April 10, 2012

Adun Bangi Buka 350 Buku Ahli Baru Tabung Haji & Menyampaikan Beg Sekolah

SRA, Pekan Bangi, 16 Jamadil Awal 1433 = 08 April 2012 (Sabtu):

Sempena Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Rendah Agama, Pekan Bangi Kali Ke 13 hari ini di SRA di sini pihak Tabung Haji Kajang dan Tabung Haji Bandar Baru Bangi yang diwakili Tuan Haji Mansur Ali dan Puan Hajjah Jannah bt. Jaafar menyerahkan 350 buku kepada Adun untuk diserahkan kepada Sekolah bagi diagihkan kepada pelajar-pelajar yang didaftarkan. Pihak Adun memperuntukkan sejumlah RM1,000 untuk dibuka Akaun Tabung Haji kepada pelajar-pelajar. RM700 digunakan untuk pelajar SRA Pekan Bangi. Selebih RM300 lagi (350xRM2 = RM700), pihak Tabung Haji memohon dari Adun memperuntukkan bagi pelajar-pelajar Sekolah Agama Integrasi Bandar Baru Bangi. Adun bersetuju.

Bagi menyempurnakan Mesyuarat Agung pada pagi ini ibu bapa hadir seawal 7.30 pagi memenuhi Dewan Mesyuarat. Adun tiba jam 8.45 pagi bagi merasmikan Mesyuarat berkenaan. Hadir ke Mesyuarat ialah Tuan Haji Mansur bin Ali dari Tabung Haji Kajang, Puan Hajjah Jannah bt. Jaafar dari Tabung Haji Bandar Baru Bangi, Tuan Haji Zakaria bin Haji Bujang, Ketua Kampong, Kampong Bangi, Encik Nor Azlan bin Nordin Ketua Kampong, Kampong Bahagia, Bangi, Encik Zol bin Noor Yang Dipertua PIBG SRA Bangi, Puan Hajjah Nor`ain bt. Hj. Yahya, Guru Besar SRA Bangi, Encik Iqbal dari Balai Polis Pekan Bangi, AJK PIBG, Guru-guru, Ibu bapa dan pelajar-pelajar.

Dalam ucapannya Pengerusi PIBG sdr. Zol bersyukur di atas prehatin ibu bapa yang datang ke mesyuarat agak ramai dan amat berpuashati di atas semangat dan kerjasama yang diberi di dalam banyak program yang dianjurkan oleh Sekolah. Beliau juga bersyukur dapat menjalankan tugas sebaik mungkin bersama AJK PIBG. Manakala Guru Besar Puan Hjh. Nor`ain berterima kasih kepada semua pihak yang menyumbangkan tenaga dan wang ringgit bagi kemajuan Sekolah. Beliau berharap Mesyuarat Agung pada kali ini yang mengadakan pemilihan akan terus mendapat tenaga khidmat terbaik dari PIBG berterusan. Menurut beliau Sekolah kini mempunyai 470 pelajar dengan 18 guru. Pada keseluruhannya pencapai pelajar dalam bidang pelajaran makin meningkat. Beliau berharap ibu bapa selain dari menggalakkan perkembangan akademik, seharusnya sama memberi perhatian kepada perkembangan syakhsiah dan akhlak pelajar.

Adun Bangi yang menyampaikan ucapan dan merasmikan Mesyuarat Agung menyatakan, bahawa beliau mengikuti perkembangan Sekolah ini berterusan. Beliau bergembira dengan pencapaian akdemik Sekolah dalam mana tiga tahun berturut-turut setiap tahun 6 orang pelajar mencapai peringkat Mumtaz pada peperiksaan akhir. Ini adalah pencapaian istimewa yang dicapai oleh pihak Sekolah. Setakat ini banyak bantuan yang Adun sampaikan ke Sekolah ini seperti membina papan tanda Sekolah, memperbaiki kantin, membina tempat menunggu Sekolah, memperbaiki toilet-toilet Sekolah yang rosak, menambak kawasan berlopak dan hari ini pembukaan Akaun Simpanan Tabung Haji Pelajar dan beg sekolah. Dengan pembukaan Akaun Tabung Haji ini Adun berharap kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar membiasakan diri dengan menabung, bila ada kelebihan wang, walaupun sedikit. Pihak Sekolah mungkin dapat mengambil inisiatif tolong memasukkan tambahan simpanan pelajar-pelajar. Berhubung dengan permohonan yang disebut oleh Guru Besar, iaitu membuat tempat letak kasut di surau, membaiki dawai dinding dan carpet surau, pihak Sekolah bolehlah mebuat surat permohonan untuk dipertimbangkan. Berhubung dengan hasrat Sekolah untuk membina tembok keliling kawasan Sekolah mungkin boleh kita ikhtiarkan cara lain dengan memohon pihak koporat dan dermawan yang berhasrat untuk membuat kebajikan.

Selepas Perasmian Mesyuarat Agung Adun menerima buku-buku Tabung Haji untuk disampaikan kepada pelajar-pelajar, menyampaikan 100 beg Sekolah untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar berkelayakan, Menyampaikan Sijil-Sijil Penghargaan dan mencabut no-no bertuah dan menyampaikan hadiah-hadiah.

Sekian.

No comments: