Pagi ini Adun Bangi atas nama jemputan sebagai pendengar biasa – bukan dipanggil sebagai saksi sengaja hadir ke Dewan Annex – Anjung Dewan Negeri Selangor, semata-mata ingin mengetahui apakah yang akan dibicarakan di dalam Pendengaran Terbuka berhubung dengan banjir di Hulu Langat & Ampang yang berlaku pada 17 Mac 2012 yang lepas yang banyak berlaku kerosakan kepada harta benda penduduk.
Pendengaran Terbuka bermula dari jam 10.00 pagi itu dipengerusikan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor Y.B.Dato` Teng Chang Khim dengan AJK Y.B. Tuan Mohamed Azmin bin Ali, Y.B. Puan Haniza binti Mohamed Talha, Y.B. Tuan Haji Saari bin Sungib dan Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan, manakala yang di summon untuk memberi keterangan ialah Tuan Aris Kasim Pegawai Daerah Hulu Langat, Tuan Abdul Qahhar Bin Ismail Pengarah JPS Negeri, Dato` Mohd Yaakob YDP, MPAJ, Dato` Hassan Nawawi YDP MPKj, Y.B. Tuan Lee Kim Sin ADNS Kajang dan Y.B. Tuan Khasim bin Abdul Aziz ADNS Lembah Jaya.
Daripada pendengaran dapat dirumuskan sebagaimana berikut;
Baik di Hulu Langat, maupun di Hulu Ampang adalah kawasan tadahan air yang menerima kadar air hujan dalam keadaan normal antara 70 – 80 mm, tetapi hujan pada kali ini lebat melebihi 164 mm. Longkang hanya dapat menampung secara normal hujan lebat 70 mm. Banjir di Hulu Langat melibatkan 11 buah kampong antaranya Sungai Serai, Kg. Melayu, Perdik dan Nanding yang melibatkan seramai 1197 orang berpindah, manakala di Ampang melibatkan 21 buah kampong yang melibatkan 495 keluarga. Banjir kali ini terbesar selepas 1985.
Ada kecuaian dalam Mesyuarat Penyelarasan Daerah yang tidak memberi perhatian dan persediaan kepada menghadapi bencana Alam, termasuk banjir. Yang dibicarakan perkara yang kurang penting, bahkan ada yang remeh temeh.
Sejak 2005-2006 sebanyak 12 sungai utama di Ampang diselenggarakan melibatkan kos perbelanjaan RM5.1 juta. Sungai di Hulu Langat panjang keseluruhan 1,500 km. Pada 2007 dibelanjakan RM300 juta bagi memperbaiki sungai, menyebabkan kurang berlaku banjir.
Selepas itu semakin berkurang peruntukan bagi JPS
Rancangan Malaysia ke 9 Peruntukan Persekutuan RM67 juta, Negeri RM57 juta RMK ke 10 tahun 2011-2012 Persekutuan hanya RM1,9 juta, Negeri RM47 juta. Ini bererti perhatian terhadap perparitan turut terjejas dan kurang diberi perhatian. Akibatnya berlaku banjir, kerana perparitan tidak diselenggarakan dengan baik.
Di dalam SELCAT ini pihak yang dipanggil memberi pertolongan adalah dari kalangan birokrasi dan pentadbiran – termasuk Wakil Rakyat, adalah wajar diberi pengiktirafan dan dipanggil NGO-NGO, RELA, Hospital, Polis, penghulu, ketua kampung dan pemimpin politik tempatan yang sebenarnya lebih banyak memberi pertolongan baik dari segi tenaga dan kewangan kepada mangsa-mangsa banjir.
Mangsa-mangsa banjir terpilih juga wajar dipanggil memberi keterangan. Bagi mengatasi banjir perlu perancangan dan peruntukan bagi membersih dan membesarkan sungai, mempastikan tiada halangan bagi laluan air, terutama di bawah jambatan agar tidak tersekat oleh sampah dan sebarang halangan.
Kolam takungan perlu disediakan, terutama bagi kawasan perumahan yang luas dan berada di kawasan yang mudah banjir. Kolam takungan boleh bersifat dwi-fungsi, misalnya padang permainan ketika tidak berlaku banjir atau sebagai kawasan rekreasi seperti Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi.
Tepi sungai hendaklah dibersihkan misalnya dari perumahan setinggan yang menghalang dari pembersihan dan perluasan sungai.
Mengambil alih kawasan tanah pemilikan, sekiranya pengambilan dapat dibuat saliran yang dapat mengatasi banjir.
Hendaklah ditubuh task force bagi mengatasi dan bertindak semasa banjir dan juga bagi kecemasan-kecemasan yang lain.
Walau apapun Usaha SELCAT mengadakan pendengaran terbuka patut dipuji, sekurang-kurangnya dapat mendedahkan punca sebenar banjir, sejauh mana tindakan diambil semasa kecemasan berlaku dan apakah persediaan berterusan dibuat bagi sebarang kecemasan banjir bila berlaku.
Kita berpendapat apa yang dilakukan oleh SELCAT ini patut juga dilakukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (JPK-PBT) Bagi Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan berhubung dengan kekocohan mengenai sampah pada bulan Januari hingga Mac 2012 baru-baru ini. Dengan adanya pendengaran yang sedemikian, semua pihak dapat mengetahui apakah punca sebenarnya kekecohan mengenai sampah, siapakah dalang sebenarnya, apakah tindakan yang patut diambil dan bagaimanakah persediaan yang patut diambil agar kekecohan seperti itu tidak berulang berlaku.
Sekian.
No comments:
Post a Comment