BBB, 20 Rabiul Akhir 1436 = 10 Februari 2015
(Selasa):
Apa yang dibicarakan ialah satu daripada
114 surah al-Qur`an al-Karim – Al-Fatihah.
Ia menunjukkan betapa mendalam dan meluasnya dapat dibicarakan kandungan surah
tersebut. Al-Fatihah (Diturunkan di Makkah) adalah sebagai contoh bahawa
kandungannya jauh berbeza daripada apa yang dibicarakan sebelumnya dalam
masyarakat Jahiliyyah yang bersifat asabiyyah kaum. Persengkitaan, peperangan,
bermegah-megah dengan kabilah dan turunan. Apa yang dibawa oleh Islam melalui
Al-Qur`an bersifat kewujudan menyeluruh dari hakikat Ketuhanan, kealaman,
insan, contoh tauladan, nilai baik-buruk, keakhiratan dari yang bersifat
syahadah dan ghaib.
Al-Qur`an diturunkan melalui Nabi Muhammad
s.a.w. adalah bersifat pendidikan terutama bagi menghapuskan sifat syirik di
kalangan masyarakat Jahiliyyah. Lebih daripada 90 surah (92) yang diturunkan di
Makkah (22 di Madinah) adalah bersifat pendek-pendek dari surah dan ayat-ayat
yang ditujukan kepada masyarakat yang tidak Islam bagi membersihkan pegangan
mereka yang salah, iaitu menyembah berhala kepada menyembah Tuhan Yang Esa,
meninggalkan sifat-sifat Jahiliyyah yang berpuak-puak dan bersengkita kepada
penyatuan melalui Islam dan bersaudara seperti terkandung di dalam surah
Al-Kafirun, Al-Ikhlas, Sad dan Al-Saffat.
Islam juga menyeru kepada beriman kepada Rasul
dan kitab yang diturunkan (Al-Qur`an) yang mereka sendiri menyaksikan tentang
sifat amanahnya Rasulullah s.a.w. dan mu`jizat Al-Qur`an baik dari segi bahasa
dan kandungan sebagaimana diakui oleh kalangan penyair terkenal Arab seperti
Al-Walid bin Al-Mughirah dan pengislaman Sayyiduna `Umar bin Al-Khattab yang
mengkagumi Al-Qur`an dan membawa kepada pengislamannya. Bahkan kata Muhammad
Qutb.
``Tidak ada tandingan Al-Qur`an dari segi
keindahan seninya yang sempurna dan tidak ada kemampuan gambaran seni bahasa
menandingi ketinggian seni Al-Qur`an yang memberi kesan seni secara mendalam.``
(Muhammad Qutb, Manhaj al-Fann al-Islamiyy,
Dar al-Shuruq, Beirut-Misr,1403/1983: 14).
Sebagai contoh bacalah keindahan surah
Al-`Alaq, Al-Tin. Al-Balad, Al-Qiyamah dan sebagainya yang semuanya diturunkan semasa
di Makkah.
Antara ayat-ayat Al-Qur`an yang diturunkan di
Makkah membicarakan tentang latar belakang Rasulullah s..a.w. yang pada masa
kecilny yatim piatu (Al-Duha). Sejarah semasa kelahiran Rasul s.a.w. pada Tahun
Gajah (Al-Fil). Kehidupan kaum Quraisy yang setengahnya berniaga – termasuklah
Nabi Muhammad s.a.w. yang berniaga sebelum Baginda dibangkitkan menjadi Rasul
(Quraisy). Gambaran Rasulullah tatkala menerima wahyu dan perlantikan menjadi
Rasul (Al-`Alaq, Al-Muddaththir, Al-Muzzammil), mendidik masyarakat supaya
hidup berakhlak dan beradab seperti (Al-Humazah, Al-Ma`un, Al-Mutaffifin. Abasa),
mengecam kuffar Quraisy yang menghalang dakwah nabi (Al-Masad). Juga gambaran
tentang penyair zaman Jahiliyyah (Al-Shu`ara`).
Al-Quran juga menampilkan maklumat saintifik
yang sebelum ini tidak diketahui oleh musyrikin Makkah dan lain-lain ialah
tentang kejadian manusia (Al-`Alaq dan Al-Tin). Begitu juga Al-Qur`an
membicarakan tentang kejadian alam, makhluk, bumi, malam dan siang (Al-Layl,
Al-Shams, Al-Fajr, Fatir), tentang negara (Al-Tin, Al-Balad, Al-Shura, Al-Rum),
tentang planet-planet dan bintang-bintang (Al-Tariq, Al-Buruj) dan antaranya
menggambarkan tentang alamat-alamat dan gambaran-gambaran kiamat (Al-Inshiqaq,
Al-Infitar, Al-Takwir, Al-Nazi`at, Al-Naba`, Al-Mursalat, Al-Qiyamah,
Al-Ma`arij, Al-Waqi`ah, Al-Qamar, Al-Jathiah). Tentamg kejadian Jinn (Al-Jinn,).
Tentang Isra` Mi`raj (Al-Najm, Al-Isra`). Gambaran Tempat (Al-Tin, Al-Tur).
Terdapat pula cerita-cerita yang menarik
perhatian bagi masyarakat semasa di Makkah – sebelum Hijrah (Nuh, Al-Haqqah –
Thamud & `Ad, Al-Ahqaf, Saba`, Luqman, Al-Qasas, Al-Anbiya`, Maryam,
Al-Kahfi, Ibrahim, Yusof, Hud, Yunus,) . Keilmuan (Al`Alaq, Al-Qalam, Al-Mulk,
Al-Zumar, Al-Hijr), Tentang amalan dan balasan (Al-Dhariyat), Tentang Al-Qur`an
(Qaf, Al-Dukhan, Fussilat, Yasin) Dakwah dan Iman (Al-Zukhruf, Al-Mu`min,
Al-Sajdah, Al-`Ankabut, Al-Naml, Al-Furqan, Al-Mu`minun. Taha, Al-Ra`d),
Penawar dan makanan (Al-Nahl, Al-An`am), syurga dan neraka (Al-A`raf dan
lain-lain).
Jelas bahawa sebahagian besar kandungan
Al-Qur`an adalah diturunkan pada zaman di Makkah, iaitu sebelum Hijrah
melibatkan berbagai-bagai bidang yang sebelumnya di luar dari maklumat penduduk
di Makkah. Penurunan surah-surah di atas begitu berlainan dari bentuk bahasa
dan sastera (syair) yang digunakan pada zaman Jahliyyah. Istilah surah yang
digunakan di dalam Al-Qur`an bagi pembahagian bahagian-bahagian tidak digunakan
sebelum Islam. Dalam surah-surah ini ada ayat-ayat. Gaya bahasa yang dibawa oleh Al-Qur`an adalah
bebas, tetapi banyak pula yang ayat-ayat, terutama di dalam surah-surah yang
pendek-pendek mempunyai persamaan bunyi di dalam ayat-ayat (bagi akhir baris
ayat), tetapi ini tidak boleh disifatkan sebagai puisi. Namun begitu ayat-ayat
Al-Qur`an begitu lancar dan fasahah, indah dan merdu dan mempunyai ciri-ciri estetik
yang tinggi.
Yang paling utama yang dibawa oleh Al-Qur`an
ialah kandungan keilmuan yang selama ini di luar maklumat bukan saja di
kalangan kuffar dan orang Quraisy, tetapi bagi insan keseluruhan. Ini menjadi
cabaran bagi manusia menerokainya dan sememangnya Al-Qur`an menjadi induk
keilmuan bagi umat Islam dan manusia seluruhnya untuk menerokainya. Lantaran
apa yang dibawa Al-Qur`an sesuatu yang baru, membuka era baru bagi keilmuan,
bahkan bagi perkembangan Islam, maka adalah didapati tumpuan pembelajaran
adalah kepada Al-Qur`an. Dapat dikatakan bahawa era Al-Qur`an meninggalkan dan
memisahkan diri dari zaman sebelumnya. Tumpuan diberi kepada mendalami
Al-Qur`an. Kalau sebelumnya dikenali dengan Zaman Jahiliyyah, maka dengan kedatangan
Islam memulakan zaman baru, zaman keilmuan dan zaman kemajuan. Madinah sebagai
negara Islam terawal memulakan tradisi tamadun dan peradaban Islam yang
sebenarnya juga mengukir tamaduan dan peradaban dunia-akhirat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment