August 28, 2012

Tuan Pegawai Daerah & Rombongan Mengunjungi Ketua Kampung Di Perkampungan

Sungai Ramal Luar, 09 Syawal 1433 = 27 Ogos 2012 (Isnin):

Pagi jam 10.00 hari ini Adun dijemput oleh Ketua Kampung Sungai Ramal Luar Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir ke rumahnya. Pada permulaan jemputan dijangka mungkin untuk aqiqah cucunya, tetapi jangkaan silap, Majlis diadakan untuk jamuan hariraya. Jangkaan, ia adalah jamuan yang bersifat keluarga dengan menjemput jiran tetangga. Sesampainya kami sememangnya pada masa itu beberapa orang kampung sibuk menyediakan persiapan untuk jamuan dan kami yang baru sampai dipersilakan mengambil tempat di kerusi-kerusi tersedia. Namun para hadirin jemputan diminta berehat dan bercakap-cakap terlebih dahulu.

Kami dimaklumkan Majlis menunggu ketibaan Pegawai Daerah Hulu Langat - Tamu istimewa bagi majlis yang diadakan pada hari ini. Dari penerangan Ketua Kampung Sungai Ramal Luar ini, bahawa bagi Hariraya Eidul Fitri pada tahun ini pihak Pejabat Daerah mengambil kesempatan untuk berkenalan dan memahami latar setempat bagi ketua-ketua kampung di bawah Pejabat Daerah Hulu Langat. Untuk hadir pada masa lain kurang sesuai dan Hari Raya Eidul Fitri ini adalah paling munasabah untuk dikunjungi.

Dengan kunjungan sedemikian secara tidak langsung pihak Pejabat Daerah dapat berkenalan dengan keluarga dan AJK dan pembantu-pembantu bagi Ketua Kampung. Walau bagaimana kunjungan tidak dapat dibuat kepada semua ketua kampung yang agak ramai dan masa pula terhad, sebab itu dipilih saja ketua-ketua kampung yang dikunjungi. Adun Bangi difahamkan untuk hari ini ada sekurang-kurangnya empat tempat dikunjungi pada tengahari ini. Bagi Dun Bangi dua tempat iaitu Kampung Bangi dan Kampung Sungai Ramal Luar, manakala dua tempat lagi di Hulu Langat ialah Taman Seroja, Batu 13 Hulu Langat dan Desa Nanding di Dusun Tua Hulu Langat.

Oleh kerana keempat-empat tempat ini jauh antara satu sama lain, maka rombongan dari Pejabat Daerah ini dipecah kepada dua. Satu diketuai oleh Tuan Pegawai Daerah sendiri iaitu Tuan Haris bin Kasim mengetuai pasukan ke Batu 13 Hulu Langat dan Desa Nanding di Hulu Langat, manakala satu pasukan lagi diketuai oleh Puan Norfaezah Binti Omar, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Hulu Langat.

Adalah difahamkan kunjungan Pegawai Daerah bagi Dun Bangi bermula dengan kunjungan ke rumah Ketua Kampung, Kampung Bangi iaitu, Tuan Haji Zakaria Bujang. Kami di rumah Tuan Haji Mohd Yusof Ketua Kampung Sungai Ramal Luar adalah sedang menunggu kehadiran Puan Norfaezah dan rombongan yang terlebih dahulu ke Kampung Bangi di Pekan Bangi. Sementara ketibaan Puan Norfaezah dan rombongan kehadiran ke rumah Ketua Kampung Sungai Ramal ini semakin bertambah. Turut hadir ialah YB. Tuan Lee Kim Sin, Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, En Yusof Bachek Ahli MPKj Zon 21, Imam Masjid Sungai Ramal Luar Tuan Haji Yaacob bin Abdul Latiff, AJK-AJK Ketua Kampung dan AJK Masjid Sungai Ramal Luar dan penduduk setempat. Puan Norfaezah dan rombongan tiba jam 11.30. Mereka berjumlah lebih kurang 15 orang.

Majlis bermula dengan bacaan doa oleh Tuan Haji Yaacob, tanpa ucapan dan para jemputan dijemput menikmati hidangan yang menu utamanya ialah sate kajang dan nasi ayam di samping kuih-kuih raya dan buah-buahan. Walaupun majlis adalah sederhana, tetapi adalah meriah. Kehadiran tamu nampaknya berterusan. Menurut Tuan Haji Mohd Yusof, "Alang kepalang mengadakan sambutan hari raya, maka jemputan bukan setakat Pegawai Daerah dan rombongan, maka turut sama dijemput pemimpin setempat dan juga penduduk kampung di sekitar." Lantaran itu majlis nampaknya meriah.

Berikutan dari Puan Norfaezah dan rombongan memohon diri, maka Adun juga mengucap terima kasih kepada Ketua kampung Haji Mohd Yusof dan turut memohon diri jam 12.00 tengahari.

Sekian.

No comments:

Post a Comment