April 11, 2012

Memahami Kemelut Pemilihan Kepimpinan Masjid As-Salihin Teras Jernang: Menuntut Kebijaksanaan Penyelesaian

BBB, 17 Jamadil Awal 1433 = 09 April 2012 (Isnin):

Cadangan bagi mengadakan semula Pemilihan Nazir & AJK Masjid As-Salihin pada 20 April 2012, setelah tertangguh dua kali dijangka tidak akan menemui penyelesaian, jika format pemilihan diteruskan sebagaimana yang lepas. Sebarang paksaan dengan apa cara, mungkin sebagai bendungan sementara, tapi tidak dapat memadamkan tidak puas hati yang konflik dalaman membara yang boleh meletus dan tidak membawa kepada penyelesaian.

Permasalahan yang dihadapi di dalam pemilihan Nazir & AJK Masjid As-Salihin Teras Jernang, ialah cerminan dari masyarakat di Teras Jernang itu sendiri. Teras Jernang adalah salah sebuah dari 6 buah kampong tradisi di bawah Dun Bangi. Penduduknya 100% Melayu-Islam. Dari segi komposisi penduduknya terdiri dari tiga kategori, iaitu Penduduk Asal ke dua penduduk yang bertapak selepas pembukaan UKM dan ketiga Generasi Muda yang relative dianggap baharu. Penduduk asal merasa lebih berhak di dalam pentadbiran di dalam kariah sama ada pimpinan masyarakat dan masjid. Mereka tidak senang dengan sebarang perkembangan yang mengancam dan meminggirkan mereka. Golongan kedua yang kukuh dari segi intelektual dan ekonomi, ialah dari kalangan tenaga pengajar dan mereka yang bekerja di universiti, khususnya di UKM. Golongan ini peka dengan perkembagan situasi dan ekonomi. Perpindahan UKM di Bangi menjadikan bagi mereka ruang dan peluang membeli hartanah, termasuklah sebahagian dari hartanah dibeli dan dimiliki mereka di Teras Jernang. Secara tidak langsung konflik timbul dari kedua golongan. Dapat dikatakan masih belum berlaku assimilasi antara kedua golongan. Masalah dan konflik berlaku sejak masjid lama. Namun diakui jasa mendirikan Masjid As-Salihin sebahagian besar adalah dari usaha penduduk asal yang mentadbir masjid lama. Namun sesudah siap Masjid As-Salihin sekarang konflik kepimpinan antara penduduk asal dengan golongan yang memiliki hartanah dan menetap di Teras Jernang terus berlaku dari segi kepimpinan, termasuk di Masjid.

Golongan ketiga adalah dari generasi baru yang dianggap inovatif dan radikal yang mau masjid diimarahkan sebagai pusat kecemerlangan dari segi ibadah, pendidikan dan kemasyarakatan. Mereka berjaya menerajui kepimpinan Masjid As-Salihin bagi sesi kini dan banyak melakukan perubahan dan menjadikan Masjid As-Salihin antara masjid yang giat dengan berbagai kegiatan kemasjidan. Dari segi perkiraan biasa, sokongan seharusnya diberi oleh semua pihak di atas kemajuan yang dibawa. Namun antara ketiga golongan tidak berlaku kesefahaman. Ini dipertajamkan lagi oleh kelainan faham politik antara ketiga-tiga golongan dan berlaku usaha pengaruh mempengaruhi dan kuasa menguasai. Alasan persempadanan bagi pemilihan misalnya adalah kesengajaan yang dicari bagi menjadi hujah dan sekatan yang kita kira tidak wajar. Inilah situasi yang dihadapi masyarakat di Teras Jernang yang situasi ini juga terbawa ke dalam pemilihan Nazir dan AJK Masjid As-Salihin. Pihak yang diberi mandate mengendalikan pemilihan sama ada dari JAIS atau PAID perlu memahami keadaan dan situasi ini. Pihak pengendali tidak seharusnya bersifat bias dan berpihak di dalam mengendalikan pemilihan.

Kita berpendapat dalam keadaan sekarang, pemilihan apa lagi secara paksaan tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat dan pemilihan Nazit dan AJK Masjid. Usaha yang paling ideal dapat dilakukan ialah mengasimilasikan masyarakat di Teras Jernang secara ukhuwwah Islamiyah dengan mencontohi Rasulullah menyatukan masyarakat di Madinah antara Muhajirin, Ansar dan yang bukan Islam. Alangkah ideal dan baiknya jika masyarakat di Teras Jernang menyatukan tenaga bagi memajukan Kampong Teras Jernang dan Masjid dalam mana penduduk setempat bersama dalam kepimpinan, bagi golongan intelektual memimpin dalam bidang keilmuan dan golongan muda bergiat di dalam berbagai bidang. Untuk mencapai ideal penyatuan tentu memerlukan masa dan tidak releven untuk masa kini bagi pemilihan Nazir dan AJK Masjid - tapi perlu diteruskan. Namun untuk mengatasi masalah dan situasi kini pihak berkuasa perlu melantik mereka yang dipercayai oleh semua pihak berunding dengan ketiga-tiga golongan diwakili secara seimbang bagi mencari kata sepakat yang mereka mewakili dalam pentadbiran dan perjalanan Masjid As-Salihin. Dalam hal ini kita cadangkan kes Masjid As-Salihin dijadikan kes khas yang jika diadakan pemilihan adalah pemilihan secara terbimbing.

Sekian.

No comments:

Post a Comment