August 5, 2012

Kumpulan Perangsang Membantu Ma`had Tahfiz At-Taqwa Di DUN Bangi

Seri Langat, Jalan Reko, Kajang, 13 Ramadhan 1433 = 02 Ogos (Khamis):

Petang ini ke Ma`had Tahfiz At-Taqwa, Seri Langat, Jalan Reko untuk berbuka dan bertarawih bersama pelajar-pelajar Ma`had di atas di samping menyampaikan bantuan kepada Ma`had dan pelajar. Bantuan bukan saja dari Adun Bangi, tetapi pihak Ma`had mendapat peruntukan tajaan dari Kumpulan Perangsang Bhd. Melalui kerjasama NGO Bangi Care. Hadir bagi menyempurnakan Ibadat dan Majlis pada malam ini selain dari Adun Bangi ialah Ustaz Shafie Ngah Ahli Majlis Zon 23 yang mengetuai Bangi Care, En. Kusnin Ahad Pengerusi Surau yang juga merupakan Ketua Persatuan Penduduk, En. Mohd. Ismail Zamzam Penolong Pengerusi CR, Perangsang Bhd., En. Shazli dari Abbas Sdn. Bhd, Ustaz Ikram Pengetua Ma`had Tahfiz At-Taqwa, pelajar-pelajar dan para jamaah. Sebelum Majlis Iftar, Adun bersama Encik Kusnin meninjau kawasan tapak pengajian yang berasaskan Surau itu, kemungkinan menambahkan bangunan dan infra-struktur bagi kemudahan pembelajaran. Ada ruang tanah reserve sungai yang boleh digunakan sebagai tapak bengkel latihan.

Ahli hadirin beramai-ramai berbuka di ruang asrama (tempat tinggal yang amat sederhana) yang dulu amat uzur, tetapi kini sudah diperbaiki dan lebih selesa. Hidangan berbuka diletak tamar dan satu dua kuih di dalam talam dan kami menjamahnya secara beramai-ramai dalam keadaan yang amat sederhana dan bersela. Selepas berbuka ala kadar, kami menunaikan solat maghrib dan dikuti dengan turun kembali ke asrama, makan nasi dengan satu dua lauk yang juga amat sederhana. Namun makan minum ini lebih baik dari apa yang dinikmati pelajar-pelajar secara harian.

Sebelum tiba Isya` (sengaja dilewatkan sedikit) Majlis Penyampaian Bantuan diadakan dengan ucapan alu-aluan secara ringkas oleh En. Kusnin yang mengucapkan terima kasih kepada Adun, En. Mohd Ismail dari Perangsang dan Ustaz Shafie Ngah yang sudi hadir ke Ma`had Tahfiz At-Taqwa. Menurutnya Surau kayu di sini telah didirikan sejak 1981. Penggunaannya sebagai Ma`had Tahfiz pada awal 1990an. Kini terdapat 30 orang pelajar dengan beberapa orang guru yang bersifat tetap dan sambilan. Tujuan Ma`had Tahfiz ialah bagi melahirkan remaja bertaqwa yang celik Al-Qur`an, mepelajari tajwid dan menghafal, memepelajari mata pelajaran agama dan bahasa Arab dan berketrampilan diri dengan akhlak terpuji. Di surau ini juga menawarkan pengajian fardu ain kepada orang dewasa, pelajaran agama kepada wanita dan mengaji Al-Qur`an kepada anak-anak.

Masalah yang dihadapi oleh Ma`had ialah kekurangan dari segi infra-struktur, pembaikan dari segi kurikulum dan sudah pasti dari segi kewangan. Hasrat Ma`had Tahfiz ialah berkerja sama dengan institusi pengajian lain bagi membolehkan pelajar-pelajar menyambung pengajian ke pengajian-pengajian yang lebih tinggi. Walau macam mana Ma`had sudah melahirkan lepasan-lepasan yang berkhidmat sebagai imam, pendidik dan pendakwah. Ada pelajar yang membuka pengajian sendiri di Sabah.Ustaz Shafie yang berucap ringkas memaklumkan Bangi Care ialah bertujuan mengumpul dana bagi membantu seperti Ma`had, pelajar-pelajar dan lain-lain dari segi bantuan. Beliau berterima kasih kepada pihak Perangsang yang menyalurkan kewangan sejumlah RM10,000 kepada Ma`had. Encik Mohd Ismail dari Perangsang (dikenali juga KDEB – Kumpulan Darul Ehsan Bhd.) dalam ucapannya merasa gembira dapat hadir ke Ma`had dan dapat memerhati sendiri dan menilai permohonan dan keperluan sewajarnya. Menurutnya permohonan telah lama dibuat, tetapi tertangguh, antaranya oleh peruntukan kebajikan terhad. Tahun-tahun sebelum ini peruntukan hanya sejuta setahun, tetapi tahun lepas sebanyak RM5 juta, jadi inilahsebahagian dari peruntukan tahun lepas dapat diagihkan kepada Ma`had ini.Menurut En. Mohd. Ismail Perangsan terlibat dalam kerja-kerja kebajikan seperti membantu mahasiswa dari segi bantuan segera, melatih pelajar-pelajar yang lulus pengajian tinggi dalam bidang kerjaya. Menganjur kursus IT, design, jahitan, maritime dan kerjasama dalam bidang kebajikan seperti dengan ABIM dan sebagainya.

Adun Bangi berterima kasih kepada pihak Perangsang kerana prihatin terhadap keperluan Ma`had Tahfiz At-Taqwa sebagai salah satu pengajian tahfiz yang berada di Bangi. Adun Bangi bersukacita meliaht perkembangan Ma`had yang pada tahun-tahun 1990an begitu uzur dari segi fizikal dan begitu terhad dari segi pelajar dan tenaga pengajar. Tetapi kini bangunan terutama asrama makin baik. Adun berharap dengan bantuan dari Perangsang diharap dapat dinaiktaraf asrama dan juga surau yang dijadikan sebagai tempat induk pengajian. Adun menyebut konsep Tahfiz ada berbagai-bagai. Ada yang menumpukan kepada hafalan semata-mata, ada yang merupakan kombinasi dengan berbagai pelajaran agama dan ada yang dilengkapi dengan pengajian akademik. Pengajian tahfiz yang disusun dengan baik seperti Pengajian Tahfiz di Kuala Kubu Baru – Darul Qur`an dapat mengeluarkan pelajar-pelajar cemerlang yang menyambung pengajian di dalam berbagai-bagai bidang. Kini Darul Qur`an sedang mengorak langkah untuk dinaiktaraf kepada universiti. Ma`had di sini boleh meningkatkan kualiti dengan pembaikan dan peningkatan dalaman dan kerjasama terutama dengan ma`had-ma`had tahfiz yang banyak di Hulu Langat. Jika ada niat bagi meningkatkan pengajian di sini, perlu dibentuk satu lembaga tadbir yang kukuh & AJK Kurikulum yang berwibawa yang insya Allah yang boleh membawa kepada peningkatan pengajian tahfiz di sini.Walau apa pun kita bersyukur dengan keadaan sekarang Ma`had Tahfiz terus berjalan dan diharap dengan kerjasama berbagai pihak Ma`had akan terus maju.

Selepas ucapan-ucapan penyampaian replika cek dari Perangsang disampaikan oleh Encik Mohd Ismail kepada Ustaz Shafie Ngah diikuti dengan penyampaian cek dari Adun untuk sumbangan Ramadhan dan penyampaian bantuan kepada pelajar-pelajar. Berikutnya solat Isya` dan Tarawih didirikan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment