June 22, 2011

Ziarah `Pesakit` - Dari Sedih Bertukar Gembira; Dari Takziah Bertukar Tahniah !

BBB, 17 Rajab = 19 Jun (Ahad):

(Anekdot):


Seorang sahabat yang lebih dikenali sebagai `Haji Amir Harakah` - kerana beliau adalah pengedar Harakah di sekitar Bangi, mengalami sakit bisa di kaki beberapa bulan lalu. Kami dari Lajnah Kebajikan membuat lawatan di Hospital Serdang ketika kakinya dalam keadaan kritikal dan memberi perangsang kepadanya dengan berbanyak sabar dan mendoakan kesembuhan dari Allah.


Apa yang diketahui selepas itu, beliau dikatakan sakit kencing manis dan kakinya terpaksa dipotong ! Kami berazam untuk menziarahinya sekali lagi, tetapi tidak mempunyai kesempatan hinggalah pada Ahad 19 Jun, setelah beliau pulang ke rumah, baru kami dapat mengatur masa untuk menziarahnya dan beliau bersetuju menerima kami pada jam 11.00 pagi. Sebagai orang yang kena potong kaki dan sakit, kami menjangka akan menziarahinya di katil pesakit dalam keadaan sedih dan bercadang membawa buah-buahan dan sedikit hadiah sempena ziarah. Kami bersedia dengan suasana sedih dan duka dan mungkin menitis air mata ketika menziarahinya nanti.


Pada sebelah pagi hari itu sebelum kami menziarah, isteri Adun ke Pasar Basah berdekatan rumah Adun. Dia yang mengetahui yang Adun dan rombongan akan menziarah Tuan Haji Amir Harakah terkejut besar apabila di pasar menemui Haji Amir berjalan seperti biasa membeli belah di pasar. Isteri Adun yang terkejut spontan memberi salam dan menyebut,

``Eh dan boleh berjalan ?`` Sesudah salam dijawab kata beliau,

`Sudah, setelah berlatih beberapa hari memakai kaki palsu, `` jawabnya.

``Al-hamdulillah, sekarang sudah boleh memandu,`` tambahnya

``Tak perlu menggunakan alat sokongan ?`` Tanya isteri Adun.

`Ya al-hamdulillah tak perlu, ` jawabnya.

Dalam keadaan excited isteri menyebut, ``Orang rumah bercadang menziarah Haji Amir bersama rombongan tengahari ini !` Sedikit ketawa.

`Ya, jam 11.00 hari ini,` Haji Amir mengiakan bagaikan biasa saja.

`Tapi dah sihat, macam mana nak ziarah !` tambah isteri Adun.

`Tak apa, ziarah tak perlu sakit, nak pulang ni menunggu mereka !` jawab Haji Amir secara bergurau.


Jam 11.00 kami tiba dihadapan rumah Haji Amir di Seksyen 15 di Bandar Baru Bangi. Rombongan yang tidak mengetahui perkembangan kesihatan Tuan Haji Amir terkejut melihat Haji Amir berada di hadapan rumahnya !

Sebelum kami memberi salam, Haji Amir sudah keluar menuju ke gate dan memberi salam terlebih dahulu kepada kami daripada kami sepatutnya lebih dahulu memberi salam kepadanya sebagai penziarah.


Kami dijemput ke dalam, isteri dan anak lelakinya ada bersama. Selepas bercakap, tanpa diminta oleh kami beliau mencabut kakinya dari kaki palsu dari betis ke bawah dan memberitahu kaki palsunya adalah `latest model` buatan German dan disponsor oleh UKM. (Beliau masih pekerja UKM). Menurut Haji Amir ia amat selesa berbanding dengan beberapa model yang telah dicubanya. Kata Haji Amir secara bergurau,

``Sekarang boleh banyak kaki, boleh banyak berjalan !``

`Ingat banyak duduk di rumah,` kata seorang dari kami.

``Mana boleh, hidup kena bergiat, jika tidak kita terperap,`` katanya.

`Nak buat apa, tanya seorang dari kami.`

`Bekerja dan bergiat seperti biasa,`` jawabnya.


Dari perbualan kami bersamanya, memperlihatkan Haji Amir ceria dan bersifat positif bagaikan tak ada apa-apa kekurangan padanya. Menurutnya beliau akan kembali bekerja selepas diberi cuti panjang dan akan aktif semula dalam pergerakan, termasuk akan mengedar kembali Harakah ! Begitu azam beliau bagi meneruskan perjuangan hidup.


Selepas berbual, minum dan menyampaikan cenderamata, kami memohon diri dan mengucap tahniah di atas kesihatannya yang baik. Bila keluar Adun terlihat stiker lambing OKU di keretanya. Adun bergurau,

`Wah ! Sekarang lagi mudah, ke mana pergi dapat kemudahan parking istimewa!`

Dia ketawa dan berkata, ``Memang sekarang ke mana-mana dapat kemudahan parking!`

Adun bergurau lagi, `Orang biasa boleh pinjam stiker untuk dapat kemudahan parking?``

Jawabnya sponton, `Tak boleh!` katanya.

`Bawa tongkat berpura-pura sakit?` bergurau Adun.

Jawab Haji Amir, ``Salah guna stiker dan parking tempat OKU, boleh didenda RM50.00!``

`Ooi tak boleh main-mainlah, `` jawab Adun yang bertujuan bergurau itu.


Nampaknya sejak mendapat kemudahan tempat parking dia sudah mahir dengan peraturan dan undang-undang.

Apa yang menggembirakan kami, melihat keceriaan beliau, seolah-olah tidak berlaku sebarang kekurangan dan kecacatan pada beliau. Al-hamdulillah.


Kami mengucap tahniah di atas kesihatan beliau yang pulih dan pandangan hidup beliau yang positif. Sementara itu pada hari Ahad 19 Jun 2011 yang sama kami berkesempatan menziarah mereka yang sakit dan yang memerlukan pertolongan iaitu:

1) Anak bernama Puvana Thurga Sri (6 tahun) di Council Home BBB, yang akan menghadapi pembedahan di IJN pada 20.6.2011. Memerlukan derma, walaupun sebahagian besar kos ditanggung IJN. Kami membantu untuk meringankan bebanan.

2) Cik Kavida yang memerlukan bantuan permulaan bagi pendaftaran universitinya (Open Universiti). Beliau tinggal d Taman Zamrud. Kami menghulur bantuan.


Sekian.

1 comment:

  1. Beberapa bulan lalu saya pernah terserempak dengan Haji Amir ni di Masjid Hasanah selepas solat Jumaat berkerusi roda. Saya sungguh terkejut. Rasanya saya tak salah orang.

    ReplyDelete