April 12, 2012

Pertabalan S.P.B. Yang Dipertuan Agong, Mewariskan Tradisi Giliran Raja Berperlembagaan

(Sempena Pertabalan S.P.B.Y.D.A. Ke XIV Al-Mu`tasim Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu`adzam Shah Ibn Al-Marhum Sultan Badli Shah (Kali Ke 2) & Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Hamimah).



Saat sejarah merakamkan diri
Kutatapi keunikan kuhayati keluhuran
Sebuah pertabalan Yang Dipertuan Agong
Hasil dari budaya politik-pemerintahann
Selepas Negara mencapai kemerdekaan
Mewariskan Raja Berperlembagaan
Tumpah setia rakyat menyatukan.

Puncak upacara Pertabalan
Perarakan Baginda ke Takhta Perlantikan
Diiringi Perdana Menteri
Di saksi jemputan pilihan
(Juga rakyat menonton di luaran)
Sambil berbunyi nobat nafiri
Instrumen perlantikan kebesaran tradisi.

Setelah Baginda bersemayam
Puncak upacara mengucup Al-Qur`an
Lambang keluhuran perlembagaan
Panduan dalam pemerintahan
Dan keris panjang dihunus tegak
Lambang terpusatnya kekuasaan
Yang harus diterima dan diguna
Mereka yang diberi mandat
Secara bijaksana dan tanggungjawab
Majlis disempurna Ikrar Perdana Menteri
Titah Amanat Tuanku panduan bagi diikuti.

Sebuah kerajaan dan Perdana Menteri
Menerima mandat dari rakyat
Seharusnya persembah kesetiaan
Mohon restu melaksanakan pemerintahan
Secara telus, adil dan berwawasan
Memacu kemajuan dan pembangunan
Demi kesejahteraan rakyat berkebajikan.


Titah Baginda Titah Perlembagaan
Harus dijana melalui Parlimen
Hanya mereka yang menerima mandat
Berhak menyata dan membantah pendapat
Melulus akta merangka perundangan
Diperturun kuatkuasa dan amalan.

Daulat Dirgahayu Tuanku
Selamat ditabalkan
Di atas Takhta Kekuasaan
Tegak berdiri sekalian
Menyanyikan lagu Negaraku
Dengan tembakan beriringan.

Daulat Dirgahayu Tuanku
Doa dari rakyat sekalian
Selamat menjalankan pemerintahan.


Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
19 Jamadil Awal 1433
11 April 2012.

No comments:

Post a Comment