Hari ini dapat dikatakan `Hari Kebajikan` bagi Adun Bangi, kerana semua program yang melibatkan Adun Bangi pada hari ini adalah berkenaan Kebajikan. Seawal jam 9.00 pagi Adun sudah berada di Bukit Mahkota. Pendekatan Kebajikan di sini diketuai Pegreusi Persatuan Penduduk saudara Zulkifli Ambak dan saudara Aidil Ketua Cawangan agak unik dan berlainan dari tempat lain. Pada masa ketibaan Adun kaum muslimin dan muslimat bergotong-royong memasak bubur lambuk yang akan diagihkan pada petang nanti kepada penduduk setempat. Gotong royong bertempat di Pasti Ar-Raihan, Bukit Mahkota. Bantuan Kebajikan pula dibuat dengan dua cara, iaitu menjemput mereka yang susah ke Pasti Ar-Raihan dan menziarah ke rumah menyampaikan bantuan. Dalam Majlis Penyampaian Bantuan Adun diminta berucap ringkas, khususnya Ramadhan sebagai Bulan Kebajikan dan menolong orang susah membahagiakan kepada yang memberi dan juga yang menerima. Berikutnya Adun menyampaikan bantuan kepada 15 jemputan yang hadir. Pendekatan menziarah, ialah terhadap mereka yang uzur dan sakit. Menziarah mereka dilakukan secera konvoi didahului kenderaan yang mengebarkan Bendera Pas. Diikuti muslimin dan muslimat. Adun sempat menziarah 10 buah rumah.
Dari Bukit Mahkota Adun bertukar ziarah dengan Tuan Haji Mazwan – beliau ke Bukit Mahkota menyambung ziarah yang dibuat Adun dan Adun menyambung ziarahnya di Rumah Pangsa Mawar, Seri Putra. Adun disertai petugas-petugas di sana seperti Tuan Haji Abdul Halim dan Pasukannya. Di sini kami sempat menziarahi 5 keluarga.
Pulang dari Bukit Mahkota dan Seri Putra, bersolat jamaah zohor di Masjid Al-Hasanah. Selepas solat menyertai Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan bagi membantu umat Islam tertindas seperti Masyarakat Rohingya di Burma, Selatan Thai dan Filipina. Majlis dianjurkan oleh AMSec & Masjid Al-Hasanah. Berucap ringkas oleh Ustaz Shafie Ngah dan Adun. Sebanyak RM18,800 pungutan dari Masjid dan Surau telah diserahkan kepada saudara Khalil Abdul Hadi sebagai Pengerusi AMSec yang berucap menerangkan keadaan minoriti umat Islam yang tertindas. Para jamaah yang bersolat zohor menunggu mengikuti majlis.
Selepas menyertai Majlis AMSec, Adun ke Masjid Sungai Ramal Luar bersolat Asar berjamaah dan menyampaikan bantuan kepada fakir miskin yang barangan dan peruntukan dibawa dari Pejabat Adun. Di masjid ini Adun juga menaja masak bubur lambuk. Agak lucu, semasa solat Asar, pihak UMNO datang menyertakan bubur lambuk mereka berlambang dacing (50 kotak) dengan bubur lambuk Adun. Penyampaian bantuan dihadiri Tuan Haji Mohd. Yusof Ketua Kg. Sungai Ramal Luar dan Tuan Haji Nik Pa Nik Leh, Nazir Masjid Sungai Ramal Luar.
Dari Sungai Ramal Luar Adun berkejar pulang bersalin pakaian dan segera ke Surau Al-Umm, Sungai Ramal Dalam yang pengerusinya Ustaz Asnawi. Oleh kerana masa terhad selepas tahlil Adun diminta berucap, tetapi selepas seminit berucap, azan iftar berkumandang, Adun menghentikan ucapan dan tidak sambung. Selepas solat Maghrib dan makan nasi, Adun meminta maaf kepada hadirian – jamaah surau, kerana tergesa-gesa dan tidak berkesempatan beramah mesra dengan mereka agak panjang.
Dari Surau Al-Umm Sungai Ramal Dalam Adun berseorang memandu ke Surau An-Naim, Bukit Mewah. Di sana menunggu saudara Azemi, Azizi dan saudara Hasan dari Kebajikan. Di sini solat Isyak dan tarawih dan witir. Selepas itu Adun diminta menyampaikan tazkirah ringkas dan kemudian menyampaikan bantuan kepada kalangan duafa` terutama dari kalangan ibu-ibu tunggal. Adun juga menaja memasak bubur lambuk di surau An-Naim.
Selepas selesai penyampaian bantuan, Adun bersembang dengan para hadirin di bawah khemah di anjung surau bersama termasuk saudara Shubli Pengerusi Surau dan lain-lain. Turut juga menerima aduan masalah setempat. Pulang berseorangan tiba di rumah jam 11.30 malam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment