BBB, 13 Rabiul Akhir 1436 = 03 Februari 2015
(Selasa):
Masyarakat Arab pada zaman Jahiliyyah amat
menyanjung tinggi di atas kelahiran dan kemampuan penyair yang lahir di kalangan
kabilah mereka. Penyair bukan saja berkemampuan menampilkan bahasa puisi syair
yang puitis, tetapi juga merakam peristiwa. nilai budaya dan masyarakat mereka,
Penyair adalah menjadi jurucakap, bahkan dikatakan sebagai arkib bagi kabilah
mereka. Penyanjungan menyebabkan karya-karya penyair dihafal dan diingati setua yang dapat diwarisi hingga
awal abad ke 6M. Puisi-puisi terbaik dipertanding di Pasar Ukkaz disanjung dan
diberi penghormatan digantung di Ka`bah. Penyair-penyair elit ini dikenali
sebagai `Ashab al-Mu`allaqat. Antara tokoh penyair menyentuh zaman Islam
seperti Ka`b bin Zuhayr membawa kepada Hassan bin Thabit dan Abdullah bin
Rawahah. Islam tidak mengecam, tetapi memberi pengiktirafan terhadap kalangan
mereka seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap Ka`ab bin Zuhayr,
Hassan bin Thabit dan Abdullah bin Rawahah.
Dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Ka`ab bin
Zuhayr, Hassan bin Thabit dan Abdullah bin Rawahah adalah sempadan dan puncak
perpuisian dari Zaman Jahiliyyah kepada zaman Islam. Mereka bertiga bertemu
berdepan Rasulullah s.a.w. dan mengungkapkan puisi `Memuji dan Membela`
Baginda. Persempadan ini diambil bukan sekadar persentuhan masa dan interaksi
mereka dengan Rasulullah s.a.w., tetapi hingga ke persempadanan ini berlaku perubahan
tumpuan masyarakat umat dari tumpuan dan kekaguman terhadap puisi syair
sebelumnya kepada tumpuan terhadap keagungan AL-QUR`AN !
Ini menepati dengan cabaran Al-Qur`an
bermaksud:
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa
yang kami turunkan (Al-Qur`an) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat
dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur`an itu, dan panggillah
orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika
betul kamu orang-orang yang benar (Al-Baqarah: 23).
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian
Al-Qur`an, Diterjemah Serta Diberi Penjelasan oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad
Basmih, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, 1985:
10). Begitu juga dengan ayat bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya
jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan
mendatangkan sebanding dengan Al-Qur`an ini, mereka tidak akan dapat membuat
dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu membantu
sesama sendiri.`` (Al-Isra`: 88).
Bahawa kedatangan Islam adalah zaman baharu yang
kontra dari zaman Jahiliyyah. Kelainan dapat dilihat bahawa Al-Qur`an membawa
pendekatan yang berlainan sekali dari pengucapan puisi yang selama ini dimegahi
oleh kabilah-kabilah Arab. Penyimpangan pengucapan yang dapat dikatakan `Bahasa
Al-Qur`an` yang pada peringkat kalangan kabilah Quraisy pada mulanya menyangkakan
ianya adalah bentuk puisi, tetapi dinafikan oleh Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan kami tidak mengajarkan syair kepadanya
(Muhammad) dan tidaklah sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya tidak lain
melainkan nasihat pengajaran Dan Qur`an itu memberi penerangan yang nyata
(Yasin: 69).
Bentuk kandungan bahasa Al-Qur`an tidak dapat
dikatakan bahasa puisi (syair) dan tidak boleh dikatakan bahasa berbentuk
prosa. Tetapi kedua-dua elemen adalah terdapat di dalamnya. Sebuah puisi syair
mempunyai rangka, paling kurang adalah terdiri dari satu bayt (dua baris) yang
sengaja digubah sedemikian atau lebih banyak daripada itu yang mungkin sampai
kepada 40 bayt (normal) atau sampai kepada beratus bayt. Bagi sebuah bayt
(syair Arab) diukur dengan wazan – kombinasi timbangan misalnya – mustafilun,
mustafilun fa`ilun atau mutafa`ilun fa`ilun mustafilun – maka jumlah kata yang
diungkapkan menurut kandungan wazan berkenaan. Antaranya dikenali sebagai
al-wafir, al-kamil, al-tawil, al-raml, al-basit, al-madid, al-mtaqarib,
al-rajz, al-munsarih, al-mutaqarib, al-khafif dan al-sari` . Ukuran bagi setiap
bayt dan setengah bayt adalah mematuhi wazan-wazan yang seolah-olah sebagai
pattern atau pola bagi bayt berkenaan. Satu lagi hujung bagi satu bayt di
namakan qafiah. Antara separuh bayt dengan hujung bayt tidak mesti sama dari
segi qafiah, tetapi harus menurut pola yang ditentukan, tetapi hujung sebuah bayt dengan bayt berikutnya
biasanya bersamaan qafiah. Misalnya sama berhujung dengan mim, qaf dan
sebagainya. Apa yang hendak ditekankan bahawa tidak ada kesengajaan timbangan
wazan dan qafiah seperti syair di dalam al-Qur`an.
Walau bagaimana terdapat elemen-elemen puisi,
tetapi tidak boleh dikatak syair contoh surah al-Ikhlas yang hujung barisnya
yang menjadikan seolah-olah dua bayt, tetapi tidak boleh dipadankan dengan
berbagai jenis nama bagi kombinasi wazan-wazan di atas. Begitu juga terdapat
banyak sekali bagi-bagi surah makkiyyah yang biasanya surah-surahnya
pendek-pendek, maka ayat-ayat pendek-pendek dan hujung bagi setiap ayat
berakhir dengan huruf atau bunyi yang sama contoh surah al-Masad, al-Kauthar,
al-Ma`un, al-Humazah, sebahagian besar dari al-`Alaq dan banyak lagi.
Elemen-elemen ini dan yang lain dapat dibicarakan secara lebih luas dan
mendalam dari aspek estetika. Ini adalah
merupakan sebahagian gaya bahasa Al-Qur`an yang tidak terdapat atau tidak wujud
dalam syair-syair Jahiliyyah.
Satu lagi pembicaraan dari segi bentuk, bahawa
Al-Qur`an juga tidak boleh disebut sebagai berbentuk prosa. Kalau kita teliti
di dalam Al-Qur`an, sebahagian dari Al-Qur`an mempunyai jumlah ayat-ayat yang
panjang di dalam surah-surah yang panjang, terutama surah-surah madaniyyah
seperti al-Baqarah, Ali Imran, al-Nisa`,
al-Ma`idah dan seumpamanya, juga surah-surah panjang yang diturunkan di Makkah
seperti al-An`am, al-A`raf dan yang seumpamanya yang surahnya panjang-panjang
yang ayat-ayatnya pula panjang-panjang, maka ianya tidak boleh dikatakan ianya
sebagai bahasa prosa, kerana ayat-ayat dan kandungan mempunyai ciri-ciri
tersendiri. Demikian jika surah yang membawa cerita-cerita yang panjang seperti
Surah Yusuf, al-Kahfi tidaklah boleh dikatakan novel atau yang pendek seperti
al-Masad, Al-Fil dan sebagainya tidak boleh dikatakan cerpen, kerana ianya
membawa kepada implikasi yang tidak menyenangkan. Misalnya baik novel atau
cerpen adalah termasuk di bawah genre cereka. Dengan menggunakan kedua-dua
istilah itu, boleh membawa kepada kefahaman bahawa cerita-cerita di dalam Al-Qur`an
itu sebagai rekaan sebagaimana cerpen dan novel. Sebab itu lebih selamat ianya
ialah `Bahasa Al-Qur`an` dan kalau cerita adalah cerita benar di dalam
Al-Qur`an.
Jadi
dilihat dari aspek bentuk sahaja Al-Qur`an membawa bentuk yang berlainan dari
bentuk-bentuk puisi syair yang digunakan oleh penyair-penyair, khususnya
sebelum Islam. Kalau syair mempunyai wazan timbangan dan qafiah. Tetapi
Al-Qur`an diturunkan secara surah, ayat yang berbagai gaya susunan dan
pengucapan. Bahasa Al-Qur`an yang disifatkan sebagai bahasa fusha (fasih)
berbeza dari bahasa persuratan dan percakapan Arab biasa, bahkan berbeza dari
bahasa Hadith.
Seorang
penyair, iaitu Al-Walid bin al-Mughirah yang pertama kali mendengar al-Qur`an yang
dia tidak Islam berkata:
``Demi
Allah, tiada dari kalangan kamu yang lebih mengetahui dariku tentang syair,
rentak rajaz, qasidah ... Wallahi tidak ada sesuatu yang menyerupai dengannya
(Al-Qur`an) dengan sesuatu. Demi Allah kata-katanya merdu dan indah yang
menundukkan yang lain di bawahnya dan dia adalah tinggi dan tiada yang lebih
tinggi darinya.``
Sebagaimana juga terkeluar dari ungkapan Umar
bin al-Khattab menjelang Islamnya, katanya, ``Tatkala aku mendengar Al-Qur`an
lembutlah hatiku, lalu aku menangis yang membawa aku menerima Islam.``
(Muhammad
Qutb, Manhaj al-Fann al-Islamiyy, Dar al-Shuruq, Beirut-al-Qahirah, 1403/1993:
7).
Al-Qur`an
membawa kejutan dan kelainan, berbeza dari syair, mengkagumkan – termasuk kepada
penyair termasuk yang mahir di dalam bahasa. Tumpuan terarah kepada Al-Qur`an.
Sekian.
No comments:
Post a Comment