April 9, 2012

Kecoh Pemilihan Nazir & AJK Masjid As-Salihin, Teras Jernang

Teras Jernang, BBB, 16 Jamadil Awal 1433 = 08 April 2012 (Ahad):

Pagi ini seawal jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi Adun seharusnya keluar bagi melaksanakan 4 program bermula di Teras Jernang, ke Pekan Bangi, ke PKNS Bangi dan ke Damansara Damai, Kuala Lumpur.

Jam 8.00 pagi Adun bersama saudara Azizi ke Masjid As-Salihin, Teras Jernang bagi menyaksikan proses pemilihan AJK Masjid As-Salihin, Teras Jernang. Sepaptutnya pemilihan di Masjid di sini dijalankan secara serentak sebagaimana di masjid-masjid yang lain dijalan pada Selasa 27 Mac 2012 yang lepas. Tetapi pihak Masjid mohon ditangguhkan kepada hari ini atas sebab-sebab teknikal.

Agak terkejut ketika Adun sampai, melihat ada pihak Polis dengan kereta perondanya mengawal keadaan di dalam kawasan Masjid. Adun disambut beberapa orang apabila turun dari kereta bersalam dengan mereka dan bergerak menuju ke tangga masjid. Pada masa itu penduduk kariah sedang berbaris untuk mengundi. Kaedah pemilihan di sini nampaknya berbeza dari Masjid Al-Hasanah yang menjalankan pengundian secara angkat tangan, tetapi di sini nampaknya secara membuang undi.

Suasana agak tegang, Adun diberitahu oleh yang menyambut Adun di ruang anjung Masjid, bahawa sebelum ini berlaku kekecohan sehingga menyebabkan seorang pemimpin Masjid ditumbuk/dihentak di muka menyebabkan mukanya bengkak. Adun agak terkejut dengan peristiwa yang sepatutnya tidak berlaku di dalam sebuah Masjid – Rumah Allah.


Selepas bersalam dan menemui mereka yang berada di anjung Masjid Adun bergerak memerhatikan perjalanan mengundi tanpa melakukan sebarang gangguan. Walaupun keadaan tegang tapi berjalan lancar. Selepas itu Adun menerima aduan dari Ustaz Dr. Rashid Dail menyatakan rasa tidak puas hati, bahawa selepas pemilihan kelak jawatankuasa yang sedia akan terus berfungsi. Adun menjawab, ``Itu adalah peraturan yang dibuat oleh JAIS, ianya bukan saja perlu diikut di sini, tetapi oleh masjid-masjid yang lain. Tempoh bagi jawatankuasa sekarang hingga bulan Jun, maka jawatankuasa yang baru sama ada yang dipilih dari yang lama atau yang baru atau campuran atau yang lain baru diserahkan tugas. Sepatutnya perkara ini tidak menimbulkan masalah, jika perjalanan pemilihan dilaksanakan secara ukhuwwah.`` Walau bagaimana beliau menyatakan tidak puashati dan menyatakan, ``Tidak akan mengundi !``.

Adun diberitahu pada masa itu mensyuarat sedang berlangsung di dalam bilik mesyuarat masjid, Adun dijemput masuk ke bilik mesyuarat. Pada permulaan Adun tidak mau masuk, takut mengganggu mesyuarat, tapi kemudian Adun diiringi masuk.

dapati mesyuarat sedang berjalan dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Tadbir Agama Islam Hulu Langat (Tuan Kadhi) Tuan Haji Mughni Asrari. Setelah masuk dan bersalam dengan beberapa orang berdekatan, Adun duduk mengikuti mesyuarat, di sebelah kanan Tuan Kadhi Ustaz Bashir bin Alias Nazir Masjid Sekarang dan beberapa yang lain dan di sebelah kiri ialah Tuan Haji Yunus bekas Nazir dahulu dan beberapa yang lain yang jumlah semua lebih kurang sepuluh orang.

Topik yang diperbincangkan ialah, soal persempadanan ahli kariah, iaitu topik lama yang juga jadi persoalan pemilihan dahulu, tetapi diterima penduduk di Kg. Rahmat yang terletak di sebelah Highway PLUS – Utara-Selatan yang anak kariah di sini memang berjamaah dan bersolat Jumaat di Masjid As-Salihin, kerana inilah masjid terdekat bagi mereka dan mempunyai jalan terdekat bagi mereka.

Tuan Kadhi menghujahkan bahawa andainya ada masjid di Taman Sentosa – tiga km. dari Kg. Rahmat, Teras Jernang, maka penduduk Teras Jernang bermasjid ke sana yang terletak di bawah Sepang. Namun dari segi lojik jika masjid di Teras Jernang sekadar 1 km dan masjid di Taman Sentosa (belum wujud masjid) sejauh 3 km. masjid manakah lebi wajar bagi penduduk pergi ? Mengapa soal sempadan dibesar-besarkan ? Tidakkah semuanya dalam negeri Selangor ? Adakah tidak sah bagi mereka beribadat, kerana sempadan daerah ? Seharusnya pentadbir dan penduduk berlapang dada dan bersyukur, makin ramai yang datang untuk berjamaah di Masjid As-Salihin, seharusnya semakin bersyukur kerana sama-sama dapat mengimarahkan Masjid. Elakkan masjid dari menjadi `Masjid Dirar` oleh kerana perbuatan kita yang tidak menurut kehendak Islam.

Selain dari isu sempadan isu yang dibangkitkan juga semasa Adun masih ada di situ ialah Penyata Kewangan. Isu ini dapat dibentangkan dalam mesyuarat yang akan diadakan – tempoh masa masih banyak.

Apa yang dapat Adun rumuskan dalam kehadiran singkat Adun, bahawa Kg. Rahmat, Teras Jernang bermasjid di Masjid As-Salihin, kerana inilah masjid yang ada dan terdekat dengan mereka, maka sewajarnya mereka adalah sebagai ahli jamaah dan kariah Teras Jernang. Kedudukan ahli kariah Kg. Rahmat tepi sempadan Daerah Sepang, tidak boleh dijadikan hujah kukuh menolak mereka bermasjidkan Masjid As-Salihin, sebab itu mereka dikira ahli jamaah Masjid As-Salihin, bahkan ahli Kariah Teras Jernang, sebab itu mereka berhak memilih dan dipilih AJK Masjid As-Salihin Teras Jernang. Inilah amalan yang dilakukan selama ini, termasuklah pemilihan yang lepas.

Oleh kerana Adun mempunyai program di Pekan Bangi, Adun memohon izin dengan bersalam dengan Tuan Kadhi dan beberapa yang lain dan keluar sebelum berakhirnya mesyuarat.

Lebih kurang jam 11.00 dalam perjalanan ke Damansara Damai, Adun Bangi menghubungi individu di Masjid As-Salihin dan dimaklumkan bahawa pemilihan pada hari ini dibatalkan dan akan diadakan pemilihan pada minggu berikut (20 April). Bila kami pulang dari Damansara Damai lebih kurang jam 2.30 petang saudara Azizi memberitahun Adun, seorang menghubunginya, report polis dibuat berhubung dengan peristiwa `tumbuk/hentak` terhadap seorang ahli di Masjid As-Salihin. Adun dukacita di atas peristiwa yang berlaku dan berharap dapat dipulihkan suasana berasaskan lunas Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment