August 21, 2012

Hari Terbuka Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor

Shah Alam, 01 Syawal 1433 = 19 Ogos 2012 (Ahad):

Memang dari awal lagi Adun Bangi berhasrat untuk menghadiri Hari Terbuka Eidul Fitri Dato` Menteri Besar Selangor yang diadakan pada hariraya pertama – hari ini di Pekarangan Dewan Negeri-Bangunan SSAAS, Shah Alam. Lantaran itu sesudah menunaikan Solat Sunat Hariraya Eidul Fitri di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi pada pagi ini Adun menghantar isteri dan anakanda pulang ke rumah bagi persediaan tamu hadir – terutama anak-cucu. Adapun Adun memandu berseorangan berbaju Melayu bersamping dan bersongkok ke Shah Alam.

Tiba di hadapan pagar, pengawal mengarah untuk meneruskan panduan ke sebelah kiri. Semua tempat di luar telah penuh dengan kenderaan yang datang. Tempat parking khas bagi Adun-Adun disekat dari memasuki, kerana khemah-khemah memenuhi ruang dari bangunan SSAAS ke Dewan Negeri, sampai ke belakang diarah lagi ke belakang bangunan dan akhir sekali turun ke bahagian parking paling bawah baru ada kekosongan.

Dari sini untuk kehadapan Dewan agak jauh, sudah tentu berpeluh dahulu berjalan baru tiba, mujur juga ada perkhidmatan bas yang membawa pengunjung ke hadapan Dewan. Adun naik dan menunggu sehingga bas penuh dengan pengunjung dan dibawa pemandu ke hadapan Dewan. Tiba dihadapan Dewan didapati penuh dengan pengunjung. Mereka sedang beratur memilih makanan, sedang di atas pentas juruacara mengendalikan pengumuman dan juga hiburan. Adun menyelinap di tengah orang ramai mencari tempat yang bersesuaian hingga terbawa ke bahagian VIP dan di sini dapat menemui seperti Y.B.Lee Kim Sin Adun Kajang, Y.B. Phlip Tan Choon Swee Adun Teluk Datuk, Kemudian hadir Y.B. Dr.Ahmad Yunus Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. Ketemu sama, S.S.Dato` Setia Haji Mohd Tamyes Bin Abdul Wahid, Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Dato` Haji Mohd Jaafar Bin Atan Dato` Bandar Shah Alam. Adun berkesempatan duduk dan bercakap-cakap dengan pengunjungp-pengunjung kehormat. Menurut pengumuman yang dibuat bahawa Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor akan tiba jam 12.00 tengahari. Sementara ketibaan kami terus bercakap-cakap dan makan-makan. Adalah difahamkan Y.A.B Dato` Menteri Besar melakukan Kunjungan Hormat mengadap DYMM Sultan Selangor selepas menunaikan solat Eidul Fitri. Sementara itu Tuan Speaker Y.B. Dato` Chang Khim yang tiba menyambut tetamu dan membahagikan duit raya kepada anak-anak yang hadir.

Kehadiran Y.A.B. terus diiring ke lobi Bangunan Annex – Anjung Dewan Negeri. Beliau menemui warga-warga emas yang uzur dan OKU yang sengaja ditempatkan di lobi Anjung Dewan yang lebih selesa. Y.A.B. Dato` Menteri Besar turut sama diiringi oleh Isteri dan anak serta cucu yang ada masa didukung cucunya semasa menemui pengunjung-pngunjung dari kalangan warga emas dan OKU. Adun turut sama ke lobi Anjung Dewan dengan tujuan untuk sama mengambil gambar semasa Y.A.B. meraikan warga emas dan OKU berkenaan.

Kemudian barulah Y.A.B. keluar dari Bangunan Anjung Dewan dan ke bawah khemah dan menemui orang ramai yang berpusu-pusu datang. Suasana adalah amat meriah. Banyak pilihan makanan yang dihidangkan, termasuklah nasi beriani, mee, sate, karipap, buah-buahan dan berbagai lagi makanan. Jumlah mereka yang datang dari berbagai kaum mungkin meningkat kepada 40 ribu orang.

Daripada kehadiran mencerminkan Y.A.B. Dato` Menteri Besar adalah Menteri Besar yang berwibawa dan disayangi rakyat jelata, khususnya bagi rakyat negeri Selangor.

Sekian.

No comments:

Post a Comment