Ramadhan yang datang
Sarat dengan pakej sempurna tawaran
Sepurnama berlabuh di Teluk Rindu
Memesrai semua tanpa jemu
Membahagi-bahagikan kasih sayang
Menawarkan pahala bergandaan
Memberi ruang meraih kesempatan
Namun bagi mencecah taqwa itu
Lebih lagi Lailatul Qadar
Tidak semudah mampu dicapai
Lebih lagi bagi seorang hamba biasa
Ibadah puasanya tidak sunyi dari cela
Biarpun ditawar dengan ibadah tampungan
Sadaqah bantuan tadarus membaca Qur`an
Tarawih witir tahajud qiyamullail
Belum tentu bertaraf sempurna ganjaran
Cuma seikhlas doa mohon dikabulkan.
Ramadhan yang datang
Membawa mesra mengganda cinta
Hamba mendakapnya dengan amalan seharian
Basah bibir dengan tasbih tahmid takbir
Mengulangi mesra ayat-ayat firman
Salawat memuji Rasul Junjungan
Pada sahabat diberi sanjungan
Kudus mesra kasih cinta ditatang
Namun cinta hamba tidak seberapa
Berbanding dengan rahmat diterima
Namun mesra Ramadhan menambat kasih-sayang
Sebulan bersamaan bagai sejenak pertemuan.
Di penghujungan di senja terakhir itu
Azan yang digemakan dari surau berdekatan
Tidak segemersik petang-petang Ramadhan
Tiada lagi jamaah berbundung datang
Tiada lagi tamar dijamah permulaan
Tiada lagi takbir, tahmid salawat berulang
Mengiringi tarawih dan witir didirikan
Bahkan Kitab-Kitab Suci disusun rapi
rehal-rehal di tepian bertindihan
Tadarus turut dihentikan
Jamaah turut berkurangan.
Ramadhan yang datang
Mulai berangkat pulang
Membawa mesra bersama pergi
Meninggalkan kita dalam sepi
Merindui kehadirannya kembali
Mungkinkah diri bertemu lagi ?
Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
29 Ramadhan 1433
18 Ogos 2012.
No comments:
Post a Comment