April 24, 2012

10 Pasangan Pengantin Dari Kalangan Jamaah Diraikan

Pejabat Adun Bangi, 30 Jamadil Awal 1433 = 22 April 2012 (Ahad):

Hasrat mau mengadakan Majlis Meraikan Pengantin Baru dari kalangan jamaah bagi kali kedua (Kali Pertama 2009) telah dikemukakan kepada Adun bagi mendapat tarikh dan peruntukan sejak akhir Disember 2011. Pertama sekali dipersetujui untuk diadakan pada Februari 2012, tetapi memikirkan ada beberapa orang ahli jamaah akan melangsungkan perkahwinan dalam masa lewat sedikit dari Februari tersebut, maka diubah tarikh kepada 22 April hari ini. Turut juga dipohon penambahan peruntukan.

Meraikan pengantin dari kalangan jamaah, bukan semata-mata penglahiran syukur dan gembira, tetapi lebih dari itu. Mereka sama ada pengantin lelaki atau perempuan adalah tenaga jamaah dan penggerak kegiatan, memajukan jamaah dan adalah diharapkan mereka dan generasi dari mereka penerus kerja-kerja jamaah, bahkan antara pasangan diusaha dan diatur dalam jamaah. Meraikan mereka bukan setakat penglahiran gembira, tetapi syukur dan harapan penerusan kegiatan dari mereka.

Untuk keraian seramai 19 pengantin dari Dun Bangi dan Serdang dikenalpasti dan dijemput menyertai Majlis Keraian, tetapi 10 pasangan daripada mereka dapat hadir. Mereka ialah

  1. Hassan Fikri bin Safar & Noraihan - 08.05.2010
  2. Hasyim Rahimi Muhamad Shahri & Nabilah Ahmad - 13.03.2011
  3. Uwaisilqarni & Roslina Sahidin - 16.09.2011
  4. Muhamad Sufian Gan Kian Hong & Nurul Huda Sakinah Ibrahim - 07.10.2011
  5. Nizar Abd Manan & Nur Sabrina Mohd Arip - 10.03.2012
  6. Nazmi & Shazwani Sanusi - 17.03.2012
  7. Muhammad Syafiq Hamzah & Norazima Mat Isa - 17.03.2012
  8. Muzaffar Shah Soleh & Nurhazwani Abd Rahman - 25.03.2012
  9. Sheikh Ahmad Afiq & Siti Zaniza Hj. Tohar - 31.03.2012
  10. Mohd Izwan Yusof & Siti Hajar Mohd Samsudin - 31.03.2012
Jika Majlis keraian pertama adalah ucapan dan jamuan pada waktu malam, tetapi pada kali ini Majlis Keraian dibuat pada siang di Medan Usahawan dan diadakan acara kebudayaan Keislaman dan Adat Melayu.  Sebagai permulaan pasangan berbaris dan diarak keliling medan usahawan dengan diiringi kompang, kemudian pasangan-pasangan pengantin menyaksikan pancak silat   dari Persatuan Silat Kajang Utama di bawah pimpinan Cikgu Idris Shafie diikuti dengan Marhaban dari Sungai Merab di bawah pimpinan Tuan Haji Mohd Taiful bin Haji Mohd. Taha. Pengantin dan pasangan dan para jemputan sebelum itu dirai dengan jamuan terlebih dahulu.

Selepas itu diadakan Majlis Perasmian dengan ucapan-ucapan alu-aluan dari Puan Zuryati Yassin yang memberi panduan hidup sebagai suami isteri yang seharusnya bijak mengendalikan rumah tangga berasakan keislaman. Diharap dari pasangan-pasangan diraikan akan melahirkan generasi soleh dan solehah yang bakal meneruskan perjuangan keislaman.

Manakala Ustaz Shafie Ngah selaku YDP Pas Serdang mengharapkan pasangan bersyukur setelah ditentukan Allah dengan pasangan masing-masing. Sudah tentulah antara kedua pihak ada kelemahan-kelemahan dan keklurangan-kekurangan sebab itu masing-masing hendaklah berusaha melengkapkan kekurangan dan menyempurnakan mana yang tidak sempurna. Semuanya berlandaskan Islam dan mengharapkan mereka semua walaupun sudah terikat dengan tanggungjawab, tetapi tidak mengabaikan perjuangan menurut kesesuaian dan kelawasan.

Manakala Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa, Pembinaan umat yang baik yang menyeru kepada kebaikan adalah dari generasi keturunan yang baik. Sebab itu kita berusaha melalui jamaah memupuk keturunan berasaskan modal insan yang baik melalui pendidikan keislaman. Selain dari pendekatan melalui landasan parti, maka pemerintah memberi perhatian kepada pemupukan generasi melalui berbagai tahap. Hari ini dapat disifatkan tahap permulaan – pra kelahiran generasi. Pada peringkat negeri disediakan Tawas, pendidikan sekolah agama, bantuan anak Sekolah, insentif pelajar cemerlang, bantuan anak miskin/yatim, bantuan masuk universiti dan pinjaman pengajian tanpa faedah, bantuan menjalankan perniagaan dan perusahaan sehinggalah kepada warga emas dan kematian. Ini dapatlah disifatkan sebagai pelengkap bagi pembinaan umat dari segi rohani, mental dan jasmani dalam membina umat yang baik yang menyeru kepada kebaikan dan berusaha membina Negara tayyibah wa rabbun ghafur dan al-Baladil Amin.

Adun mengucapkan selamat berbahagia kepada semua pengantin diraikan. Adun juga mengucapkan tahniah kepada AJK Kebajikan yang diketuai Tuan Haji Rushdi yang bertungkus lumus menjayakan majlis sejak berbulan-bulan yang lepas. Terima kasih.

Sekian.

No comments:

Post a Comment