April 1, 2012

Merasmikan Pusat Sumber Sekolah Kafa Integrasi Al-Hidayah Dari Peruntukan Negeri

Kajang Utama, 08 Jamadil Awal 1433 = 31 Mac 2012 (Sabtu):

Kerajaan Negeri Selangor melalui Peruntukan Bantuan Sekolah Agama berjumlah RM6 juta telah meluluskan pada 11.11. 2011 sebanyak RM25,000 kepada Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi Al-Hidayah, Kajang Utama. Cek tersebut disampaikan kepada pihak Sekolah melalui Adun Bangi. Permohonan peruntukan di atas antaranya bertujuan untuk membina Pusat sumber (Perpustakaan) bagi pelajar-pelajar.

Hari ini pihak Sekolah mengadakan Hari Usahawan Sekolah disamping merasmikan Pusat Sumber Sekolah. Untuk tujuan perasmian Pusat Sumber pada asalnya Y.B.Dr. Halimah Mohd Ali Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan dijemput untuk perasmian, walau bagaimana beliau tidak dapat hadir, maka Adun Bangi dijemput menggantikan beliau bagi perasmian tersebut. Hadir bersama ke Majlis ialah Ustazah Tumijah Guru Besar, En. Adnan AJK, En. Azhar mewakili En. Ibrahim Martibi Pengerusi PIBG (Lembaga Tadbir), En. Kamaruddin Muhammad AJK, ibu bapa dan pelajar-pelajar.

Sebelum Perasmian Pusat Sumber dan Melawat Gerai-Gerai Usahawan, Majlis Ucapan dan Penyerahan Cek yang dipohon dari Adun untuk membeli kerusi dan meja bagi guru dan pelajar diadakan. Ustazah Tumijah Guru Besar dalam ucapannya berterima kasih di atas kehadiran Adun. Beliau memaklumkan Sekolah menghadapi masalah dari segi ruang dengan pertambahan murid melebihi jumlah 800 orang dengan guru seramai 28 orang. Sekolah Kafa Integrasi Al-Hidayah yang mula dibuka pada tahun 2000 ini beroperasi di Kajang Utama dengan menyewa kedai-kedai di sini. Dulu sebelum kawasan di sini maju, kedai-kedai di sini sebagai terbengkalai. Kita sewa dengan sewaan yang agak murah, tetapi kini sewanya semakin meningkat. Sekolah terpaksa membelanjakan bagi perjalanan Sekolah sejumlah RM25,000 sebulan. Yuran dari pelajar tidak dapat menampung kos bulanan sebab itu berbagai cara terpaksa dilakukan bagi menampung kewangan. Beliau berharap Sekolah mendapat tapak sendiri. Menurut Ustazah ada pihak yang hendak menderma, tetapi tiada tanah yang mau dijual.

Encik Azhar yang berucap mewakili Pengerusi PIBG, memaklumkan Majlis yang ada pagi ini dinamakan `Hari Usahawan Sekolah Dan Perasmian Pusat Sumber`. Hari usahawan terbuka kepada mereka yang berminat membuka gerai jualan dengan bayaran minimum dan ibu bapa yang datang digalak membeli. Hasil dari keuntungan adalah dimasukkan ke dalam Tabung Sekolah. Hari ini diadakan sukan, menunggang kuda, peraduan mewarna dan pertandingan pakaian beragam. Beliau berterima kasih kepada ibu bapa yang terus memberi sokongan terhadap sebarang kegiatan yang diadakan oleh Sekolah.

Dalam ucapannya Adun berterima kasih di atas jemputan yang dibuat. Kata Adun, ``Saya berterima kasih di atas jemputan dan sukacita Sekolah Kafa Integrasi Al-Hidayah terus aktif dan kreatif mengadakan berbagai kegiatan, termasuklah Hari Usahawan Sekolah pada hari ini.`` Tambah Adun, `` Pihak Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pendidikan di negeri Selangor, khususnya pendidikan agama. Sebab itulah kerajaan memperuntukan kepada Sekolah, termasuk Sekolah agama sebagaimana yang diterima Sekolah ini. Adun juga dari masa ke masa menyalurkan peruntukan sebagaimana pada hari dari Adun sebanyak RM2,500 bagi membeli meja dan kerusi.`` Berhubung dengan tapak Sekolah, antara tanah yang ada seperti dihadapan Sekolah ini, iaitu Tapak Kawasan Penjaja, namun pihak Sekolah bolehlah membuat permohonan dan desakan semoga pihak kerajaan bersetuju menukarkannya kepada tapak Sekolah agama.. Adun sukacita Sekolah Kafa Integrasi Al-Hidayah sebagai Sekolah terbesar dari segi jumlah pelajar di Dun Bangi, maju pula di dalam bidang akademik dan ko-kurikulum.


Selepas ucapan Adun menyampaikan cek peruntukan membeli kerusi dan meja. Kemudian Adun diiringi Guru Besar dan Wakil PIBG melawat Pusat Sumber tingkat dua bangunan. Pusat Sumber ialah satu ruang yang diisi dengan rak-rak buku yang dibeli antaranya dari peruntukan kerajaan negeri. Tempat mebaca tidak disediakan kerusi dan meja. Pelajar-pelajar membaca secara duduk dengan meja rendah yang disediakan. Dengan cara ini menurut Guru Besar menjimatkan ruang dan ramai pelajar boleh masuk membaca menurut giliran. Adun turut meninjau buku-buku di dalam Pusat Sumber dan cuba duduk membaca secara duduk dengan meja membaca rendah. Dengan jumlah buku yang baru dilengkapkan, Sekolah sebenarnya masih memerlukan buku-buku tambahan.

Selepas melawat Pusat Sumber Adun turun ke bawah dan melawat gerai-gerai jualan sambil bertanya khabar. Gerai-gerai dikendalikan bukan saja oleh peniaga-peniaga biasa, tetapi juga oleh Kelab Remaja Surau Al-Muhajirin Surau Utama di Kajang Utama. Ada kemeriahan antara ibu bapa, pelajar-pelajar dan guru-guru. Kerjasama sedemikian harap dapat diteruskan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment