April 13, 2012

Rasmikan Hari Terbuka Masjid Al-Muhtadin Damansara Damai 2012

Damansara Damai, 16 Jamadil Awal 1433 = 08 April 2012 (Ahad):

Masjid Al-Muhtadin, Damansara Damai relatifnya baru, dibina pada tahun 2000 dan mula digunakan pada tahun 2004. Inilah satu-satunya masjid bagi kawasan penduduk yang mempunyai 11 surau dengan kependudukan seramai 60,000 orang. Masjid ini diimarah dengan berbagai-bagai kegiatan. Adun Bangi selaku Pembantu Exco Agama Islam telah beberapa kali dijemput ke sini untuk beberapa fungsi.

Pada hari ini buat pertama kali Jawatankuasa Pentadbir Masjid ini secara kreatif-inovatif mengadakan `Hari Terbuka Masjid Al-Muhtadin` seharian mulai dari jam 6.00 pagi hingga jam 11.00 malam. Antara program yang diatur ialah Kuliah Subuh, Perasmian, Talk Show, Kempen Basmi Denggi, Ceramah Kesihatan dan Demo CPR, Acara Muslimat (Menu Sihat Amalan Rasulullah), Acara Pemudi (Explorace), Acara Kanak-Kanak (Pertandingan Dikir Barat, Bercerita & Berpidato, Rentak Hijau oleh SMKDD, Acara Pemuda (Santai Bersama Selebriti) dan Forum pada malamnya dengan judul: Masa Depan Negeri Di Tangan Belia. Pihak AJK juga melancarkan Waqaf Masjid.

Selain dari program-program di atas diadakan juga Gerai dan Pameran yang dilibati oleh Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Keselamatan Jalanraya, Halal Hub JAKIM, Kementerian Kesihatan (Denggi), Pameran Produa Damansara Damai, Jualan Makanan dan Minuman, Jualan Buku-Buku dan Cenderahati, Permainan Memanah (Terbuka kepada pengunjung), Kaunter Rawatan Islam, Global Peace Malaysia for Syria, Radio Amatur (MARES) dan Pemeriksaan Kesihatan dan Mata Percuma.

Program Perasmian yang dilakukan oleh Adun sebagai Pembantu Exco Agama Islam sepatutnya berlaku pada jam 9.00 pagi, tetapi oleh kerana Adun mempunyai beberapa program di Bangi, maka Adun minta majlis dijalankan dahulu dan Adun dapat hadir jam 11.30 pagi. Jadi Majlis Perasmian diadakan pada pertengahan program bertempat di dalam masjid. Hadir bersama di dalam Majlis Perasmian ini ialah Ustaz Abdul Nasir bin Hassan Nazir Masjid Al-Muhtadin yang juga selaku Penasihat Program Hari Terbuka, En. Khairul Hartimi bin Mohd. Tajudin Pengarah Projek, Puan Hajah Norzayah binti Abdullah Timbalan Pengarah, En.Mohd Ridzuan bin Abdul Latiff selaku Setiausaha, Puan Rahibah bt. Che Omar Timbalan Setiausaha dan En. Ahmad Hurairi bin Mohd Razi selaku Bendahari..

Menyampaikan ucapan alu-aluannya dalam Majlis Perasmian Ustaz Abdul Nasir selaku Nazir menyatakan bahawa kita merubahkan persepsi masyarakat bahawa Masjid sebagaimana difahami adalah semata-mata tempat ibadat, khususnya bagi solat. Hari Terbuka hari ini adalah merupakan pendekatan bagi merubah persepsi masyarakat. Kita tampilkan kegiatan masjid melibatkan pendidikan, kemasyarakatan, kesihatan, ekonomi keselamatan dan sukan, di samping sudah tentu bagi mengeratkan silaturrahim di kalangan masyarakat. Beliau bersyukur program yang diadakan berjalan lancar. Menurutnya kejayaan tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama dari semua pihak. Lantaran itu beliau berterima kasih kepada semua pihak. Seterusnya beliau berharap kerjasama seterusnya akan diberi bagi memakmurkan masjid. Jadikan Masjid Al-Muhtadin pusat bagi kegiatan masyarakat, pusat pengajian bagi ahli kariah, bahkan pusat mendidik anak-anak generasi yang bakal menggantikan kita kelak.

Dalam ucapan Perasmiannya Adun menyatakan, ``Al-Hamdulillah saya bergembira kerana dapat bersama Hari Terbuka pada hari ini. Saya dapati berdasarkan kehadiran saya beberapa kali hingga pada hari ini, AJK Masjid ini begitu aktif mengadakan berbagai kegiatan di masjid dan mentranformkan masjid dari tanggapan masjid sebagai tempat ibadat khusus kepada masjid sebagai institusi cemerlang yang dapat mendidik masyarakat setempat kepada semua generasi dari segi ibadat, pendidikan dan kemasyarakatan. `` Tambah Adun, ``Saya melihat masyarakat di sini terdiri dari generasi yang masih muda, kerana tempat di sini baru dihuni, sebab itu kelihatan begitu ramai sekali anak-anak di sini yang sedang membesar, Al-Hamdulillah pemimpin-pemimpin di sini mengambil pendekatan pro-aktif dan bermula dari awal menjadikan masjid pusat kecemerlangan bagi anak-anak dan keluarga. Saya berharap kita dari awal dapat mendidik anak-anak kita dengan nilai-nilai Islam supaya mereka menjadi masyarakat berguna sebagai generasi yang akan menggantikan kita.`` Tambah Adun, ``Kerajaan Pakatan yang memerintah sekarang amat memberi tumpuan kepada bidang agama dan setiap tahun peruntukan bagi perkembangan Islam antara yang tertinggi. Al-Hamdulillah sebagai kesan perkembangan dan kegiatan Islam begitu bersemarak di Selangor, masjid-masjid dan surau-surau begitu diimarah, Sekolah-sekolah agama menjadi rebutan ibu bapa mengahntar anak-anak belajar. Pihak NGO-NGO, swasta dan orang ramai bersemangat dan bergerak memajukan Islam di tengah masyarakat bagi membentuk sebaik umat (Khaira Ummah) di dalam negeri yang kita hasratkan sebagai Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

Selepas Perasmian Adun melawat gerai dan pameran yang diadakan di pekarangan masjid, bertanya khabar dan beramah mesra dengan mereka. Sebelum daripada itu Adun juga menyampaikan Anugerah Kecemerlangan kepada pelajar-pelajar lulus cemerlang di dalam peperiksaan SPM yang diumumkan baru-baru ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment