February 25, 2015

Dari Lambang Kepada Konsepsi - Takmilah Akliah


BBB, 05 Rabiul Akhir 1436 = 24 Februari 21015 (Selasa):


Kita telah membicarakan bahawa pergerakan kualiti Takmilah antaranya dari desakan keperluan yang dialami individu dan kelompok sebagai contoh dari keperluan komunikasi yang pada asasnya boleh dilakukan secara isyarat dan meningkat kepada penggunaan suara yang dari intonasi suara boleh menggambarkan kepada sesuatu yang bersifat suruh tegah, mesra marah, gembira duka dan sebagainya.Dari penggunaan suara ini menghasilkan bahasa yang memberi nama kepada benda-benda dan perbuatan yang dapat difahami di dalam kelompok masyarakat. Kemudian terhasilnya bahasa di dalam keluarga dan kelompok masyarakat berkenaan. Bahasa yang terhasil adalah berkembang dari peringkat yang paling dekat dan mudah. Misalnya di dalam keluarga adalah bermula dari ma (ibu). Pa (bapa), kak (kakak), bang (abang dan sebagainya. Bagi keluarga petani kata-kata yang mula dan lumrah digunakan ialah kata-kata yang dekat dengan alam kehidupan pertanian mereka. Misalnya rumah, padi, ubi, ikan, kucing, ayam dan sebagainya. Demikianlah dengan masyarakat nelayan, pemburu dan sebagainya.
Sudah dibicarakan bahawa kualiti Takmilah yang lebih tinggi yang sukar dicapai dan melibatkan perjalanan masa yang lama, sukar berlaku di dalam kelompok yang kurang kesedaran minda dan sosial. Adalah dijangka kesedaran tinggi bagi mengekalkan sesuatu maklumat, peringatan, perjanjian dan sebagainya mendesak ke arah menggunakan lambang-lambang. Kepentingan berlaku dalam hubungan antara kelompok, pihak berkuasa dengan rakyat dan sebagainya. Lambang berkenaan mungkin telah berlaku di dalam kelompok yang sedikit tinggi kesedaran budaya dan dikembangkan dan diluaskan kepada peringkat penggunaan formal.
Penggunaan lambang yang paling awal ialah dengan menggambarkan sesuatu yang hendak dingatkan yang diwakili oleh lambang iaitu dengan menyalin bentuk atau menggambarkan gambaran bagi sesuatu benda yang disalinkan. Misalnya rumah dengan gambaran kotak beratap. Orang dengan garis tegak berkepala dengan palang atas dan bawah menggambarkan tangan dan kaki. Kemudian gambaran ini makin kompleks dan ciri perbezaan makin halus bagi membezakan antara satu sama lain. Kita dapati tulisan bagi masyarakat yang mencapai tamadun lebih awal seperti Mesir dan Cina menggunakan tulisan yang berasaskan gambar. Walau bagaimana penandaan nama ialah bagi sesuatu yang bersifat benda. Lambang bagi perbuatan perlu dibuat bagi keterangan bahasa secara lebih lengkap. Begitu juga bagi kata-kata yang lain dari nama dan perbuatan.
Peningkatan bagi Takmilah dari segi lambang bagi kata atau lebih luas ialah bahasa ialah mengenali tempat keluar sebutan (makhraj) kata-kata. Misalnya `Padi`, maka istilah padi ini ialah kombinasi dua suku kata `pa` dan `di`. Maka diberi nama lambang (huruf) bagi tempat suku kata ini dengan nama huruf (p atau fa` pada bibir) dan (`d` atau dal pada hujung lidah). Demikianlah dikenalpasti tempat-tempat huruf bagi sebutan perkataan sehingga lengkap. Tempat keluar sebutan sebenarnya tidak banyak, iaitu antara 26 (Rumi) dan 30 (jawi). Maka diberi tempat keluar dengan huruf. Contoh lain seperti `h` pada halkum, sy` pada tengah lidah, `ba`` pada bibir dan sebagainya. Maka pengenalan dan kenalpasti tempat sebutan yang diberi nama huruf-huruf yang keluar dari tempat berkenaan dapat dikatakan hasil dapatan oleh `orang bijaksana` pada zamannya. Ini dapat diandaikan kawasan yang mengenali huruf seperti babylion. Mesir dan Fenik mencerminkan tahap kebijaksanaan tokoh-tokoh yang mampu mengenal pasti huruf yang dengannya dapat dieja dan dibaca secara terbuka dan bebas dan tidak perlu ingat kepada lambang-lambang secara gambar yang mungkin terhad ingatan. Sebaliknya dengan ejaan boleh dieja, disalin dan dingat. Walau bagaimana perkembngan tulisan secara huruf pada peringkat awal ini tidaklah sesumpurna yang kita gunakan kini.
Misalnya tulisan Aram dan Musnad yang melahirkan tulisan nasakh dan kufi berkembang dari peringkat asas yang masih belum sempurna – terhad - membawa kepada kelengkapan huruf yang lebih sempurna. Sebaliknya ianya menjadi lebih sempurna secara bertahap sehingga perkembangan tulisan jawi juga rumi ke tahap yang kita gunakan pada hari ini. Pembacaan antaranya dengan mempelajari kaedah-kaedah tajwid di dalam pengajian. Perkembangan budaya minda manusia dari tahap tak tau membaca kepada tahu membaca adalah merupakan satu takmilah perubahan besar bagi masyarakat dan budaya manusia, dari zaman permulaan sehingga tahap kemajuan.
Bagi tahap kemajuan mengenal huruf dan membaca ada lagi tahap perjalanan kualiti Takmilah bersifat minda, bahawa di dalam kehidupan masyarakat dari peringkat permulaan telah mengenali misalnya, jarak jauh atau dekat, tinggi atau rendah, banyak atau sedikit, panjang atau  pendek, tinggi atau rendah yang melibatkan jumlah dan ukuran secara tepat. Penerokaan ke arah mengenal pasti tentang nomber dan berbagai jenis hasil kiraan dan ukuran, ialah merupakan tahap kualiti takmilah akliah yang lebih tinggi sehingga ukuran-ukuran sama ada campur, tolak, kali dan bagi digunakan di dalam ukuran dan kiraan. Penggunaan angka dan pengukuran termasuk kiraan bersifat matemetik, geometri dan al-gebra dan sebagainya secara konsepsi menandakan Takmilah kualiti minda makin meningkat. Namun ianya bukan sesuatu yang baharu. Kita mengkagumi kemampuan manusia purba seperti zaman Firaun arkitek dan pekerja dapat melaksanakan tugas dengan menggunakan kaedah matematik, geometri, algebra dan peralatan-peralatan yang lain sehingga  ketinggian piramid dapat diukur dengan tepat. Ini bermakna sudah ada kemahiran tinggi dari segi metamatik, al-gibra dan geometri. Ukuran dan metematik adalah lebih tinggi dari gambaran alamiah yang boleh dilihat dengan mata, tetapi konsep metamatik, geometrik,al-gebra dan sebagainya Takmilahnya meningkat dari yang dapat dilihat secara nyata kepada penglihatan bersifat minda dan konsepsi. Ini merupakan peningkatan kualiti Takmilah Akliah dari yang dapat dilihat secara nyata, kepada  yang dilihat secara minda dan konsepsi.
Peningkatan dari menggunakan huruf kepada gambaran yang bersifat konsepsi mencerminkan peningkatan kualiti Takmilah Akliah yang menjadi dimensi utama dalam Takmilah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment