Sudah menjadi trend setiap Menteri Pelajaran mahu meninggalkan legasi semasa menjadi Menteri Pelajaran. Misalnya Zaman Dato' Razak dengan Laporan Razaknya, Abdul Rahman Talib dengan Laporan Rahman Talib, begitulah pada masa Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir dengan laporan masing-masing. Kini masa Muhyiddin Yassin menjadi menjadi Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri timbul rancangan mau merombak sistem Pelajaran secara besar-besaran. Apakah rancangan merombak sistem Pelajaran Di Malaysia ini benar-benar timbul dari keinsafan kerana adanya kelemahan sistem Pelajaran selama ini yang perlu dirombak secara menyeluruh atau semata-mata mengikut trend bagi melahirkan Penyata Muhyiddin sebagai legacy seorang lagi Menteri Pelajaran Malaysia?
Sedar atau tidak Muhyiddin Yassin telah membina imejnya sebagai Menteri Pelajaran yang tidak tegas dan tidak berpendirian. Contohnya pendiriannya yang tidak tegas mengenai PPSMI dan isu ini masih tidak berselesaian, pada hal jika diumumkan penarikan PPSMI dulu secara total tidak menimbulkan masalah, tetapi ternyata isu ini masih berlarutan dan boleh mencetus kembali desakan supaya dihidupkan kembali PPSMI.
Ingatkah tentang timbulnya cadangan pada masa Muhyiddin menjadi Menteri Pelajaran agar dihapuskan peperiksaan pada peringkat UPSR dan PMR. Namun atas desakan dan pandangan berbagai pihak yang majoritinya menuntut agar dikekalkan UPSR sebagai bukti penamatan peringkat Sekolah rendah, tetapi ramai bersetuju dihapuskan peperiksaan PMR dan penilaiann pada peringkat menengah rendah dipulangkan kepada Sekolah dengan pemantauan dari pihak kementerian, tetapi apa yang ditimbulkan adalah hangat-hangat tahi ayam. Hingga kini cadangan di atas sebagai tidak berperancangan dan senyap tidak dilaksanakan. Sebaliknya semuanya kekal seperti sediakala. Mengapa ditimbul persoalan kalau tidak maukan perubahan dan pembaikan. Ini menandakan Muhyiddin tidak berpendirian dan tidak mempunyai perancangan yang konkrit.
Kini bertiup kencang pula mau dirubah secara menyeluruh terhadap sistem pembelajaran dan kurikulum pelajaran. Contoh berfokus kepada Tingkatan enam (STPM) juga mau dirubah, dari penilaian dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia kepada lebih bergantung pada penilaian Sekolah di samping penilaian yang lain. Berdasarkan hasrat menghapuskan peperiksaan PMR, walaupun belum dilaksana dan mengubah kaedah peperiksaan pada peringkat STPM dan mungkin juga kurikulum, ternampak kecenderungan ke arah memudahkan pengajian, tetapi bukan meningkatkan mutu kurikulum bagi mata pelajaran dan kaedah pembelajaran serta peperiksaan. Kita bimbang ura-ura mau merubahkan sistem pendidikan dan pembelajaran, bukan sebenarnya bersifat peningkatan, tetapi makin menurun dan merendahkan mutu pendidikan dan pembelajaran.
Bukan atas dasar nostalgic bahawa pembelajaran di universiti ketika hanya ada beberapa buah universiti sahaja di Negara ini pada tahun 1980an – 1990an adalah jauh lebih bermutu berbanding dengan keluaran-keluaran kini. Ketinggian mutu ini memberi erti ketinggian pembelajaran, kualiti tenaga akademik dan juga pelajar. Ketinggian mutu pengajian juga dilihat pada peringkat HSC yang kemudian ditukar kepada STPM. Pembelajaran pada peringkat STPM dianggap sukar dan mencabar yang dengan kelulusannya melayakkan lulusannya diterima masuk ke universiti. Pengalaman penulis yang pernah terlibat, bukan sahaja memeriksa kertas STPM, tetapi sama menyusun kurikulum, menyediakan buku bahkan mengetuai Kertas Sastera akhir 1990an benar-benar mendapati bahawa kurikulum yang disusun begitu tinggi mutu dan kaedah pembelajaran dan peperiksaan begitu standard. Kelulusan pada peringkat STPM tidak mudah, tetapi bermutu dan mendekati taraf universiti. Tahap sedemikian juga berlaku kepada semua mata pelajaran di dalam STPM. Selayaknya kelulusan pada peringkat STPM ini bukan semata-mata untuk kelayakan memasuki universiti, tetapi diktiraf setaraf diploma dan diberi nilai ekonomi.
Apa yang mau ditekankan di sini, sebarang perubahan terhadap dasar dan sistem pelajaran sama ada bersifat menyeluruh – major demikian juga minor semestinya tidak ada kompromi dari segi mutu, bahkan mempertahankan mutu bukan saja pada tahap at par, tetapi seharusnya lebih tinggi dari segi mutu. Adapun dari segi pendekatan dan penyampaian terpulang kepada kaedah dan pendekatan terkini. Memandangkan kepada perkembangan dan trend terkini lebih kepada mempermudah dan merendahkan mutu pelajaran dan pembelajaran akan merendahkan juga mutu keluaran pengajian tinggi kini yang ramai mengeluarkan pelajar, tetapi tidak mudah mendapat tawaran kerja di pasaran.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian, jika perubahan dasar dan sistem pendidikan, mau dilakukan bahawa pendidikan hendaklah bertujuan memenuhi keperluan manusia dan alam sekitar. Bahawa tumpuan kepada pembelajaran sains dalam makna yang terhad adalah merugikan, walaupun dilihat memenuhi keperluan bagi satu polisi penilaian yang dianggap `maju` secara terhad. Di dalam konteks ini kita dapat melihat apa yang dianggap maju dengan kotak-kotak bangunan, kotak-kotak jentera yang bergerak dijalanraya, di laut dan udara dengan manusianya yang bekerja dan merasa dipaksa di dalam kehidupan dan melihat kelilingan sebagai ancaman. Ini merupakan orientasi kehidupan yang kering dari kemanusiaan dan kerohanian.
Dalam kata lain dalam perombakan dasar dan sistem pendidikan jangan hanya menekankan pada sains semata-mata, tetapi hendaklah diberi perhatian secara seimbang terhadap aspek kemanusiaan dan kerohanian. Alangkah rugi dan miskin bagi seorang yang tertutup hati dan rohani yang seharusnya selari dengan perkembangan minda. Bayangkan betapa gersangnya hidup seorang yang tidak mengenal, merasai dan menghayati kasih sayang, seorang yang buta mata hati dan tidak dapat menikmati keindahan alam, menghargai kehijauan dan mengapresiasi keluhuran. Lebih malang seorang yang tertutup matarohaninya dan tidak dapat menikmati keagungan ciptaan Tuhan dan kebesaran Ilahi itu sendiri. Elemen-elemen inilah yang menghalus jiwa rohani mencirikan ketinggian budi yang dapat membina peradaban dan tamadun unggul.
Dari mereka yang berpendidikan dan berjiwa sedemikian mampu berkreativiti dengan kehalusan jiwa menghasilkan sama ada dalam bahasa, bentuk cipta, bangunan, monument dan kota yang membina peradaban dan tamadun bangsa dan Negara. Sebuah hasil cipta seni unggul seperti karangan Sejarah Melayu, bangunan Masjid Salahuddin Shah Alam, twin towers yang mempesona, puisi yang nurani, khat yang sini dan berbagai lagi tidak dapat dinilai dengan matawang. Kesemuanya adalah hasil dari Keilmuan-Keinsanan-kerohanian anak-anak zaman yang melahirkannya.
Sejak polisi kerajaan menekan dan mementingkan sains sejak 1980an nyata berlaku kepupusan didikan dari segi kemanusiaan. Misalnya bidang sastera dan kemanusiaan dipandang rendah. Pemilihan di dalam bidang-bidang berkenaan ke pengajian tinggi dikurangkan. Pengajian-pengajian berkenaan di pengajian-pengajian tinggi dikecilkan. Akibatnya kerancakan bidang berkenaan terencat. Kegiatan persatuan penulis makin pupus, hadiah-hadiah di dalam bidang sastera ditiadakan, buku-buku di dalam bidang sastera berkurang dan penulis-penulis juga pupus dan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menggalakkan perkembangan bahasa dan sastera juga makin kehilangan fungsi dan tidak dihormati. Barangkali jika kekosongan tidak diambil oleh bidang kerohanian melalui pendidikan agama di sekolah-sekolah serta masjid-surau masyarakat langsung tercebur di dalam kegersangan hidup, hilang arah dan tujuan dan akhirnya mengeciwakan. Dalam hal ini kita lihat betapa sebahagian anak-anak muda yang tidak mendapat didikan agama dan tiada sentuhan kemanusiaan hanyut, tiada pedoman dan mendatangkan masalah sosial kepada masyarakat. Mereka adalah mangsa keadaan akibat dari kesilapan generasi yang melahirkan.
Apa yang mau diingat dan ditekankan terutama kepada Menteri Pelajaran Malaysia akan perlunya kurikulum seimbang yang memberi perhatian kepada semua aspek yang memberi sumbangan kepada pembinaan insan yang melibatkan jasmani, minda, hati dan rohani. Pembinaan ini seharusnya bersifat integrated di dalam membina manusia seimbang, sebagaimana pelajar dan masyarakat juga bersifat seimbang dan integrated. Pada peringkat lanjutan bolehlah mereka menjurus kepada bidang diminati sebagai pengkhususan dan melahirkan dapatan-dapatan. Bahawa dengan pendidikan seimbang dan integrated akan lahir di dalam masyarakat Pakar sains yang meneroka, pakar ekonomi memakmurkan Negara, para pentadbir yang wibawa, para ahli siasah yang berhemah, para filosof dan pemikir jauh pandangan, para agamawan yang membahagiakan (dunia akhirat), pencinta seni yang meneroka keindahan, pembela kemanusiaan dan keadilan yang kesemuanya bergotong royong membina masyarakat yang harmoni di dalam Negara yang maju dan dalam keredhaan Tuhan.
Sekian.
betul lah tu apa yg penulis nyatakan di sini.subjek sains terlalu ditekankan sampai sesetengah pelajar yg ambil akaun merasa terlampau rendah diri
ReplyDelete