Dalam rangka mempromosi dan menghebahkan kewujudan dan kehadiran Poliklinik Pakar An-Nur di sini, maka pihak Poliklinik mengadakan Hari Terbuka pada hari ini.Adun Bangi diberi penghormatan merasmikan Hari Terbuka Poliklinik An-Nur ini.
Tuan Haji Shaharom adalah Tenaga Tadbir Utama Hospital dan Poliklinik An-Nur. Di bawah kepimpinannya rangkaian Hospital & Poliklinik An-Nur berkembang sehingga kepada enam cawangan. Beliau mengambil pendekatan Mesra Rakyat antaranya sebagaimana contoh yang dilakukan pada hari ini. Menurut Tuan Haji Shaharom menyatakan dalam ucapannya, ``Dalam perancangan bagi jangka panjang, Hospital An-Nur akan mempunyai bangunan utamanya tersendiri yang tapaknya bersebelahan kompleks yang sedang dibina berhampiran Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi Seksyen 15 yang merupakan Gateway yang begitu strategik berdekatan dengan jalan masuk Tol Bangi. Hospital An-Nur di sini merupakan bangunan 8 tingkat yang dapat memuatkan lebih dari 200 katil. Di hospital ini menurut Tuan Haji Shaharom akan mempunyai 45 orang pakar. Ianya juga merupakan Hospital Latihan.
Dalam kehidupan canggih dan moden dan penduduk Bangi yang boleh dikategorikan sebagai golongan menengah atas dan sederhana memerlukan perkhidmatan perubatan yang standard yang mungkin tidak dapat diisi keperluan berkenaan oleh hospital biasa, tetapi oleh pihak swasta sebagaimana akan ditawarkan oleh Hospital Pakar An-Nur. Dengan pertambahan penduduk di Bangi melebihi 120,000 sememangnya Hospital Pakar diperlukan. Suasana sekarang mencerminkan keperluan berkenaan, walaupun sudah ada beberapa hospital dan poliklinik, masih tidak cukup hospital dan klinik bagi penduduk BBB, peranan inilah menurut Adun dapat dipenuhi oleh Hospital dan rangkaian Poliklinik An-Nur.
Walau bagaimana Adun mengingatkan, janganlah jadi hospital atau poliklinik sebagai sumber bagi menghimpun pendapatan kewangan semata-mata, tetapi hendaklah juga mempunyai niat untuk berkhidmat dan membuat kebajikan. Ini seharusnya dapat dilihat oleh masyarakat, sebagaimana Hari Terbuka hari ini. Banyak khidmat-khidmat masyarakat yang dapat dilakukan. Khidmat dan kebajikan terhadap masyarakat, pada hakikatnya bukan menyebabkan kerugian, sebaliknya berperanan sebagai publisiti dan promosi yang dapat menarik masyarakat. Jadikan hospital dan poliklinik sebagai saluran pendapatan dan juga saluran kebajikan. Adun doakan semoga Hospital dan rangkaian Poliklinik An-Nur akan terus maju jaya dengan mendapat sokongan dan kepercayaan masyarakat.
Hari Terbuka pada hari ini dipenuhi dengan pemeriksaan kesihatan percuma – kanak-kanak, ibu mengandung, pemeriksaan payu dara dan pemeriksaan orang dewasa, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, Aksi Belon Man, ceramah oleh Dr. Amaluddin Ahmad Pakar Perunding Kanak-kanak berjudul Imunisasi Kanak-Kanak, Penjagaan Ibu Mengandung oleh Dr. Nor Aliza Abd. Ghaffar, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment