Berita kematiannya malam tadi
Menarik kehadiran jauh dan dekat
Dan setelah solat jenazah ke atasnya
Disempurnakan di Masjid Pulau Melaka
Jenazah diusung ke tanah perkuburan
Tidak jauh dari rumah sekadar lima meter
Diiringi puluh ribuan datang memberi
penghormatan
Tapi pergerakan begitu perlahan mengambil masa
Tapak demi tapak bergerak antara kaki berasak
Setiap orang ambil peluang mengabadi pandangan
terakhir
Sebelum jenazah disemadikan di samping Nik Mat
ayahanda.
Ruang bumi pilihan itu begitu berkat
Menerima rahmat semadi seorang ulama
Setiap biji tanah di ruang terluah
Sama bertahmid dan bertasbih
Menerima kehadiran di tengah kesesakan
Basah ruang tanah sejuk genangan
Penuh mesra titisan kasih sayang.
Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sebuah permata berharga bercahaya
Gugur dari cakrawala ke bumi Kelantan
Padanya terkumpul keistimewaan
Ulama terbilang yang mengumpul ilmu
Dari Tanah India, Pakistan dan Al-Azhar
Kembali mencurahkannya kepada masyarakat
Melalui pengajaran, ceramah dan penulisan
kitab.
Dia terkenal seorang tokoh harakah Islami
Mencebur diri dalam kegiatan politik
Selaku Ahli Parlimen mewakili Kelantan
Adun melayakkannya menerajui pemerintahan
23 tahun Menteri Besar Kelantan
Mewarnai negeri dengan keislaman
Sambil meluaskannya ke seluruh negara
Dengan amanah selaku Mursyidul Am
Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat
Peribadi gemerlap nilai keislaman
Menjadi legenda kemanusiaan
Dia zuhud ketika di tangan kekuasaan
`istana`nya berumah papan sederhana
Tempat dia mendidik keluarga besarnya
Sambil exercise waktu lapang ke kebun pisang
Dia merakyatkan pengajaran hingga melimpah
Ke pasar, kaki lima dan ruang penungguan
Mencelikkan umat dengan keilmuan.
Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat
Permata hati rakyat Kelantan
Kasih sayang umat keseluruhan
Dengan peribadi sederhana dia ke mana-mana
Adalah magnet tarikan melimpah kehadiran
Melangkau batas kaum dan kedudukan
Mendengar amanat atau cukup bersalam
Atau sekadar melihat wajah dan senyuman
Memdapat puas kehadiran.
Tuan Guru Dato` Nil Abdul Aziz Nik Mat
Dengan imej ulama tokoh haraki Islami
Warak dan berwajah tenang
Mengukir kenangan
Sejarah merakam.
Bandar Baru Bangi,
23 Rabiul Akhir 1436 (Jumaat),
13 Februari 2015.
No comments:
Post a Comment