BBB, 16 Rabiul Akhir 1436 = 06 Februari 2015
(Jumaat):
Adalah dilihat bahawa Surah al-Fatihah yang
juga antara namanya ialah Fatihat al-Kitab yang diturunkan di Makkah ini adalah
tepat dengan membicarakan pada bahagian awal mengenai Hakikat Ketuhanan Yang
Tinggi dalam hubungan-Nya dengan alam ciptaan-Nya – Dari Basmalah hingga ke
ayat 4.
Bahagian lanjutan dari pada itu adalah
peralihan pembicaraan atau persoalan dari Hakikat Ketuhanan Tertinggi kepada
tahap bawah, iaitu alam dan pada tahap alam yang paling utama, ialah insan yang
diberi taraf (Adam dan turunannya) paling mulia dan sebagai Khalifah di muka
bumi ( Al-Baqarah: 30). Pentarafan ini mempunyai kaitan dengan kemampuan insan
meningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kerohanian dan menimbulkan
kesedaran tentang taraf diri sebagai hamba Allah Yang Maha Pencipta dan
kewajaran diri dan pengakuan:
5) Maksud: Engkaulah sahaja (ya Allah) yang
kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja yang kami memohon pertolongan.
`Kata `na`budu` memberi makna `kami sembah`
yang merujuk kepada ibadat khusus `ibadat`. Menurut Tafsir Pimpinan Al-Rahman,
ibadat dengan makna yang ringkas, ``Dapat diertikan sebagai menunjukkan rasa
taat setia dan perhambaan diri kepada Allah `Azza wa Jalla yang dikenangkan
limpah kurnia kebaikanNya serta dirasai dalam hati nurani akan kehebatan
kekuasaanNya (Pimpinan Al-Rahman, hlm. 3). Insan bukan setakat mengakui
Kekuasaan Allah, tetapi menyedari tentang kelemahan diri, lantaran kepadaNya
jualah dipohon pertolongan sama ada secara persendirian maupun secara kelompok
dan jamaah.
Berhubung dengan `na`budu` Hamka di dalam
Tafsir Azharnya lebih bersetuju memberi makna kepada `kami beribadat`. Ini
bukan saja untuk mengelak dari `kami sembah` memberi konotasi yang lain yang
diamal dalam setengah masayarakat, tetapi konsep `beribadat` itu memberi erti
yang luas.
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil. I, Pustaka
Nasional Pte Ltd., Singapura, 2001: 76).
Konsep ibadat bukan setakat perlakuan di dalam
solat, tetapi juga melakukan kebaikan, misalnya menyebarkan ilmu pengetahuan ke
tengah masyarakat, memberi pertolongan kepada mereka yang susah dan lemah serta
tolong menolong dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat. Begitu juga
`nasta`in`, tidak saja mendapat pertolongan bagi diri, tetapi merujuk `kami`
adalah lebih kepada kelompok dan masyarakat. Misalnya berikhtiar dan memohon
untuk menambahkan pendapatan masyarakat, meningkatkan mutu pembelajaran dan
mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
6) Bermaksud: Tunjukkanlah kami jalan yang
lurus
Dua kata kunci penting di atas ialah `Hidayah`
dan `Jalan Lurus`. Ada yang memaksudkan `Hidayah` ialah `Agama Islam` dan juga
`Al-Qur`an` (Hamka, Jil. I: 80).
Kita memohon dari Allah pertolongan, maka
pertolongan mungkin diberi, misalnya menjadi orang yang senang dan sihat, tetapi
lupa diri kepada Allah, mendapat kedudukan di tengah masyarakat, tetapi lupa
diri kepada Allah dan masyarakat. Sebab itu
mendapat `Hidayah dan Taufik` daripada Allah adalah penting, tetapi
firman Allah bermaksud:
``Engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi
hidayah kepada orang yang engkau kasih, tetapi Allah memberi hidayah kepada
orang yang Dia kehendaki.`` (Al-Qasas: 56).
Ayat di atas merujuk kepada hasrat Rasulullah
s.a.w. agar bapa saudaranya Abu Talib beriman, tetapi perkara hidayah bukan
kemampuan dan ketentuannya.
Oleh itu dalam memohon pertolongan dari Allah
juga dipohon hidayah dari-Nya
Manakala kata `Jalan Lurus` bersifat isti`arah
dan konotasi dari segi maksudnya. Ianya diambil dari makna langsungnya `Jalan
Lurus`, boleh juga dimaksudkan kepada `Kebenaran` atau `Keselamatan` Pokoknya
jalan betul yang diredai Allah. Sebab itu seorang muslim seharusnya tidak
lekang dari berdoa. Dan Surah Al-Fatihah` itu adalah merupakan doa.
7) Bermaksud: Iaitu jalan orang-orang yang Engkau
telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang
Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.
Tiga jalan
: Jalan Nikmat, maka ialah jalan hidayah yang
betul yang mendapat keselamatan dan nikmat di dunia dan akhirat
Manakala jalan yang minta dilindung dan
dijauhi, ialah `Jalan Kemurkaan`` iaitu merujuk kepada kaum Yahudi dan orang-orang yang sesat ialah kaum
Nasrani (Pimpinan Al-Rahman: 4).
Juga orang-orang yang mengingkari hukum agama,
menyembunyikan perkara benar.
Manakala orang yang sesat, termasuk orang yang
tidak mempunyai pengetahuan agama, tetapi tidak berusaha mempelajarinya atau
orang-orang mempelajari agama secara tidak betul ( Pimpinan Al-Rahman: 4).
Namun dari segi kemurkaan dan kesesatan ini
tidak hanya apa yang telah berlaku di dalam sejarah, tetapi bahaya dan ancaman
juga masa kini yang mungkin lebih hebat cabaran dan ancamannya seperti
timbulnya faham liberalisme dan pluralisme yang mengancam – termasuk kepada
Islam. Serangan yang bersifat fikiran ini, tidak cukup dengan bersifat melarang
mendekati, tetapi perlu kepada jawapan-jawapan yang bersifat intelektual dari
mereka yang faham dan mendalam tentang Islam.
Al-Fatihah secara khusus dan Al-Qur`an secara
menyeluruh perlu kepada huraian dan pendekatan yang mampu menjawab kepada
serangan-serangan musuh, terutama bersifat kekinian yang bersifat serangan
fikiran.
Sekian.
No comments:
Post a Comment