February 20, 2015

Pengimarahan Dan Pengisian Masjid Al-Umm


Pembinaan bangunan
Bukan mutlak kejayaan
Tapi pengimarahan dan pengisian
Adalah ukuran.

Masjid adalah tempat `Ibadat`
Dalam  membina masjid ini
Bagi mencapai hasrat ada misi & visi
Pemangkin Bandar Ilmu di Bangi
Katalis ini penggerak utama
Ketika cetusan bermula
Idealnya menjadi induk kegiatan
Surau dan institusi pendidikan kelilingan
Bernama `Wadi Ilmu` sebagai mikro
Bagi makro perluasan kawasan.

Bagi tujuan
Syura, seminar dan bengkel diadakan
Rumusan Masjid Al-Umm adalah
Pusat Ibadat
Taman ilmu
Giat masyarakat.

Selaku Pusat Ibadat
Bahawa dari azan secara nyata
Kepada ruang secara terbuka
Sentiasa menjemput kehadiran semua
Mengimarahnya dengan segala bernama ibadat
Siang dan malam mengihya`kannya
Dengan solat Jumaat dan berjamaah
 Beriktikaf dan bertilawah ayat-ayat
Tangis dan rintih yang bertaubat berkeinsafan
Istighfar, tahmid, tahlil dan tabhil berulangan
Dan tazkirah bimbingan berterusan.

Selaku Taman Ilmu
Selari tuntutan Qur`an dan Hadith
Ruang dan masanya diisi dengan pengajian
Mengiringi solat dengan panduan kitab
Dari ulama muktabar oleh guru berkalibar
Bidang, pendek dan panjang menurut kesesuaian
Adapun pada hari minggu diisi pengajian
Jangka panjang jangka pendek berpenilaian
Dihadiri pengaji-pengaji tempatan dan luaran
Disampai guru-guru jemputan dan pilihan
Dengan keilmuan lebih tinggi dan mendalam
Antaranya kerjasama dengan  institusi pilihan
Pada satu pihak ada kelas khusus muslimat
Ada kelas tahfiz bagi para huffaz
Ada kelas Al-Qur`an bagi peringkat permulaan
Ada bimbingan warga emas ala pondok moden
Ada konvensyen tahunan dengan topik pilihan.

Selaku Giat Masyarakat
Masjid menyedialan ruang
Bukan saja bagi ibadat dan keilmuan
Pada tingkat utama, atas dan bawah
Tapi pada tingkat bawah dapat diadakan
Sambutan tahunan. perayaan dan penghormatan
Mesyuarat, persidangan, akad perkahwinan
Motivasi pendidikan majlis pengiktirafan
Majlis keraian dan bantuan kebajikan
Kegiatan sukan bagi golongan muda dan dewasa
Juga perhimpunan di padang berdekatan
Atau larian kesihatan merentas kawasan
Berbagai pertandingan juga pameran.

Masjid Al-Umm
Biarlah menjadi tumpuan semua
Sama-sama mengimarah dan mengisikannya.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
29 Rabiul Akhir 1436

19 Februari 2015.

No comments:

Post a Comment