dilagukan.
Kitab Barzanji menjadi bacaaan popular di
dalam sambutan-sambutan Maulid al-Rasul, majlis-majlis aqiqah dan
keramaian-keramaian yang bersifat keagamaan. Bacaan Barzanji secara beramai-ramai
ini biasanya disertai dengan marhaban dan salawat ke atas Rasul yang majlis
biasanya bersifat kesyukuran dan meriah. Maulid al-Rasul, Pembacaan Barzanji,
Marhaban dan Salawat ke atas Rasul s.a.w. menjadi budaya murni Islam, khususnya
di dalam masyarakat Melayu.
Kita berpendapat Majlis Maulid dan
penghasilkan penulisan kreatif yang bersifat seni sstera Islam sedemikian patut
digalakkan perkembangannya sebagai tentangan terhadap seni profen dan duniawi
yang banyak membawa kerosakan kepada nilai dan akhlak. Perkembangan semasa seperti
Majlis Salawat Ke Atas Rasul yang mendapat sambutan masyarakat patut digalakkan
bagi menanamkan cinta kasih terhadap Rasulullah s.a.w. dan menyatukan umat, di
samping menjadi Majlis Seni Islam sebagai alternatif bagi majlis-majlis seni
yang tidak Islamik.
Sekian.
No comments:
Post a Comment